MUQADDIMAH- serangkai cetusan hati

MUQADDIMAH - serangkai cetusan hati
(I1) NAH!

Nah! rupa-rupanya segala rintih-rintihku Engkau sahuti
Sebelumnya...
rintihan sepontan terpantul
berulang kali.
Keluhan kesal terhembus
berulang kali.
Telahku lenyapkan ruang untuk mengenaliMu!
Manakan daya untuk mendekatiMu!
Kurniakanlah...kurniakanlah ya Ilahi.


Nah! ianya berlaku.
Idaman terhidang dihamparNya jalan.
Jangan dirintih jangan dikeluh berulang kali.
Syukur Alhamdulillah!
Mereka tidak mengerti penuh simpati
yang bijaksana menabur empati.
Namun aku tetap bersyukur Alhamdulillah!
Aku tenggelam dalam lautan-lautan ilmu dan kebesaranMu.


Nah! umpama titian sirat di dunia nyata.
Engkau pilih antara sehelai rambut dan selebar expressway.
Jangan merintih!
Jangan mengeluh!
Berulang kali lagi.
Kerana destinasi kita...
Qiblat yang tidak terperinya sebuah KEJAYAAN mutlak ...seperti dilaungkan mu'azzin dalam seruan azannya
.

Tuk Ki

* Untuk asimilisasi para insan penghidap angin ahmar (stroke), ahli keluarga dan penjaga mereka dan kepada insan-insan sejagat.

Sunday, 16 September 2012

PANTUN ILMU DI TAMAN SYURGA

( I  26 )   ILHAM ILAHI

PANTUN ILMU DI TAMAN-TAMAN SYURGA (Empat kerat)

Mengamal adat tidak berganjak.
   Bercanggah agama boleh tak tahu?
Awal-awal ayat diseruNya Iqra'
   Fitrah manusia menagih ilmu.



Setiap musim mudah tersasar.
   Dijangka mutu tuaian yang lebat.
Setiap Muslim diperintah belajar.
   Kedua-dua ilmu dunia dan akhirat.

Demam tersebar bernama denggi.
   Berlaku akibat saliran tak mengalir.
Dalam mengejar kejayaan duniawi.
   Ilmu akhirat sering dipinggir.

Bermegah si Abu dipanggil Abi.
   Manakan tidak baru menimang si cahaya mata.
Sedarlah bangsaku berpijaklah bumi.
   Mantapkan anak cucu dengan ilmu agama.

Dahulu kerja mudah diperolehi.
   Di jabatan kerajaan pilihan utama.
Ilmu dunia sudah dimanfaati.
   Lengkapkah Fardhu 'Ain di dalam dada?

Menunggu si abid berwukuf di Arafah.
   Melaksanakan ibadah wajib sepenuh hatinya.
Ilmu Tauhid, Tasawuf dan Fikah.
   Tuntutan agama wajib mengetahuinya.

Terguris hati dirawat cepat.
   Manis Kalamullah mententeramkan jiwa.
Hadis Nabi diriwayat sahabat.
   Majlis ilmu adalah TAMAN-TAMAN SYURGA.

Berwuduk di kolam terus beradu.
   Raja yang taat melaksanakan perintahNya.
Duduk di dalam majlis ilmu.
   Di mana malaikat melebarkan sayapnya.


Menyusun telur rapi di atur.
   Habis setiap satu dikutip semua.
Walaupun tidur si kaki pendengkur.
   Di majlis ilmu tetap berpahala.

Langkah pertama menduga selalu.
   Bagai dicecah dinginnya udara.
Alangkah mulia pencinta ilmu.
   Dicintai Allah dan dirahmatiNya.

Beramal sentiasa kekal istiqomah.
   Jadi tabiat, alah bisa tegal biasa.
Awal-awal agama mengenal Allah.
   Mengetahui sifat-sifat Allah dan RasulNya.

Berselawat Allah ke atas Nabi.
   Malang nasib orang degil enggan berselawat ke atasnya.
Sifat Allah, ilmu Tauhid dipelajari.
   Yang wajib, mustahil, harus dengan dalilnya.

Makna taklid, mengikut orang secara membuta.
   Pastikan dalil setiap sifat ada padaNya.
Pentingnya ilmu Tauhid pada kita semua.
   Jangan tergelincir akidah dek perbuatan jahil kita.

Azam di dada untuk berubah.
   Mula berhijrah, karib kerabat berbesar hati.
Dalam dua kalimah syahadah.
   Lima puluh akidah yang wajib diketahui.

Dalam kalimah suci Bismillah.
   Ada rahsia Allah sematkan.
Dalam kalimah Lailahaillallah.
   Apa dinafikan dan apa diisbatkan?

Bersama bertahmid mengucap kesyukuran.
   Alhamdulillah diulangi, Allah dipuji.
Malangnya ilmu Tauhid diketepikan.
   Hinggalah mati tidak dipelajari.

Diduga jangan tanpa diteliti.
   Cubalah menghisab diri dahulu.
Cuma jangan belajar sendiri-sendiri.
   Bacalah kitab dengan bimbingan guru. 

Lagu indah didengar kagum.
   Diperdengar bebas kepada semua.
Ilmu Fikah mempelajari hukum.
   Disebar meluas seluruh negara.

Perintah raja sebelum merdeka mesti dikotakan.
   Sebab pemerintahan dalam tangan masih digenggam.
Entah kenapa dua bab tidak digalakkan.
   Bab Jenayah Islam dan juga Politik Islam.                           (Updated)  

Perlu makruf dan ubah sikap.
   Kesedaran bijak bila semakin berusia.
Ilmu Tasawuf merupakan pelengkap.
   Amalan dan akhlak Rasul kita.

Tahu huruf pelat disebut.
   Cerdas minda si penyejuk hati.
Ilmu Tasawuf, matlamat perjalanan hidup..
   Berlandas jalan Rasulullah, menuju Ilahi.                         (Updated)  

Waswas kekal apa bicara?
   Bacakan An Naas, salah satu surah.
Ikhlas beramal ilmu di dada.
   Tingkatkan status di sisi Allah.

Jika tertembak si kalis peluru.
   Selamat orang yang memakainya.
JIKA TERSEREMPAK MAJLIS ILMU.
   SELAMAT DATANG KE TAMAN SYURGA!

- Tuk Ki
    

                          

No comments:

Post a Comment