HADIS QUDSI (5) : PUASA, IBADAH EKSKLUSIF
Kita hayati terjemahan hadis qudsi ini mengenai ibadah puasa:
"Semua amal perbuatan anak Adam adalah untuknya, kecuali puasa, ia adalah kepunyaanKu, dan Akulah yang akan membalasnya. Dan bagi orang yang berpuasa diberikan dua kegembiraan. Satu kegembiraan ketika berbuka dan satu kegembiraan lagi ketika menemui Tuhannya (menerima balasan yang telah dijanjikanNya). Dan sesungguhnya bau yang keluar dari mulut orang yang berpuasa lebih wangi di sisi Allah daripada kasturi."
(Hadis qudsi riwayat Tabrani dalam al Kabir dari Ibnu Mas'ud dll.)
Di dalam satu lagi hadis qudsi Allah berfirman, terjemahannya:
"Puasa itu dinding atau perisai dari api neraka dan ia adalah untukKu dan Aku sendiri akan membalasnya. Dia (yang berpuasa) meninggalkan nafsu syahwat, meninggalkan makan dan minum kerana Aku. Sesungguhnya bau yang keluar dari mulut orang yang berpuasa lebih wangi di sisi Allah dari bau kasturi".
(Hadis qudsi riwayat Baghawi, Tabrani dan 'Abdan bin Basyir dari Ibnu Khasasiah).
Dalam sebuah hadis, terjemahannya:
"Di syurga terdapat lapan pintu, diantaranya ada pintu bernama Rayyan. Tidak diperkenankan masuk melaluinya kecuali orang-orang yang berpuasa."
(Hadis riwayat Bukhari dari Sahl bin Sa'd).
Lain daripada amal-amal ibadat dan keta'atan yang mempunyai pahala yang tertentu, puasa yang dikerjakan dengan ikhlas mengikut tuntutan syarak akan menerima ganjaran pahala yang amat besar (dengan rahmatNya), hanya Allah Ta'ala yang mengetahuinya. Menurut alim ulamak, di akhirat kelak, jika kita telah ketandusan pahala kerana membayar hutang (dosa) kepada penuntut-penuntut hutang (keadilan) di atas dosa-dosa yang kita lakukan terhadap seseorang semasa di dunia, pahala puasa (bukan seperti pahala amalan-amalan lain) tidak akan diberi sebagai penebus hutang. Pahala puasa akan hanya digunakan apabila kita menghadapi timbangan amalan dosa dan pahala di hadapan Allah Ta'ala kelak. Dengan rahmatNya, Allah Ta'ala akan membayarnya dengan maha kekayaanNya.
Status orang yang berpuasa dengan ikhlas dan ta'at (berkualiti) begitu istimewa disisi Allah S.W.T.
Puasa yang ikhlas adalah ibarat perisai, pendinding dan benteng dari kelemahan rohani dan jasmani sekali gus menghindarkan kita dari dosa-dosa besar dan kecil. Kalau beginilah kedudukan ibadah puasa itu alangkah baiknya jika seorang itu dapat mengamalkan puasa-puasa sunat selain yang wajib.
Wallahu A'lam.
- Tuk Ki
No comments:
Post a Comment