MUQADDIMAH- serangkai cetusan hati

MUQADDIMAH - serangkai cetusan hati
(I1) NAH!

Nah! rupa-rupanya segala rintih-rintihku Engkau sahuti
Sebelumnya...
rintihan sepontan terpantul
berulang kali.
Keluhan kesal terhembus
berulang kali.
Telahku lenyapkan ruang untuk mengenaliMu!
Manakan daya untuk mendekatiMu!
Kurniakanlah...kurniakanlah ya Ilahi.


Nah! ianya berlaku.
Idaman terhidang dihamparNya jalan.
Jangan dirintih jangan dikeluh berulang kali.
Syukur Alhamdulillah!
Mereka tidak mengerti penuh simpati
yang bijaksana menabur empati.
Namun aku tetap bersyukur Alhamdulillah!
Aku tenggelam dalam lautan-lautan ilmu dan kebesaranMu.


Nah! umpama titian sirat di dunia nyata.
Engkau pilih antara sehelai rambut dan selebar expressway.
Jangan merintih!
Jangan mengeluh!
Berulang kali lagi.
Kerana destinasi kita...
Qiblat yang tidak terperinya sebuah KEJAYAAN mutlak ...seperti dilaungkan mu'azzin dalam seruan azannya
.

Tuk Ki

* Untuk asimilisasi para insan penghidap angin ahmar (stroke), ahli keluarga dan penjaga mereka dan kepada insan-insan sejagat.

Wednesday, 11 March 2015

BENTUK KEHAMBAAN DI DALAM SOLAT

20 JAMADILAWAL 1436 H

( N  83 ) NUKILAN DARI TAMAN SYURGA.



BENTUK KEHAMBAAN DI DALAM SOLAT.

Allah Ta'ala berfirman, bermaksud:

"Kembalilah kepada Allah (bertaubat) dan dan bertakwalah (patuhlah) kepadaNya dan tetapkanlah dalam mengerjakan sembahyang (menurut rupa bentuk yang disuruh oleh Allah Ta'ala) dan janganlah kamu termasuk orang-orang yang mempersekutukan Allah." - Surah ar-Rum : 31

"Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu berjaya, iaitu mereka yang khusyuk dalam sembahyangnya." - Surah al-Mu'minun : 1~2.

"Dan mereka yang tetap memelihara sembahyangnya." : Surah al-Mu'minun : 9.

"Kecuali orang-orang yang bersembahyang yang berkekalan memelihara ssembahyang mereka." - Surah al-Ma'arij : 22~23.

"Dan tetapkanlah dalam mengerjakan sembahyang, sesungguhnya sembahyang itu akan menghalangi perbuatan keji dan salah dan sesungguhnya mengingati Allah itu (sembahyang) amat besar manfaatnya." - Surah al-'Ankabut :45.

Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya "Bersembahyanglah seperti mana kamu melihat aku bersembahyang." 

RUPA SEMBAHYANG.

1. Rupa luaran, yakni, syarat-syaratnya adalah sebagai rohnya, rukun-rukunnya sebagai kepala dan badannya, sunat ab'adh itu sebagai anggotanya, dan sunat haiah itu sebagai perhiasannya.

2. Rupa dalaman (hakiki), yakni, khusyuk, hadir hati, ikhlas, rendah diri, memahami makna bacaan dan tasbih dan lain-lain tanggungjawab sembahyang yang batin.

Menurut Imam al-Ghazali r.t orang yang sembahyanng dengan rupa luaran sahaja umpama memberi hadiah kepada raja yang besar darjatnya, seorang yang telah mati dan telah tiada rohnya. Manakala hadiah itu terpotong anggota badannya dan tiada kedua matanya jika luaran sembahyangnya terkurang. Beliau suruh kita berfikir jika kita menghadiahkan sembahyang kita kepada Allah s.w.t begitu hal keaadaannya.

Muhammad bin Ali Tirmizi r.a menyebut bahawa sembahyang itu tiang agama. Dalam menghadap kepadaNya hendaklah dalam keadaan rupa kehambaan: 

Merendah diri ketika wukuf (berdiri),
menyerah diri ketika takbir,
menghina diri ketika bacaan dan pujian,
khudhuk (rendah sepenuh hati) ketika rukuk,
khusyuk ketika sujud,
gemar/suka ketika julus (duduk),
rindu-dendam ketika tasyahud,

dengan harapan Allah Ta'ala menghadap kepada kita dengan belas-kasihanNya, lemah-lembutNya dan hampirNya.

