ANEKDOT TAQWA (4): JAWAPAN TEPAT
Pernahkah anda diterjah oleh seorang bukan Islam dengan soalan "Siapakah Allah?" atau soalan-soalan yang lebih kurang sama maksudnya? Atau besar kemungkinan soalan itu datang dari anak cucu kita sendiri! Bagi seorang yang bukan ahli pendakwah mungkin kita akan tersentak dan mengambil masa untuk memikirkan jawapan yang tepat.
Seorang pendakwah muda keturunan Iban yang kini bergelar ustaz, telah menceritakan pengalaman beliau di mana jawapan dari soalan itulah yang membuka hatinya untuk mengetahui lebih dalam lagi tentang Islam. Dalam proses beliau mencari kebenaran, beliau telah membuat perbandingan antara Al Quran dan Injil sehingga beliau telah membuat keputusan untuk meninggalkan agama Kristian dan memeluk agama Islam. Kini beliau sedang bergiat aktif dalam kerja-kerja dakwah di negeri asalnya, Sarawak.
Seorang guru sains di sekolahnya telah memberi penjelasan setakat kemampuannya yang amat terkesan di hatinya. Jawapannya ialah tidak lain dari kandungan salah satu Surah terpendek yang kita semua tahu iaitu Surah Al Ikhlas (Qul Hu Allah). Terjemahannya:
Ayat 1. Katakanlah (Muhammad) "Dialah Allah Yang Maha Esa.
2. Allah tempat meminta segala sesuatu.
3. (Allah) tidak beranak dan tidak pula diperanakkan.
4. Dan tdak ada sesuatu yang setara dengan Dia."
Asbabun Nuzul ayat 1~4.
Ubai bin Ka'ab menjelaskan 4 ayat ini diturunkan berkenaan kaum Musyrikin yang pada satu ketika berkata kepada Rasullullah s.a.w. "Hai Muhammad, jelaskan kepada kami tentang salasilah Tuhanmu!"
(HR. Termidzi, Hakim dan Ibnu Khuzaimah).
Begitulah Allah S.W.T. telah menyediakan jawapan yang paling tepat di dalam Al Quran berkenaan dengan ketauhidan terhadapNya.
Wallahua'lam.
- Tuk Ki