MUQADDIMAH- serangkai cetusan hati

MUQADDIMAH - serangkai cetusan hati
(I1) NAH!

Nah! rupa-rupanya segala rintih-rintihku Engkau sahuti
Sebelumnya...
rintihan sepontan terpantul
berulang kali.
Keluhan kesal terhembus
berulang kali.
Telahku lenyapkan ruang untuk mengenaliMu!
Manakan daya untuk mendekatiMu!
Kurniakanlah...kurniakanlah ya Ilahi.


Nah! ianya berlaku.
Idaman terhidang dihamparNya jalan.
Jangan dirintih jangan dikeluh berulang kali.
Syukur Alhamdulillah!
Mereka tidak mengerti penuh simpati
yang bijaksana menabur empati.
Namun aku tetap bersyukur Alhamdulillah!
Aku tenggelam dalam lautan-lautan ilmu dan kebesaranMu.


Nah! umpama titian sirat di dunia nyata.
Engkau pilih antara sehelai rambut dan selebar expressway.
Jangan merintih!
Jangan mengeluh!
Berulang kali lagi.
Kerana destinasi kita...
Qiblat yang tidak terperinya sebuah KEJAYAAN mutlak ...seperti dilaungkan mu'azzin dalam seruan azannya
.

Tuk Ki

* Untuk asimilisasi para insan penghidap angin ahmar (stroke), ahli keluarga dan penjaga mereka dan kepada insan-insan sejagat.

Thursday, 20 September 2012

HADIS QUDSI ( 6 ): SYURGA BUKAN MACAM ITU!

( N  23 )   NUKILAN DARI TAMAN SURGA

HADIS QUDSI (6) : SYURGA BUKAN MACAM ITU!

Besar  kebarangkalian untuk kita cuba membayangkan di dalam minda kita keadaan dalam syurga apabila terbaca ayat-ayat Al Quran atau hadis-hadis mengenainya atau mendengarnya dari penceramah-penceramah. Namun kenyataannya, kreativiti minda kita sangat jauh tersasar. Hayati hadis qudsi ini di mana Allah S.W.T. berfirman, maksudnya:

"Untuk hambaKu yang soleh, Aku sediakan kesenangan-kesenangan yang tidak pernah terlihat oleh mata, tidak pernah terdengar oleh telinga, dan tidak pernah sedikit pun terlintas dalam hati manusia."

(Hadis qudsi riwayat Syaikan, Ahmad, Tarmizi, Ibnu Majah dari Abu Hurairah r.a dan Thabrani.)

HAMBA ALLAH.
Segala sesuatu yang ada ini ialah hamba Allah. Manusia ialah hamba Allah yang dicipta untuk tunduk dan menyerah diri sepenuhnya kepadaNya. Manusia perlu berusaha dan beramal kepada yang Maha Penciptanya mengikut kehendak peraturan agamanya, yakni, Islam yang disampaikan melalui para RasulNya.
Ciri-ciri jenis hamba yang dikehendakiNya ada disebutkan di dalam Al Quran, antara lain:

Surah As Saaffat ayat 40~41
Surah Az Zumar ayat 17~18
Surah Az Zukhruf ayat 68~69
Surah Al Furqan ayat 63

SOLEH.
Allah S.W.T. mencipta manusia dengan fitrah yang baik dan patut menjadi baik. Maka wajib manusia berusaha dan beramal dengan melatih diri dalam ibadat (dalam perspektif yang luas) dan zikir (keaadan sentiasa mengingati Allah) mengikut kehendak agama Islam. Ini semua berlaku melalui proses teladan, pendidikan, latihan, pembiasaan dan kesinambungan ilmu. 

NIKMAT DAN KESENANGAN SYURGA.
Seperti terkandung di dalam hadis qudsi di atas, nikmat dalam bentuk kesenangan syurga itu tidak dapat digambarkan dan dikhayalkan dengan tepat sebab ia adalah di luar dari tahap pemikiran manusia. Ia adalah perkara ghaib di alam akhirat, tetapi wajib kita mempercayainya. 

Dalam surah Al Baqarah ayat 25, Allah berfirman, maksudnya:

   "Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang beriman dan beramal soleh, sesungguhnya mereka beroleh syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai; tiap-tiap kali mereka diberikan satu pemberian dari sejenis buah-buahan syurga itu, mereka berkata: "Inilah yang telah diberikan kepada kami dahulu"; dan mereka diberikan rezeki itu yang sama rupanya (tetapi berlainan hakikatnya), dan disediakan untuk mereka dalam syurga itu pasangan-pasangan, isteri-isteri yang sentiasa bersih suci, sedang mereka pula kekal di dalamnya selama-lamanya."
Ibnu Abbas r.a menafsirkan: "Kata-kata ini datangnya dari rasa kagum, hairan serta takjub. Tidak ada sesuatu pun di dunia ini yang dapat dibandingkan dengan yang ada di dalam syurga."

Nabi Allah Musa a.s pernah bertanya kepada Allah, seperti diriwayatkan oleh Muslim dan Tarmizi:

"Siapakah dari penduduk syurga yang terbesar (agung) kedudukannya?" Allah menjawab : "Orang  yang telah aku tanamkan kemuliaannya dengan tanganKu dan telah Aku tetapkan baginya (kenikmatan) yang tidak pernah dilihat oleh mata, tidak pernah didengar oleh telinga serta tidak terlintas di dalam hati manusia."

Begitulah Allah S.W.T. telah menyediakan syurga yang penuh dengan kegembiraan yang tiada penghujungnya oleh kerana nikmat dan kesenangan-kesenangannya. Akan tiada lagi di dalam kamus erti kesusahan bagi penghuni syurga buat selama-lamanya malah tidak perlu  beribadat lagi melainkan bersuka ria. 

Mudah-mudahan Allah memilih kita ke dalam golongan hambaNya yang soleh dan dirahmatiNya untuk menghuni syurgaNya. Amiin.

Wallahua'lam.
(Dari talib kepada mukallaf)

- Tuk Ki






No comments:

Post a Comment