Ubadah bin as-Somit meriwayatkan bahawa Nabi s.a.w bersabda: "Allah memfardhukan sembahyang lima waktu ini kepada sekelian hambaNya. Sesiapa yang melakukannya dengan sempurna dan tidak mengurangkan haknya maka baginya adalah janji Allah dengan balasan syurga. Dan sesiapa meninggalkan dan meringankan haknya, maka tiadalah baginya janji Allah itu. Terpulang kepada kehendak Allah, samaada untuk mengasihaninya atau menyiksanya."

Semoga kita sentiasa berusaha memperbaiki kualiti dan kuantiti solat kita termasuk solat sunat, in sya Allah.

Wallahua'lam.

Sumber: kuliah dengan kitab Munyatul Musolli...

- Tuk Ki Jemaah
(Daripada talib kepada mukallaf)    

    

Saturday, 28 February 2015

PENGENALAN ASAS ILMU TASAWUF : ANEKDOT TAKWA (26)

9 JAMADILAWAL 1436 H

( N  82 )   NUKILAN DARI TAMAN SYURGA

ANEKDOT TAKWA (26):

PENGENALAN ASAS ILMU TASAWUF.


1. Ilmu Tasawuf juga dikenali sebagai ilmu batin, ilmu suluk, ilmu tariqat dan ilmu hakikat. 

2. Di definasikan sebagai ilmu yang menyatakan cara penyucian hati untuk mengenal Allah S.W.T.

3. Ia adalah Fardhu Ain atas setiap mukallaf (Islam, baligh dan berakal).

4. Matlamatnya ialah untuk mengenal Allah.

5. Ia adalah penyempurna kepada ilmu-ilmu tauhid dan feqah.

6. Penyusunnya ialah Syeikh Junaid al-Baghdadi r.t.

7. Bersunberkan Quran, hadis dan ilham.

8. Kelebihannya ialah untuk kebahagian dunia dan akhirat.

9. Perkara yang dikaji ialah diri sendiri (manusia).

10. Kaedah pembersihan rohani, amalan hati dan dosa hati. 

PETIKAN KATA-KATA :

1. Imam Ahmad bin Hambal kepada anaknya: "Wahai anakku! hendaklah kamu menghafal hadis dan jangan sekali-kali engkau duduk bersama-sama golongan yang menamakan diri mereka ahli sufi, kerana boleh jadi mereka tidak mengetahui hukum-hakam agamanya." 
Tetapi setelah Imam Ahmad berguru dan mendalami tasawuf dengan Syeikh Abu Hamzah al-Baghdadi dia mengubah pendiriannya dan berkata pada anaknya: 
"Wajib ke atas kamu berguru dengan ahli-ahli sufi kerana mereka melebihi diri kita dengan ilmu yang banyak, muraqabah, takut Allah S.W.T , zuhud, dan keazaman yang tinggi."

2. Imam Syafie dan Imam Ahmad kerap berulang alik berguru dengan ahli sufi dan telah ditanya: "Mengapakah kamu berdua selalu berjumpa dengan golongan 'jahil' (ahli sufi) itu?"
Imam Syafie menjawab: "Sesungguhnya disisi mereka terdapat KUNCI bagi segala perkara dalam agama iaitu KETAKWAAN KEPADA ALLAH S.W.T, KECINTAAN KEPADANYA dan MAKRIFATNYA (mengenal Allah)."

(Jami' al-Usul fi al-Awliya).

Wallahu a'lam. 

Sumber: kuliah berdasarkan kitab Risalah Fardhu Ain.

- Tuk Ki Jemaah
(Daripada talib kepada mukallaf)

  

Wednesday, 18 February 2015

DUA TRAGEDI SAFAR TAHUN 4 HIJRAH : SIRAH NABI S.A.W

28 RABIULAKHIR1436H 

( N  80 ) NUKILAN  DARI TAMAN SYURGA


SIRAH : 

DUA TRAGEDI SAFAR TAHUN 4 HIJRAH.

Rasulullah s.a.w tidak terhindar daripada mengalami kesedihan yang berpunca dari kejadian-kejadian tragis yang menimpa para sahabat dalam menjalankan tugas-tugas dakwah mereka atas arahan baginda sendiri.

