MUQADDIMAH- serangkai cetusan hati

MUQADDIMAH - serangkai cetusan hati
(I1) NAH!

Nah! rupa-rupanya segala rintih-rintihku Engkau sahuti
Sebelumnya...
rintihan sepontan terpantul
berulang kali.
Keluhan kesal terhembus
berulang kali.
Telahku lenyapkan ruang untuk mengenaliMu!
Manakan daya untuk mendekatiMu!
Kurniakanlah...kurniakanlah ya Ilahi.


Nah! ianya berlaku.
Idaman terhidang dihamparNya jalan.
Jangan dirintih jangan dikeluh berulang kali.
Syukur Alhamdulillah!
Mereka tidak mengerti penuh simpati
yang bijaksana menabur empati.
Namun aku tetap bersyukur Alhamdulillah!
Aku tenggelam dalam lautan-lautan ilmu dan kebesaranMu.


Nah! umpama titian sirat di dunia nyata.
Engkau pilih antara sehelai rambut dan selebar expressway.
Jangan merintih!
Jangan mengeluh!
Berulang kali lagi.
Kerana destinasi kita...
Qiblat yang tidak terperinya sebuah KEJAYAAN mutlak ...seperti dilaungkan mu'azzin dalam seruan azannya
.

Tuk Ki

* Untuk asimilisasi para insan penghidap angin ahmar (stroke), ahli keluarga dan penjaga mereka dan kepada insan-insan sejagat.

Thursday, 27 September 2012

KISAH BENAR (3) : MIMPI SEBELUM MATI

( S  9 )   DEBUNGA SYIFA'

KISAH BENAR (3) : MIMPI SEBELUM MATI

Ini adalah nukilan berdasarkan satu insiden benar yang berlaku 12 tahun yang lalu.                                                                                                    (hiasan)

Aku tidak menyangka deringan telefon dari mejaku, di pejabat, pagi itu ialah panggilan yang mengejutkan yang membuat aku merasa mukaku menjadi sejuk kaku. Apakah berita yang mengejutkan jika tidak berita kematian seseorang yang kita kenali. Ya, ia satu berita kematian. Berita yang akan membuat                 seseorang terkejut sebentar dan bagi yang perihatin dengan amalan agama akan lantas mengucapkan 'Innalillahi wainna ilaihi raji'un'.

Tetapi berita kematian pagi itu telah 'menakutkan' diriku. Sejenis ketakutan yang menusuk perasaan. Ketakutan yang mengugut diriku sendiri kerana ada satu insiden yang terlakar di sebalik berita kematian itu yang seolah-olah boleh menimpa diriku sendiri.

Baru dua hari sebelum itu, semasa menghadiri sebuah seminar, aku telah diperkanalkan oleh sahabatku dengan seorang teman sekerjanya. Di waktu meninggalkan dewan seminar, kami telah berpakat untuk singgah di cofee hause di premis itu bagi menikmati perbualan-perbualan ringan dan secawan kopi. Di hujung perbualan mesra dan kadangkala disulami gelak ketawa itu, teman sekerja sahabatku itu telah mengubah sedikit suasana ceria itu dengan menceritakan mimpi yang ditempuhinya malam sabelumnya.

Dia memberitahu, di dalam mimpinya dia dapati dirinya sedang berdiri dengan tidak stabil diatas satu tembuk yang tinggi dan tirus. Di sebelah tembuk itu terbentang luas satu lapangan yang luas serta terang benderang seolah-olah waktu tengah hari tetapi tidak pula panas terik bahkan begitu nyaman dan indah. Di sebelah satu lagi ialah lapangan yang gelap gelita, hitam pekat. Dia tidak tahu apa yang ada di dalam kegelapan yang pekat itu melainkan perasaan takut. Dalam keaadaannya yang cuba mengimbangkan badannya itu daripada jatuh, dia terasa tidak lagi dapat bertahan. Dia cuba merebahkan badannya ke arah kawasan lapangan yang terang benderang itu tetapi tubuhnya telah melayang jatuh di sebelah tembuk yang gelap gelita itu. Di saat itulah dia telah terjaga. Dia bertanya kepada kami sama ada kami tahu menafsirkan mimpinya itu. Aku menjawab, menafsir mimpi bukanlah kepakaranku. Sahabatku mengangguk kepala memberi isyarat dia juga adalah di dalam kategori yang sama.

