MUQADDIMAH- serangkai cetusan hati

MUQADDIMAH - serangkai cetusan hati
(I1) NAH!

Nah! rupa-rupanya segala rintih-rintihku Engkau sahuti
Sebelumnya...
rintihan sepontan terpantul
berulang kali.
Keluhan kesal terhembus
berulang kali.
Telahku lenyapkan ruang untuk mengenaliMu!
Manakan daya untuk mendekatiMu!
Kurniakanlah...kurniakanlah ya Ilahi.


Nah! ianya berlaku.
Idaman terhidang dihamparNya jalan.
Jangan dirintih jangan dikeluh berulang kali.
Syukur Alhamdulillah!
Mereka tidak mengerti penuh simpati
yang bijaksana menabur empati.
Namun aku tetap bersyukur Alhamdulillah!
Aku tenggelam dalam lautan-lautan ilmu dan kebesaranMu.


Nah! umpama titian sirat di dunia nyata.
Engkau pilih antara sehelai rambut dan selebar expressway.
Jangan merintih!
Jangan mengeluh!
Berulang kali lagi.
Kerana destinasi kita...
Qiblat yang tidak terperinya sebuah KEJAYAAN mutlak ...seperti dilaungkan mu'azzin dalam seruan azannya
.

Tuk Ki

* Untuk asimilisasi para insan penghidap angin ahmar (stroke), ahli keluarga dan penjaga mereka dan kepada insan-insan sejagat.

Tuesday, 8 October 2013

TAUHID (8): SESAT: MUKTAZILAH, JABARIAH, QADARIAH

3 ZULHIJJAH 1434 H

( N  53 ) NUKILAN DARI TAMAN SYURGA 

ILMU TAUHID/AQIDAH BAH. (8):

SESAT : MUKTAZILAH, JABARIAH, QADARIAH. 



K
enalilah antara aqidah-aqidah yang batil ( yang bertentangan dengan iktiqad/kepercayaan ahli sunnah wal jamaah) yang telah wujud semenjak zaman tabiin lagi.

IKTIQAD DAN CIRI-CIRI 

MAZHAB MUKTAZILAH.

1. Orang Islam yang melakukan dosa besar tidak dikira sebagai seorang mukmin dan tidak pula menjadi kafir. Sekiranya mereka tidak bertaubat, mereka akan kekal di dalam neraka tetapi tahap keseksaan adalah tdak seberat orang kafir. 

2. Banyak menggunakan fikiran yang dicampurkan dengan falsafah Yunani.

3. Mereka berpegang bahawa al-Quran itu baru sahaja diciptakan. Dalam mentafsir Quran dan hadis, terlalu banyak menggunakan akal fikiran.

4. Fahamannya banyak sama dengan fahaman agama Kristian. Umpamanya, keyakinan mereka bahawa Quran itu ialah ciptaan manusia.

 MAZHAB JABBARIAH.

1. Menafikan langsung usaha dan ikhtiar seorang hamba Allah. Mereka beriktikad bahawa hamba tidak perlu mengerjakan kebajikan untuk mengharapkan pahala, dan meninggalkan kejahatan kerana dosa.

2. Tidak mahu menggunakan akal fikiran kerana menganggap semua ikhtiar hamba itu sia-sia belaka.

3. Menyerahkan segala nasib mereka kepada Allah semata-mata, tanpa berikhtiar untuk mendapatkan kebahagian dan menolak kecelakaan.

4. Tidak mahu berfikir tentang apa yang berlaku di dalam dunia ini.

MAZHAB QADARIAH.


1. Beriktikad bahawa seorang hamba berkuasa penuh menjayakan segala urusan dan pekerjaan mereka tanpa disertai oleh qudrat Allah Taala.

2. Beriktikad bahawa segala perbuatan manusia yang dikerjakan dengan sengaja adalah terjadi atas daya upaya manusia itu sendiri yang diciptakan oleh qudrat yang dijadikan Allah untuk manusia.

3. Kesan-kesan ikhtiar dan usaha hamba itu akan terhasil tanpa berhajat kepada kekuasan Allah Taala. Qudrat dan iradat Allah dan tindakan hamba tiada hubung kait.

4. Kebahagian dan kecelakaan akan wujud hasil daripada kekuasaan yang tersedia pada diri hamba itu sendiri, bukan dari kekuasaan Allah Taala.

5. Allah dan makhluknya tidak ada pertalian dalam memperbuat sesuatu benda yang ada di dalam dunia ini.

6. Beriktikad berlakunya kekufuran dan penderhakaan seorang hamba, bukanlah dengan takdir Allah, tetapi adalah kesan-kesan perbuatan hamba itu sendiri. Mereka menafikan qadha' dan qadar Allah terhadap hambaNya.