1. PERUTUSAN AL-RAJI' (Berlaku dalam bulan Safar tahun 4 Hijrah).

Wakil-wakil dari qabilah Udhal dan Qaarah telah berjumpa Rasullullah s.a.w dan mememinta baginda menghantar guru-guru ke qabilah mereka untuk mengajar al-Quran dan agama. Rasulullah telah mengutuskan bersama mereka seramai enam orang penghafaz al-Quran (mengikut riwayat Ibnu Ishak dan al-Bukhari ialah sepuluh orang).

Baginda telah melantik Mirthad bin Abi Mirthad al-Ghanawi sebagai Amir perutusan itu. Ibnu Ishak dan al-Bukhari mencatatkan Amir itu ialah Asim bin Thabit iaitu datuk kepada Asim bin Umar bin al-Khatab. 

Sesampai rombongan pendakwah dan wakil-wakil qabilah itu di al-Raji', ia-itu kawasan air qabilah Huzail yang terletak diantara Rabigh dan Jeddah, tiba-tiba wakil qabilah Qaarah dan Udhal telah menzahirkan niat jahat mereka yang sebenar dengan memberi isyarat kepada qabilah Huzail yang dikenali sebagai Banu Lahyan supaya menyerang rombongan pendakwah Islam itu.

Mereka telah diserang oleh seratus orang pemanah dan cuba menyelamatkan diri dengan mencari perlindungan dan bertahan di kawasan dipanggil Fad-Fad. Penyerang-penyerang orang-orang Islam telah menyeru supaya Asim dan rombongannya menyerah diri dan menjanjikan keselamatan kepada mereka namun telah ditolak oleh Asim dan terus melawan serangan musuh.

Oleh kerana bilangan musuh yang terlalu ramai yang dapat menyerang dari jauh menggunakan panah, tujuh orang pendakwah telah gugur syahid termasuklah Asim. Hanya Khubaib, Zaid bin al-Dathnah dan seorang pendakwah yang lain masih terselamat. Musuh sekali lagi menawarkan janji yang sama jika mereka tidak melawan dan kali ini mereka bersetuju meletakkan senjata. Lantas musuh mengkhianati janji mereka dengan menangkap dan mengikat mereka bertiga dengan tali-tali panah. Mereka dipaksa mengikut qabilah itu namun pendakwah yang ketiga telah enggan dan telah dibunuh di situ juga.

Khubaib dan Zaid bin al-Dathnah telah dijual Makkah. Sebenarnya, mereka berdua telah membunuh bembesar-pembesar Makkah di dalam perang Uhud dan ada kalangan musyrikin Quraisy yang berdendam, antaranya ialah Uqbah bin al-Harith setelah bapanya dibunuh oleh Khubaib dalam peperangan tersabut,

Khubaib yang di dalam kurungan telah dibawa keluar dari Tanah Haram ke Tanaim untuk dibunuh. Sebelum disalib, Khubaib telah meminta untuk bersolat dua raka'at dan mendoakan kemusnahan kepada musuh-musuh Allah s.w.t dan menyatakan bahawa beliau tidak memanjangkan solatnya kerana tidak mahu orang musyrikin meyangka dia takut mati. Pada malam itu Amru bin Umayah al-Dhamri telah berjaya membawa lari jenazah yang syahid itu dari situ untuk dikebumikan.

Mengikut hadis sahih, Khubaiblah orang pertama bersolat sunat dua raka'at sebelum pembunuhan. Sebagai tanda kesyahidannya, ramai orang melihat beliau sedang memakan setangkai buah anggur semasa di dalam kurungannya sebelum dia di hukum bunuh. Padahal di masa itu buah tamar pun tiada di Makkah inikan pula buah anggur.

Zaid al-Dathnah pula telah diburu oleh Safwan bin Umaiyah dan telah syahid di tangan Safwan yang menuntut bela di atas pembunuhan ayahnya. 

Pihak Quraisy telah pergi ke Fad-Fad untuk mengenal pasti mayat Asim yang telah membunuh pembesar mereka di dalam peperangan Badar. Mereka tidak dapat menghampiri mayat Zaid kerana Allah s.w.t telah menghantar sekumpulan tebuan berlegar-legar melindungi jenazah syahidnya. Sebelum itu Asim pernah memohon kepada Allah s.w.t supaya badan beliau tidak disentuh oleh musyrikin dan tidak pula beliau mahu menyentuh musyrikin.

.....Bersambung in sya Allah.

Wallahu a'lam.

Sumber: kuliah berdasarkan kitab Al-Raheeq Al-Makhtum.