Berita kematian yang aku terima pagi itu ialah berita kematian teman sekerja sahabatku itu. Sebaik sahaja berita itu mencecah gendang telingaku, sepantas kilat ia mengaitkan dengan kisah mimpinya tempuh hari di dalam kepalaku. Aku tergamam dengan mainan mindaku. Adakah itu salah satu fenomena yang Allah ciptakan kepada hambanya, yakni, amaran prakematian dirinya sendiri? Jikalau Allah Ta'ala membuka hati hambanya sudah tentu dia akan terus bertaubat di atas dosa-dosanya yang lalu. Sudah tentu 'cahaya' dan 'gelap' di dalam mimpi hamba Allah itu melambangkan suatu tempat yang 'tenang dan baik' dan satu lagi tempat 'penuh kengerian dan ketakutan'. Seolah-olah ia satu petunjuk destinasi ke alam barzakh. Mudah-mudahan Almarhum teman sekerja sahabatku itu telah dihidayahi Allah Ta'ala untuk bertaubat sebelum matinya.

Kita sedekahkan Al Fatihah kepada rohnya. Dengan kehendak Allah kejadian ini dapat saya nukilkan dan dapat memberi peringatan kepada kita supaya bertaubat sementara berkesempatan. 


Wallahua'lam.                                        (hiasan)

- Tuk Ki                        

Saturday, 22 September 2012

PUISI / SAJAK: PENZIARAH DARI MALAKUT

( I  27 )   ILHAM ILAHI

PUISI / SAJAK : PENZIARAH DARI MALAKUT

Sekilas ditakdirkan suatu kehadiran.
Engkau, penziarah aneh.
Sebingkas rohku menyambutmu.
Hadirmu sungguhpun sekerdip
tetapi akan terakam menjadi kilauan khazanah
yang diselimuti kabus mistik
menemani nyawaku
menjadi penggera jiwaku.
Terpaku engkau di sisi dan...
menelitiku
dengan panahan pandangan
yang meninjau lantas meresap di kalbu.

Penziarahanmu memukau alamku.
Tika waktu, hari dan bulan yang mulia ini.
Sekilas ku tenung wajahmu 
dari seorang dewasa matang
berwajah serius tetapi tenang
dibaluti jubah, nipis berjambang
berjisim teguh, berdiri tegas.
Wahai penziarah!
Siapakahkah engkau?

Wahai penziarah!
Siapa yang mengiringimu itu?
Berbalam-balam di saf belakangmu.
Dua tubuh samar seolah menunggu isyarat darimu.
Tubuh-tubuh yang taat harus tidak perlu berwajah.
Ada misi diiring bersama?
Ukirkan hasratmu!
Jangan hadiahkan daku dengan kesamaran jua.
Setelah sekerdip engkau berlalu.

Wahai penziarah!
Ziarahmu menyergamkan bekas sebesar Uhud.
Tersepadu dan tersejiwa bersama benakku.
Akan terpahat menunggu terpecah berainya 
langit dan bumi di alamku.
Sesungguhnya membisu engkau, wahai penziarah,
menusuk merdu bisa ke dalaam jisim ini.
Kerana saat berlalu adalah detik peringatan...
sehingga kini.
Minda analitis menganalisa pasti
mesejmu yang tersembunyi 
dalam sekerdip ziarahmu.

Wahai penziarah budiman!
Terjahan syukur menggelodak dadaku.
Kerana lawatanmu menggerunkan kalbu
tetapi dengan penuh keamanan
membuat diri digenang kesyahduan
terhadap Yang Maha Pencipta.
Kerana kini terlerai sudah.
Aku mengerti kehadiranmu.
Engkau penziarah yang sedang bertugas
acap kali mengucapkan salam setiap kali engkau menziarah
dan mengharap dijawab dengan Zikrullah
bukan dengan kelenaan dunia.

Wahai penziarah!
Amat tekun meluangkan masa
semata terpakumu
untuk menelitiku
dan aku tahu tempat asalmu.
Engkau ialah penziarah dari Malakut! 
  
(Nota: sebuah hadis Nabi s.a.w. diantara lain menyatakan malaikat Maut,Izrail, menziarahi kita 70 kali setiap hari).     

Wallahua'lam.