7. Percaya bahawa Allah Taala tidak mengetahui sesuatu perkara yang akan terjadi sebelum perkara itu berlaku. Mereka beriktikad Allah Taala mengetahui suatu perkara itu berlaku pada masa permulaan perkara itu berlaku.

Banyak lagi kesesatan dan penyelewengan aqidah yang berlaku di masakini. Oleh itu sangatlah mustahak kita memahami ilmu aqidah/tauhid supaya tidak terjebak secara halus dan secara tidak sedar. Na'uzubillah min zalik.

Wallahu a'lam.

(Sumber: kuliah berdasarkan kitab 'Aqidah Ahli Sunnah waljamaah' tulisan Hj Said Hj Ibrahim, bekas Mufti Sabah).

- Tuk Ki
(Daripada talib kepada mukallaf)        

Thursday, 26 September 2013

HADIS QUDSI (10) : KELAKUAN ZALIM

  20 ZULQAIDAH 1434 H

( N  52 ) NUKILAN DARI TAMAN SYURGA 

HADIS QUDSI (10) : 

KELAKUAN ZALIM 

Di dalam sebuah hadis qudsi Allah s.w.t berfirman, maksudnya: 

"Allah s.w.t mewahyukan kepada Nabi Daud a.s : "Katakan kepada orang-orang yang melakukan kezaliman. Janganlah kamu mengingati Aku (kecuali setelah bertaubat atau dalam usaha untuk bertaubat) kerana Aku selalu mengingati orang yang mengingati Aku. Tetapi ingatanKu terhadap orang (yang melakukan kezaliman) berupa laknat kepada mereka." 

- Riwayat Hakim dan Dailami dan Ibnu 'Asakir dari Ibnu Abbas r.a.

Keterangan hadis:

Allah malarang orang yang melakukan kezaliman atas nama Allah atau menyebut-nyebut salah satu sifat-sifatNYA. Orang yang benar-benar berzikir (mengingat Allah) tidak akan melakukan kezaliman kecuali ia berpura-pura dan seolah-olah hendak menipu Allah. Mereka itulah yang sedang menipu diri sendiri.

Allah melimpahkan rahmat, kurnia dan keampunanNYA kepada hamba yang mengingatiNYA tetapi melaknat kepada yang berpura-pura mengingatiNYA sedang ia melakukan kezaliman.

Laknat bermaksud mengusir dan menjauhkan orang berkenaan daripada rahmatNYA, dan menurunkan azab seksaNYA ke atas penzalim itu. 

ZALIM: APAKAH YANG DIMAKSUDKAN.

Menurut kabanyakan ulama, zalim ertinya meletakkan sesuatu bukan pada tempat yang semestinya. Samaada mengurangi, menambah atau mengubah waktu, tempat atau kedudukannya. Dengan lain perkataan, sebagai penyimpangan dari ketentuan, besar atau kecil. Yakni, melakukan dosa besar atau kecil. 

Ada tiga jenis kezaliman:

1. KEZALIMAN TERHADAP ALLAH S.W.T.

Kezaliman terbesar dari jenis ini ialah kufur (mengingkari Allah), syirik (menyekutukan Allah) dan nifak (mengaku beriman dengan lidah tetapi hatinya menolak). Allah berfirman maksudnya:

"....sesungguhnya perbuatan syirik itu adalah satu kezaliman yang besar."
- Surah Al-Luqman ayat 13. 


"(Apabila berlaku yang demikian ), maka nyatalah bahawa tidak ada yang lebih zalim daripada orang yang mereka-reka perkara yang dusta terhadap Allah." 
- Surah Az-Zumar ayat 32.

2. KEZALIMAN TERHADAP SESAMA MANUSIA.

Sesuatu perbuatan yang menyebabkan orang lain rugi kerana perbuatannya seperti malanggar janji,takabbur, membuat kaburukan dan seumpamanya seperti maksud firman Allah: 

"Dan (jika kamu hendak membalas maka) balasan sesuatu kejahatan ialah kejahatan yang bersamaan dengannya; dalam pada itu sesiapa yang memaafkan  (kejahatan orang) dan berbuat baik  (kepadanya), maka pahalanya tetap dijamin oleh Allah (dengan diberi balasan yang sebaik-baiknya). Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berlaku zalim." 
- Surah Asy-Syuura ayat 40.  

