PUISI / SAJAK : PENZIARAH DARI MALAKUT
Sekilas ditakdirkan suatu kehadiran.
Engkau, penziarah aneh.
Sebingkas rohku menyambutmu.
Hadirmu sungguhpun sekerdip
tetapi akan terakam menjadi kilauan khazanah
yang diselimuti kabus mistik
menemani nyawaku
menjadi penggera jiwaku.
Terpaku engkau di sisi dan...
menelitiku
dengan panahan pandangan
yang meninjau lantas meresap di kalbu.
Penziarahanmu memukau alamku.
Tika waktu, hari dan bulan yang mulia ini.
Sekilas ku tenung wajahmu
dari seorang dewasa matang
berwajah serius tetapi tenang
dibaluti jubah, nipis berjambang
berjisim teguh, berdiri tegas.
Wahai penziarah!
Siapakahkah engkau?
Wahai penziarah!
Siapa yang mengiringimu itu?
Berbalam-balam di saf belakangmu.
Dua tubuh samar seolah menunggu isyarat darimu.
Tubuh-tubuh yang taat harus tidak perlu berwajah.
Ada misi diiring bersama?
Ukirkan hasratmu!
Jangan hadiahkan daku dengan kesamaran jua.
Setelah sekerdip engkau berlalu.
Wahai penziarah!
Ziarahmu menyergamkan bekas sebesar Uhud.
Tersepadu dan tersejiwa bersama benakku.
Akan terpahat menunggu terpecah berainya
langit dan bumi di alamku.
Sesungguhnya membisu engkau, wahai penziarah,
menusuk merdu bisa ke dalaam jisim ini.
Kerana saat berlalu adalah detik peringatan...
sehingga kini.
Minda analitis menganalisa pasti
mesejmu yang tersembunyi
dalam sekerdip ziarahmu.
Wahai penziarah budiman!
Terjahan syukur menggelodak dadaku.
Kerana lawatanmu menggerunkan kalbu
tetapi dengan penuh keamanan
membuat diri digenang kesyahduan
terhadap Yang Maha Pencipta.
Kerana kini terlerai sudah.
Aku mengerti kehadiranmu.
Engkau penziarah yang sedang bertugas
acap kali mengucapkan salam setiap kali engkau menziarah
dan mengharap dijawab dengan Zikrullah
bukan dengan kelenaan dunia.
Wahai penziarah!
Amat tekun meluangkan masa
semata terpakumu
untuk menelitiku
dan aku tahu tempat asalmu.
Engkau ialah penziarah dari Malakut!
(Nota: sebuah hadis Nabi s.a.w. diantara lain menyatakan malaikat Maut,Izrail, menziarahi kita 70 kali setiap hari).
Wallahua'lam.
- Tuk Ki
No comments:
Post a Comment