- Tuk Ki




Thursday, 20 September 2012

HADIS QUDSI ( 6 ): SYURGA BUKAN MACAM ITU!

( N  23 )   NUKILAN DARI TAMAN SURGA

HADIS QUDSI (6) : SYURGA BUKAN MACAM ITU!

Besar  kebarangkalian untuk kita cuba membayangkan di dalam minda kita keadaan dalam syurga apabila terbaca ayat-ayat Al Quran atau hadis-hadis mengenainya atau mendengarnya dari penceramah-penceramah. Namun kenyataannya, kreativiti minda kita sangat jauh tersasar. Hayati hadis qudsi ini di mana Allah S.W.T. berfirman, maksudnya:

"Untuk hambaKu yang soleh, Aku sediakan kesenangan-kesenangan yang tidak pernah terlihat oleh mata, tidak pernah terdengar oleh telinga, dan tidak pernah sedikit pun terlintas dalam hati manusia."

(Hadis qudsi riwayat Syaikan, Ahmad, Tarmizi, Ibnu Majah dari Abu Hurairah r.a dan Thabrani.)

HAMBA ALLAH.
Segala sesuatu yang ada ini ialah hamba Allah. Manusia ialah hamba Allah yang dicipta untuk tunduk dan menyerah diri sepenuhnya kepadaNya. Manusia perlu berusaha dan beramal kepada yang Maha Penciptanya mengikut kehendak peraturan agamanya, yakni, Islam yang disampaikan melalui para RasulNya.
Ciri-ciri jenis hamba yang dikehendakiNya ada disebutkan di dalam Al Quran, antara lain:

Surah As Saaffat ayat 40~41
Surah Az Zumar ayat 17~18
Surah Az Zukhruf ayat 68~69
Surah Al Furqan ayat 63

SOLEH.
Allah S.W.T. mencipta manusia dengan fitrah yang baik dan patut menjadi baik. Maka wajib manusia berusaha dan beramal dengan melatih diri dalam ibadat (dalam perspektif yang luas) dan zikir (keaadan sentiasa mengingati Allah) mengikut kehendak agama Islam. Ini semua berlaku melalui proses teladan, pendidikan, latihan, pembiasaan dan kesinambungan ilmu. 

NIKMAT DAN KESENANGAN SYURGA.
Seperti terkandung di dalam hadis qudsi di atas, nikmat dalam bentuk kesenangan syurga itu tidak dapat digambarkan dan dikhayalkan dengan tepat sebab ia adalah di luar dari tahap pemikiran manusia. Ia adalah perkara ghaib di alam akhirat, tetapi wajib kita mempercayainya. 

Dalam surah Al Baqarah ayat 25, Allah berfirman, maksudnya:

   "Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang beriman dan beramal soleh, sesungguhnya mereka beroleh syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai; tiap-tiap kali mereka diberikan satu pemberian dari sejenis buah-buahan syurga itu, mereka berkata: "Inilah yang telah diberikan kepada kami dahulu"; dan mereka diberikan rezeki itu yang sama rupanya (tetapi berlainan hakikatnya), dan disediakan untuk mereka dalam syurga itu pasangan-pasangan, isteri-isteri yang sentiasa bersih suci, sedang mereka pula kekal di dalamnya selama-lamanya."
Ibnu Abbas r.a menafsirkan: "Kata-kata ini datangnya dari rasa kagum, hairan serta takjub. Tidak ada sesuatu pun di dunia ini yang dapat dibandingkan dengan yang ada di dalam syurga."

Nabi Allah Musa a.s pernah bertanya kepada Allah, seperti diriwayatkan oleh Muslim dan Tarmizi:

"Siapakah dari penduduk syurga yang terbesar (agung) kedudukannya?" Allah menjawab : "Orang  yang telah aku tanamkan kemuliaannya dengan tanganKu dan telah Aku tetapkan baginya (kenikmatan) yang tidak pernah dilihat oleh mata, tidak pernah didengar oleh telinga serta tidak terlintas di dalam hati manusia."

Begitulah Allah S.W.T. telah menyediakan syurga yang penuh dengan kegembiraan yang tiada penghujungnya oleh kerana nikmat dan kesenangan-kesenangannya. Akan tiada lagi di dalam kamus erti kesusahan bagi penghuni syurga buat selama-lamanya malah tidak perlu  beribadat lagi melainkan bersuka ria. 