3. KEZALIMAN TERHADAP DIRINYA SENDIRI.

Iaitu berbuat maksiat dan derhaka seperti berzina, ambil benda yang memabukkan; melanggar larangan-larangan Allah, mengurangi atau menambah ketentuan-ketentuan Allah, dan seumpamanya. Allah berfirman,maksudnya: 

".....maka di antara mereka ada yang berlaku zalim kepada dirinya sendiri (dengan tidak mengindahkan ajaran al-Quran)."
- Surah Faatir ayat 32.

Orang yang melakukan kezaliman kepada orang lain sebenarnya telah menzalimi diri sendiri, seperti firman Allah bermaksud:

".......dan sesiapa yang melakukan demikian  maka sesungguhnya dia menganiaya dirinya sendiri."
- Surah Al-Baqarah ayat 231. 

Wallahu a'lam.

- Tuk Ki 
(Daripada talib kepada mukallaf)



Tuesday, 17 September 2013

ILMU TAUHID / AKIDAH (BAH. 7) : SYIRIK

 11 ZUL- QAIDAH 1434 H

( N  51 )   NUKILAN DARI TAMAN SYURGA.

ILMU TAUHID (BAH. 7):   

SYIRIK

Firman Allah di dalam surah An-Nisa' ayat 36 bermaksud:

"Dan hendaklah kamu beribadat kepada Allah dan janganlah kamu sekutukan Dia dengan sesuatu pun."

Syirik bermakna bersekutu, berkongsi; bersyarikat, bersepakat; bersama-sama.
Menurut imam Al-Ghazali r.h, syirik adalah lawan kepada ikhlas. Ikhlas bermakna bersih dari sebarang campuran yang dapat mengotorinya. Manakala syirik bererti sesuatu yang bercampur aduk dengan suatu yang lain yang menjadikannya tidak asal lagi.
Syirik akan terjadi apabila berlaku persamaan di antara Allah dengan makhluk/benda-benda lain. 

Allah berfirman di dalam ayat 116 surah An-Nisa' terjemahannya:

"Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa orang yang memsekutukanNya dengan sesuatu (apa jua), dan akan mengampunkan yang lain dari kesalahan (syirik) itu bagi sesiapa yang dikehendakiNya (menurut peraturan hukum-hukumNya); dan sesiapa yang mempersekutukan Allah dengan sesuatu (apa jua), maka sesungguhnya ia telah sesat dengan kesesatan yang amat jauh."   

Maksud Allah tidak mengampuni dosa syirik ialah apabila seseorang itu mati tanpa sempat bertaubat di atas dosa syiriknya maka dosanya tidak akan diampun. Jika dia sedar dan segera bertaubat dan memperbaharui syahadahnya, maka waktu itu Allah menerima taubatnya dan dosa itu akan diampun.

BAHAYA SYIRIK  

Dalam sejarah manusia keadaan syirik mula berlaku pada zaman nabi Nuh a.s dan terus berlaku sepanjang zaman meliputi umat seluruh nabi-nabi hingga ke umat nabi Muhammad s.a.w.

Syirik berlaku apabila mereka mula menyembah patung-patung (yang pada mulanya patung itu bertujuan memperingati orang-orang soleh tetapi generasi yang terkemudian akhirnya telah menyembahnya dengan hasutan syaitan - Tafsir ibnu Kathir). Seterusnya berlaku penyembahan berhala, matahari, bulan, bintang, api; menyembah nabi (Isa a.s) dan lain-lain. Nabi-nabi telah diutuskan untuk mengajak kaum masing-masing  supaya kembali mentauhidkan Allah Yang Maha Esa. 

Syirik adalah satu jenayah yang paling besar di dalam agama Islam, kerana ia telah membatalkan tauhid dimana ia berlawanan dengan tauhid berasaskan ucapan syahadah. 
Syirik adalah satu kezaliman yang besar dilakukan oleh manusia kerana telah menyamakan taraf Allah dengan makhluk.
Firman Allah di dalam surah Luqman ayat 13, terjemahannya:

"Dan (ingatlah) ketika Luqman berkata kepada anaknya, semasa ia memberi nasihat kepadanya: "Wahai anak kesayanganku, janganlah engkau mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain), sesungguhnya perbuatan syirik itu adalah kezaliman yang besar". 

JENIS-JENIS SYIRIK 

Syirik kepada Allah terbahagi kepada dua iaitu syirik besar (syirik jali) dan syirik kecil (syirik khafi).

Syirik besar.  