- Tuk Ki Jemaah
(Daripada talib kepada mukallaf)

       

Saturday, 24 January 2015

MANA YANG LEBIH UTAMA? - ANEKDOT TAKWA (25)

3 RABIULAKHIR 1436 H

( N  79 )   NUKILAN DARI TAMAN SYURGA 


ANEKDOT TAKWA (25) : 

MANA YANG LEBIH UTAMA?


Dengan jelas Allah S.W.T memberi ancaman kepada hambaNya yang mengutamakan dunia lebih daripada akhirat. Kadang-kadang sehingga mengabaikan dan memandang ringan hukum-hukum Allah demi untuk mencapai matlamat hidup di dunia ini.  

Firman Allah S.W.T di dalam ayat 18 & 19 : Surah Al-Isra' :-

18. Barangsiapa menghendaki kehidupan sekarang (duniawi), maka Kami segerakan baginya di dunia itu apa yang Kami kehendaki bagi orang yang Kami kehendaki dan Kami tentukan baginya neraka Jahannam; ia akan memasukinya dalam keadaan tercela dan terusir.

19. Dan barangsiapa yang menghendaki kehidupan akhirat dan berusaha ke arah itu dengan sungguh-sungguh sedang ia adalah mukmin, maka mereka itu adalah orang-orang yang usahanya dibalas dengan baik. 

Benarlah firman Allah Yang Maha Agung.

Allah S.W.T dengan sifat Ar-RahmanNya akan memperkenankan usaha-usaha hambaNya walaupun ia seorang yang derhaka atau kafir. Jangan merasa pelik jika melihat kejayaan orang-orang yang melanggar perintahNya.  

Tetapi dengan sifat Ar-RahimNya, ia adalah khas bagi orang-orang mukmin di akhirat kelak.
Jika akhirat diutamakan, berusahalah bersungguh-sungguh dimulai dengan menambah ilmu yang lengkap dan mengamalkannya dengan ikhlas disamping hidup mengikut kehendak Islam.

Wallahu a'lam.

- Tuk Ki Jemaah
(Daripada talib kepada mukallaf)   

Sunday, 4 January 2015

HATI-HATI DENGAN HATI - PANTUN

13 Rabiul awal 1436 H

( I 41 )   ILHAM ILAHI


PANTUN : 

HATI-HATI DENGAN HATI.


Tatap wajahmu, fakir kata-kataku.
   Sejuk di mata menganalisa di benak.
Dakap hatimu, tafsir hatimu.
   Untuk berbicara hanya sejenak.

Alangkah pilu dengan tragedi.
   Bak batu pecahkan kaca.
Matangkah hatimu dengan naluri.
    Gerak hatimu berdasarkan apa?

Alas percakapan dengan kiasan.
   Kawan sedar perbaiki diri.
Awas dengan bisikan-bisikan.
   Akan mencemar naluri hati.

Hembuskan layar hatiku ini.
   Meluncur aman ke persada iman.
Jangan biar hatimu mati.
   Berkubur berteman bersama kejahilan.

Kini mengalami banjir melimpahi.
   Bencana biasan hantaran Tuhan.
Hati yang mati hanyir dan keji.
   Umpama takungan air limbahan.

Kali ini menyusuri wadi.
   Jalan pintasan menjimati masa.
Hati yang mati membenci mati.
   Mengharapkan berterusan menikmati dunia.

Kami berbeza tetapi ramai.
   Yang banyak tenaga, boleh buat banyak kerja.
Hati yang leka juga lalai.
   Yang banyak ketawa, yang terlebih banyak jenaka.

Hati-hati mengusik bini.
   Kerana dia penggeli oangnya.
Hati yang mati mendabik diri.
   Berbangga hanya ilmu dunia.

Ulama dicerca dan dicaci.
   Mengekang lidah adalah adabnya.
Serba tak kena di dalam hati.
   Memandang rendah ilmu agama.

Malas kaki menuju ke kuliah.
   Terpaksa pergi kerana mustahak.
Keras hati dengan nafsu amarah.
   Kerana hati kurang berakhlak.

Beri balik wang pecah amanah.
   Sekiranya mahu menghindar tindakan mahkamah.
Hati baik, penyayang dan pemurah.
   Sayangnya terkeluar amalan syariah.

Kerbau di tambatan malang sekaji.
   Sifatnya buas, tuannya cemas.
Kalau syaitan bersarang di hati.
   Solatnya malas, puasanya culas.