Mudah-mudahan Allah memilih kita ke dalam golongan hambaNya yang soleh dan dirahmatiNya untuk menghuni syurgaNya. Amiin.

Wallahua'lam.
(Dari talib kepada mukallaf)

- Tuk Ki






Sunday, 16 September 2012

PANTUN ILMU DI TAMAN SYURGA

( I  26 )   ILHAM ILAHI

PANTUN ILMU DI TAMAN-TAMAN SYURGA (Empat kerat)

Mengamal adat tidak berganjak.
   Bercanggah agama boleh tak tahu?
Awal-awal ayat diseruNya Iqra'
   Fitrah manusia menagih ilmu.



Setiap musim mudah tersasar.
   Dijangka mutu tuaian yang lebat.
Setiap Muslim diperintah belajar.
   Kedua-dua ilmu dunia dan akhirat.

Demam tersebar bernama denggi.
   Berlaku akibat saliran tak mengalir.
Dalam mengejar kejayaan duniawi.
   Ilmu akhirat sering dipinggir.

Bermegah si Abu dipanggil Abi.
   Manakan tidak baru menimang si cahaya mata.
Sedarlah bangsaku berpijaklah bumi.
   Mantapkan anak cucu dengan ilmu agama.

Dahulu kerja mudah diperolehi.
   Di jabatan kerajaan pilihan utama.
Ilmu dunia sudah dimanfaati.
   Lengkapkah Fardhu 'Ain di dalam dada?

Menunggu si abid berwukuf di Arafah.
   Melaksanakan ibadah wajib sepenuh hatinya.
Ilmu Tauhid, Tasawuf dan Fikah.
   Tuntutan agama wajib mengetahuinya.

Terguris hati dirawat cepat.
   Manis Kalamullah mententeramkan jiwa.
Hadis Nabi diriwayat sahabat.
   Majlis ilmu adalah TAMAN-TAMAN SYURGA.

Berwuduk di kolam terus beradu.
   Raja yang taat melaksanakan perintahNya.
Duduk di dalam majlis ilmu.
   Di mana malaikat melebarkan sayapnya.


Menyusun telur rapi di atur.
   Habis setiap satu dikutip semua.
Walaupun tidur si kaki pendengkur.
   Di majlis ilmu tetap berpahala.

Langkah pertama menduga selalu.
   Bagai dicecah dinginnya udara.
Alangkah mulia pencinta ilmu.
   Dicintai Allah dan dirahmatiNya.

Beramal sentiasa kekal istiqomah.
   Jadi tabiat, alah bisa tegal biasa.
Awal-awal agama mengenal Allah.
   Mengetahui sifat-sifat Allah dan RasulNya.

Berselawat Allah ke atas Nabi.
   Malang nasib orang degil enggan berselawat ke atasnya.
Sifat Allah, ilmu Tauhid dipelajari.
   Yang wajib, mustahil, harus dengan dalilnya.

Makna taklid, mengikut orang secara membuta.
   Pastikan dalil setiap sifat ada padaNya.
Pentingnya ilmu Tauhid pada kita semua.
   Jangan tergelincir akidah dek perbuatan jahil kita.

Azam di dada untuk berubah.
   Mula berhijrah, karib kerabat berbesar hati.
Dalam dua kalimah syahadah.
   Lima puluh akidah yang wajib diketahui.

Dalam kalimah suci Bismillah.
   Ada rahsia Allah sematkan.
Dalam kalimah Lailahaillallah.
   Apa dinafikan dan apa diisbatkan?

Bersama bertahmid mengucap kesyukuran.
   Alhamdulillah diulangi, Allah dipuji.
Malangnya ilmu Tauhid diketepikan.
   Hinggalah mati tidak dipelajari.

Diduga jangan tanpa diteliti.
   Cubalah menghisab diri dahulu.
Cuma jangan belajar sendiri-sendiri.
   Bacalah kitab dengan bimbingan guru. 

Lagu indah didengar kagum.
   Diperdengar bebas kepada semua.
Ilmu Fikah mempelajari hukum.
   Disebar meluas seluruh negara.