Syirik besar atau syirik jali ialah mempercayai atau mengaku adanya sesuatu yang setara atau sebanding dengan Allah yang ditujukan kepadanya doa dan permohonan sama seperti yang ditujukan kepada Allah, atau mengaku adanya sesuatu yang setara atau sebanding dengan Allah yang dihadapkan kepadanya cara ibadah yang hanya khusus untuk Allah sahaja, seperti seseorang menjadikan jin/syaitan, pokok, binatang, bulan, bintang, dll, sebagai tempat tumpuan ia beribadah, berlindung atau tempat memberi ketaatan, berdoa memohon sesuatu atau seumpamanya.

Jenis-jenis syirik besar.   

a. Syirik yang jelas, seperti menyembah berhala, jin/syaitan, manusia, nabi,malaikat, api, matahari dll.

b. Syirik besar yang tidak jelas seperti berikut:-

1. Meminta pertolongan dari kubur atau orang yang telah mati. Contohnya, berdoa pada kubur para wali supaya hajat keduniaaan diperkenan Allah. Perbuatan tersebut adalah berupa ibadat, dan ibadat hanya boleh dilakukan kepada Allah secara langsung.

Dr. Yusuf Al-Qaradhawi menyatakan kenapa ia berlaku: 

1a. Kerana orang tidak menganggap berdoa dan meminta pertolongan kepada tuan kubur (orang mati) sebagai satu ibadat kerana mereka menyangka ibadat itu hanya sembahyang, rukuk, sujud, puasa dan seumpamanya sahaja. Padahal, berdoa juga adalah ibadat.

1b. Mereka berkata mereka tidak beriktikad yang orang mati sebagai tuhan, cuma mereka (orang mati) dijadikan sebagai orang perantaraan di antara mereka yang berdoa dan Allah, dan juga sebagai penolong mereka.
Pendapat seperti ini lahir kerana kejahilan mereka tentang Allah s.w.t. Mereka menyangkakan Allah sama dengan raja dan pembesar dunia yang memerlukan orang perantaraan.
Di dalam surah Az-Zumar ayat 3 Allah berfirman, terjemahannya:

"Ingatlah! (hak yang wajib dipersembahkan) kepada Allah ialah segala ibadat dan bawaan yang suci bersih (daripada segala rupa syirik). Dan orang-orang musyrik yang mengambil selain daripada Allah untuk menjadi pelindung dan penolong (sambil berkata), "Kami tidak menyembah atau memujanya melainkan supaya mereka mendampingkan kami kepada Allah sehampir-hampirnya."   

2. Mengambl selain daripada Allah sebagai pembuat peraturan dan syariah. Ada golongan yang memberi kepada individu atau sesuatu kumpulan hak membuat undang-undang syariah secara bebas untuk mereka dan untuk orang lain, lalu mereka menghalal dan mengharamkan sesuatu sesuka hati sehingga berlawanan dengan syariah Allah.

Jenis-jenis syirik kecil. 

Sirik kecil adalah sebahagian daripada DOSA BESAR. Umat Islam dituntut supaya menjauhi syirik besar atau kecil.
Sabda Rasulullah s.a.w bermaksud:

"Sesungguhnya perkara yang sangat aku takuti akibat buruknya menimpa kamu ialah syrik kecil. Sahabat bertanya: Apakah syirik kecil itu wahai Rasulullah? Baginda menjawab (syrik kecil) itu ialah riak, Allah taala berfirman pada hari kiamat apabila manusia datang dengan amalan masing-masing: pergilah kamu kepada mereka yang kamu lakukan riak di dunia dahulu (untuk menunjuk-nunjuk kepada mereka), kemudian lihatlah adakah kamu akan dapati sebarang balasan di sisi mereka." 
- Riwayat Ahmad.

1. Riak dalam melakukan ibadah dan amal soleh.

Tanda-tanda riak:-

a. Ibadat dan taat akan bertambah apabila dipuji dan akan berkurang atau ditinggalkan apabila dicela atau dikeji.

b. Cergas dan baik melakukan ibadat ketika beramai-ramai tetapi malas ketika berseorangan. 

c. Bersedekah untuk diketahui oleh orang ramai.

2. Bersumpah dengan sesuatu selain daripada Allah. Umpamanya bersumpah dengan nama nabi, malaikat, ibu bapa, wali Allah, dll.
Nabi bersabda maksudnya:

"Sesiapa yang bersumpah dengan selain daripada Allah, maka sesungguhnya dia telah kufur atau syirik." 
- Riwayat Tarmizi.