Mizan neraca mengadili nanti.
   Kemenangan di akhirat kerana ikhlasnya.
Tompokan dosa mengotori hati.
   Dengan bertaubat bersihlah ia.  

Dengan berziarah menambahkan lagi.
   Mengesahkan kebenaran di hadapan mata.
Dengan zikrullah menghidupkan hati.
   Mulakan perbuatan dengan nama Allah azawajalla.

Berseri wajah si teman Nabi.
   Cerita hal syurga dengan sifat-sifatnya.
Mengenali Allah menghidupkan hati.
   Sehingga membara mencintai zatNya.

Lelabah berperanan dalam Hijrah.
   Memadai merangkak membina sarangnya.
Kenalilah, dalamilah Rasulullah.
   Mempunyai hati berakhlak mulia.

Mengadap guru bertemu mata.
   Cikgu Rauf semua menghormati.
Pelengkap ilmu di dalam dada.
   Ilmu Tasawuf penyempurna hati.

Bumi kita telah bibahagikan.
 Dua hemisfera sudah dikenali.
  Bumi dihuni manusia pelbagai.
   Amanat manusia untuk menjaganya.
Sekali-sekala musibah diturunkan.
 Memaksa manusia menilik kembali.
  Hati yang mati dek lupa dan lalai.
   Bertaubat segera, untuk hati didupkan semula.


- Tuk Ki Jemaah.  


Saturday, 3 January 2015

AL-QURAN: KISAH BANJIR TERLEBIH DAHSYAT - ANEKDOT TAKWA (24)

12 RABIUL AWAL 1436 H

( N 78 ) NUKILAN DARI TAMAN SYURGA.

ANEKDOT TAKWA ( 24 )

AL-QURAN: KISAH BANJIR TERLEBIH DAHSYAT.

Kisah Nabi Nuh a.s telah diwahyukan kepada Nabi Muhammad s.aw ketika menghadapi kedegilan dan kesombongan orang-orang musyrikin Mekah.

 Pembinaan sebuah bahtera atas perintah Allah Ta'ala dan peristiwa dahsyat banjir besar seperti lautan keatas kaum Nabi Nuh a.s diceritakan didalam al-Quran dari ayat 37 hingga 49 Surah Hud. 

Di antara ayat-ayat itu ialah ayat 42,43 dan 44, terjemahannya:-

42. Dan bahtera itu berlayar membawa mereka dalam gelombang laksana gunung. Dan Nuh memanggil anaknya (bernama Qan'an), sedang anak itu berada di tempat yang jauh terpencil, "Hai anakku, naiklah (ke kapal) bersama kami dan janganlah kamu berada bersama orang-orang yang kafir."

43. Anaknya menjawab, "Aku akan mencari perlindungan ke gunung yang dapat memeliharaku dari air bah!" Nuh berkata, "Tidak ada yang melindungi hari ini dari azab Allah selain Allah Yang Maha Penyayang." Dan gelombang menjadi penghalang antara keduanya; maka jadilah anak itu termasuk orang-orang yang ditenggelamkan.

44. Dan difirmankan, "Hai bumi telanlah airmu, dan hai langit (hujan) berhentilah," dan airpun disurutkan, perintah pun diselesaikan ( janji Allah dengan membinasakan orang-orang yang engkar) dan bahtera itupun berlabuh diatas bukit Judi, dikatakan, "Binasalah orang-orang yang zalim."

 Ini gambaran dan peringatan dari Allah Taala tentang kuasaNya kepada hambanya yang sering berdegil, sombong, engkar dan lalai terhadap suruhan-suruhanNya dan tegahan-tegahanNya. Banjir besar yang melanda negara ini sebenarnya belum cukup besar kalau dibandingkan dengan banjir  di zaman Nabi Nuh a.s. Ini adalah masa untuk muhasabah diri masing-masing.

Wallahu a'lam.


Sumber: kuliah

- Tuk Ki Jemaah
(daripada talib kepada mukallaf)         

Thursday, 18 December 2014

TAUHID bhg. 14: SIFAT QUDRAT

 25 SAFAR 1436 H

(  N 77 )   NUKILAN DARI TAMAN SYURGA



TAUHID/AKIDAH bhg. 14 : 

SIFAT KE-7 QUDRAT (PEKUASA).

Sifat Qudrat atau Pekuasa Allah Ta'ala itu wujud pada ZatNya sejak sedia kala (yang tiada permulaan). Dengan sifat Pekuasalah Allah Ta'ala Maha Berkuasa untuk mengadakan dan meniadakan apa-apa mumkin (apa-apa kemungkinan kejadian selain daripada Allah Ta'ala). Wajib kita mengetahui serta mengaku di dalam hati bahawa sifat Qudrat ada pada Allah Ta'ala.