Perintah raja sebelum merdeka mesti dikotakan.
   Sebab pemerintahan dalam tangan masih digenggam.
Entah kenapa dua bab tidak digalakkan.
   Bab Jenayah Islam dan juga Politik Islam.                           (Updated)  

Perlu makruf dan ubah sikap.
   Kesedaran bijak bila semakin berusia.
Ilmu Tasawuf merupakan pelengkap.
   Amalan dan akhlak Rasul kita.

Tahu huruf pelat disebut.
   Cerdas minda si penyejuk hati.
Ilmu Tasawuf, matlamat perjalanan hidup..
   Berlandas jalan Rasulullah, menuju Ilahi.                         (Updated)  

Waswas kekal apa bicara?
   Bacakan An Naas, salah satu surah.
Ikhlas beramal ilmu di dada.
   Tingkatkan status di sisi Allah.

Jika tertembak si kalis peluru.
   Selamat orang yang memakainya.
JIKA TERSEREMPAK MAJLIS ILMU.
   SELAMAT DATANG KE TAMAN SYURGA!

- Tuk Ki
    

                          

Sunday, 9 September 2012

ANEKDOT TAKWA (6): SYAITAN YANG 'BAIK HATI'

(  N   22  )     NUKILAN DARI TAMAN SYURGA 

ANEKDOT TAKWA (6) :  SYAITAN YANG 'BAIK HATI' 

Di sebuah kampung duduk seorang tua yang sangat warak. Dia sangat tekun bersembahyang berjamaah di masjid kampungnya. Sehinggakan dia sanggup hilang sesuatu yang disayanginya daripada meninggalkan solat berjamaah di masjid.

Suatu hari tatkala dia menuruni tangga rumahnya hendak pergi ke masjid, dia telah jatuh tergelinchir ke tanah dan mengalami kecederaan. Kecederaannya amat serius sehingga mustahil baginya untuk berjalan ke masjid yang agak jauh diberatkan lagi dengan badannya yang lemah kerana usia tuanya. Terpaksalah dia bersolat di rumah sahaja dan merawat kakinya dan berdoa agar kecederaannya cepat sembuh.

Apabila masuk waktu solat berikutnya dia cuba menuruni tangga rumahnya sekali lagi untuk cuba pergi ke masjid. Malangnya sekali lagi dia terjatuh oleh kerana kakinya yang terlalu sakit dan lemah.

Apabila tiba waktu berikutnya iaitu waktu maghrib, dia berazam untuk pergi ke masjid sedaya upayanya walaupun di dalam kesakitan yang amat sangat. Sebaik sahaja dia membuka pintu rumahnya dia terkejut kerana mendapati dua orang pemuda sedang menunggunya.
"Kami mahu mambantu Atuk ke masjid!" kata mereka serentak.
Orang tua itu merelakan dengan senang hati dan bersyukur. Dia telah dipapah dan dipimpin oleh kedua pemuda itu pergi ke masjid dan balik ke rumahnya. Begitulah perbuatan itu berlaku berterusan untuk beberapa hari.

Pada hari orang tua itu merasakan kakinya sedikit pulih dan boleh berjalan semula, dia bertanya kepada kedua-dua pemuda itu, "Setiap kali kamu berdua membantu Atuk ke masjid, kenapa tidak pernah aku lihat kamu berdua sembahyang bersama-sama?"
"Kami tidak sembahyang kerana kami ini sebenarnya adalah SYAITAN!" Mereka menjawab.
Orang tua itu terkejut dan terpinga-pinga.
"Kenapa syaitan berbuat baik kepadaku?" Tanyanya.
"Kerana pertama kali Atuk jatuh tangga, Allah telah mengampunkan segala dosa-dosa Atuk. Kali kedua Atuk jatuh, Allah telah mengampunkan seluruh ahli keluarga Atuk. Kalau kami tidak membantu Atuk, kali ketiga Atuk jatuh kami khuatir Allah akan mengampunkan seluruh penduduk kariah masjid kampung ini. Jika itu berlaku, sia-sialah segala usaha dan kerja keras kami selama ini." Jawab pemuda-pemuda itu dan terus ghaib.
"Rupa-rupanya dalam baik-baik syaitan, ada udang di sebalik batu." Hati orang tua itu bersungut.

Pengajaran: ...terserah pada anda untuk membuat rumusan.

(Nukilan ini telah saya olah sedikit dari kisah yang telah disampaikan.)

- Tuk Ki