MUQADDIMAH- serangkai cetusan hati

MUQADDIMAH - serangkai cetusan hati
(I1) NAH!

Nah! rupa-rupanya segala rintih-rintihku Engkau sahuti
Sebelumnya...
rintihan sepontan terpantul
berulang kali.
Keluhan kesal terhembus
berulang kali.
Telahku lenyapkan ruang untuk mengenaliMu!
Manakan daya untuk mendekatiMu!
Kurniakanlah...kurniakanlah ya Ilahi.


Nah! ianya berlaku.
Idaman terhidang dihamparNya jalan.
Jangan dirintih jangan dikeluh berulang kali.
Syukur Alhamdulillah!
Mereka tidak mengerti penuh simpati
yang bijaksana menabur empati.
Namun aku tetap bersyukur Alhamdulillah!
Aku tenggelam dalam lautan-lautan ilmu dan kebesaranMu.


Nah! umpama titian sirat di dunia nyata.
Engkau pilih antara sehelai rambut dan selebar expressway.
Jangan merintih!
Jangan mengeluh!
Berulang kali lagi.
Kerana destinasi kita...
Qiblat yang tidak terperinya sebuah KEJAYAAN mutlak ...seperti dilaungkan mu'azzin dalam seruan azannya
.

Tuk Ki

* Untuk asimilisasi para insan penghidap angin ahmar (stroke), ahli keluarga dan penjaga mereka dan kepada insan-insan sejagat.

Tuesday, 14 August 2012

PANTUN RAMADHAN (3) : TARAWIKH KITA !

( I  25 )   ILHAM ILAHI

PANTUN RAMADHAN (Bah.3) : TARAWIKH KITA !


Lagu  Raya dilupa jangan.
   Tarikh tidak payah diragui lagi.
Begitu gembira menyambut Ramadhan.
   Tarawikh berjamaah hanya bulan ini. 

Dulu sama kita merantau.
   Terkenang tawarikh hidup di Rawang.
Minggu pertama penuhnya surau.
   Sembahyang tarawikh di tepi longkang.

Puyuh meragam tidak diberi makan.
   Pantau tidurnya inginkan terang.
Sepuluh malam terakhir Ramadhan.
   Surau masjid semakin lengang.

Tunggu pemuda janji bermacam.
   Mama kata, janganlah percaya.
Garu kepala, tanya Pak Imam.
   Kemana hilangnya jamaah semua?   

Jika sampai kapal terbang mendarat.
   Lambatnya ketibaan menunggunya berpeluh.
Ada sampai bertegang urat.
   Raka'at nak buat lapan atau dua puluh.

Letihnya menganyam berpuluh-puluh ketupat.
   Asyiknya melihat, teringin mencuba dan merasa kagum.
Lecehnya buat dua puluh raka'at.
   Akhirnya, banyak kipas angin daripada makmum.

Beli juadah jika nak balik.
   Cari jalan pintas kalau nak cepat.
Diselangi tazkirah itu lebih baik.
   Dari seratus raka'at solat sunat.

Si fasik penat dibuat-buat.
   Terabai ibadat wajib puasanya.
Tarawikh, ibadat sambil berehat.
   Sesuai dengan masyarakat kita.

Lumba berhalang pantas berlalu.
   Itu bekas juara pelumba.
Ada sembahyang ekspres laju.
   Satu nafas Al Fatihah dibaca.

Kalau dibaca dengan taranum.
   Al Quran suka didengar semua.
AJK surau syukur tersenyum.
   Kutipan derma luar biasa.

Pisau sebilah dan tombak diperaga.
   Pesilat mematah tidak perlu senjata.
Walau ibadah tidak sempurna.
   Semangat mengimarah surau tetap ada.

Kalau si Merah kurang zat.
   Belikan makanan kucing bermutu.
Terlampau ghairah sembahyang sunat.
   Jangan lupa sembahyang fardhu.

Meminta-minta bukan agresif.
   Jika tak buat tak akan berlaku.
Semoga tahun hadapan lebih positif.
   Apabila masyarakat lebih berilmu.

Pandai mengira, membaca buku adik bermegah.
   Mahukan hadiah, biasalah si budak sekolah.
Sampai masa dengan ilmu kita berubah.
   Dahulukan ibadah, lupakan adat yang bercanggah. 

- Tuk Ki



Doa qunut solat tarawikh di Mekah

SELAMAT HARI RAYA IDULFITRI
                    1433 H

No comments:

Post a Comment