Allah Ta'ala berfirman, terjemahannya:

"....Dan sesungguhnya Allah Ta'ala jua yang Maha Berkuasa atas tiap-tiap sesuatu."
(surah Al-Haj : ayat 6)

Allah Ta'ala mengadakan dan meniadakan setiap kejadian mumkin dengan muafakat/selari sifat IradatNya (PekehendakNya) yang akan dibincangkan di bawah tajuk Sifat Iradat.

8 TA'ALUQ SIFAT QUDRAT.

Ta'aluq bermaksud tugas/kerja sifat Qudrat. Contohnya, kita melihat dengan penglihatan (namun qudrat makhluk tidak berkesan tanpa Qudrat Allah Ta'ala kerana kita bersifat lemah).

PERTAMA: TA'ALUQ SULUHI QADIM.

Qudrat itu ada pada azali (sedia kala) lagi dalam keadaan patut mengadakan dan patut meniadakan mumkin. Dengan bahasa mudahnya, mahu buat atau tidak mahu buat.

KE-2 : TA'ALUQ TANJIZI HADITH.

Meluluskan tugasan/pekerjaan iatu mengadakan mumkin seperti makhluk daripada tiada kepada ada. 

NOTA : Ta'aluq 1 dan 2 adalah ta'aluq Qudrat secara ijmal (umum). Manakala ta'aluq 3 - 8 adalah secara tafsili (terperinci).




KE-3 : TA'ALUQ QABDAH (a) (genggaman) bererti setiap mumkin itu adalah di dalam genggaman Qudrat (Pekuasa). Jika Allah Ta'ala menghendaki mumkin itu, ,maka terjadilah. Begitu juga sebaliknya, jika Allah Ta'ala tidak menghendakinya maka mumkin itu dalam hal keadaan tiada jua.

KE-4 : TA'ALUQ QABDHAH (b) (genggaman) dimana makhluk yang telah ada ini adalah di dalam genggaman Qudrat (Pekuasa). Jika Allah Ta'ala menghendaki mengekalkan dan meniadakan (mati/musnah) mumkin/makhluk nescaya ia akan terjadi.

KE-5 : TA'ALUK TANJIZI HADITH (a) (meluluskan) ialah meniadakan mumkin/makhluk seperti mematikannya.

KE-6 : TA'ALUQ QABDHAH (c) (genggaman) pula ialah perihal selepas mati, mumkin adalah didalam genggaman Qudrat (Pekuasa) untuk menghidupkan kembali atau mengekalkannya dalam keadaan tiada selepas mati.

KE-7 : TA'ALUQ TANJIZI HADITH (b) (meluluskan) iaitu mengadakan pula dengan menghidupkan selepas daripada mati.

KE-8 : TA'ALUQ QABDHAH (d) (genggaman) ialah selepas hidup kembali mumkin/makhluk adalah didalam genggaman Allah Ta'ala. Jika Allah Ta'ala menghendaki untuk meniadakan maka terjadilah dan jika Allah Ta'ala hendak mengekalkan keadaan seadanya maka kekallah ia.

Walaubagaimanapun, adalah tidak wajib untuk mengetahui segala ta'aluq yang tersebut, namun untuk mengetahuinya adalah digalakkan dan terlebih baik. 

Terbukti Allah Ta'ala itu bersifat Qudrat (Pekuasa yang Maha Berkuasa) dan tidak lemah kerana alam/makhluk ini sudah ada dapat disaksikan dengan mata-kepala. Wajib kita berpegang dan mengakui perkara ini di dalam hati setelah pengakuan Allah Ta'ala di dalam firmanNya, ertinya :

"Allah menciptakan apa yang dikehendakiNya, sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu,"

(surah An-Nur : ayat 45)

Benarlah, sesungguhnya Allah Ta'ala yang menjadikan alam/makhluk dengan sifat Qudrat (Pekuasa) dan tidak lemah. 

(Sila dapatkan pimpinan guru yang mahir di dalam pengajian ilmu Tauhid/Akidah).


Wallahu a'lam.

Sumber : kuliah menggunakan kitab-kitab Faridatul Faraid....dan Al-Misbah Al-Munir...


Tuk Ki Jemaah
(Daripada talib kepada mukallaf)