3. Memakai azimat untuk mengubati penyakit.

Di dalam hadis yang diriwayatkan oleh Abu Daud (terjemahannya), Abdullah bin Mas'ud meliha benang terikat dileher isterinya Zainab. Dia bertanya, "Apakah ini?" Zainab menjawab, "Benang yang telah dijampi padanya untuk mengubati penyakitku." Mendengar jawapan itu Abdullah memegang benang tersebut dan terus dipotongnya seraya berkata, "Sesungguhnya keluarga Abdullah telah bersih dari sebarang syirik. Aku mendengar Rasulullah bersabda:

"Sesungguhnya jampi mentera, tangkal azimat dan ilmu pengasih semuanya adalah syirik." 
- Riwayat Abu Daud.

Hukum memakai tangkal azimat (ayat al-Quran) 

Di kalangan ulama salaf ada dua pendapat:

Pertama: Mengharuskannya, iaitu pendapat daripada Saiyidatuna Aisyah r.a, Abu Jaafar Muhammad bin Ali, dll.

Kedua: Mengharamkannya, iaitu pendapat daripada Abdullah bin Mas'ud, Al-Aswad, Abdullah bin Hakim, dll.

Syeikh Yusof Al-Qardhawi memilih pendapat yang kedua dengan hujah-hujah berikut:-

a. Hadis yang melarang memakai tangkal adalah umum, tidak ada pengecualian. Kerana itu ayat al-Quran juga tidak diharuskan.

b. Akan mendedahkan al-Quran kepada penghinaan, kerana orang yang memakainya akan pergi ke tempat najis, memakainya ketika berjunub, semasa haid atau membuang air besar dan kecil.

c. Memakainya bererti mempermankan al-Quran dan bercanggah dengan al-Quran diturunkan, iaitu, untuk memberi petunjuk kepada manusia ke jalan yang benar, bukannya untuk dijadikan tangkal azimat. 

4. Jampi mentera dengan pertolongan jin/syaitan.

Didalam buku 'MESTIKA HADIS' ada menyebut, tawar jampi serapah, tangkal azimat dan ilmu pengasih (guna-guna) adalah haram sekiranya mempunyai perkataan yang tidak difahami maknanya atau yang berdasarkan sihir atau memuja hantu syaitan dan jin iblis atau mengandungi benda-nenda najis dan kotor.

Adapun yang menggunakan ayat Quran atau nama Allah dan sifat-sifatNya atau zikrullah maka yang demikian itu tidak salah.

Imam as-Sayuti menyatakan jampi mentera diharuskan syarak sekiranya menepati ciri-ciri berikut:-

a. Dari kalam Allah (ayat Quran) atau dengan nama Allah dan sifat-sifatNya.

b. Menggunakan bahasa Arab dan/atau bahasa yang difahami (untuk  mengetahui tiada unsur-unsur yang ditegah agama).

c. Seseorang itu hendaklah percaya bahawa jampi (yang halal) itu sebenarnya tidak boleh memberi apa-apa kesan. Yang memberi kesan HANYA ALLAH SAHAJA. 

5. Bernazar kepada sesuatu selain Allah.

Umpamanya bernazar untuk berbuat sesuatu kepada kubur orang-orang wali, keramat, dll. jika apa yang diminta dimakbulkan Allah. 

Jika seseorang percaya orang mati/roh dapat membantu sesuatu didalam hidup mereka maka ini membawa kepada syirik besar. 

Lain-lain kepercayaan seperti, dalam perjalanan terjumpa biawak melintas jalan dipercayai perjalanan itu sial, suara burung hantu menandakan akan berlaku kematian, dan sebagainya. 

Kepercayaan sedemikian juga dianggap syirik, kerana tawakkal seseorang kepada Allah masih sangsi atau tidak ikhlas. 

ISLAM MENGAWAL UMAT DARI SYIRIK. 

Rasulullah s.a.w. melarang umatnya dari melampau atau keterlaluan dalam memuji dan mengagungkan baginda sendiri, orang-orang soleh, pemujaan kubur, dan sebagainya.

1. Larangan keterlaluan dalam mengagungkan Nabi s.a.w.

Di dalam satu hadis riayat Anas bahawa ada seorang berkata kepada Rasulullah s.a.w. "Wahai Rasulullah, wahai yang paling baik diantara kami dan putera yang paling baik di antara kami serta sayyiduna (tuan kami) dan anak putera dari sayyidina. Apabila baginda mendengar kata-kata itu, baginda bersabda,

"Wahai manusia sekelian berkatalah dengan kata-kata Ya Rasulullah sollallahu 'alaihi wassalam dan jangan sampai syaitan menggoda kamu. Aku ini Muhammad, hamba Allah dan rasulnya. Aku tidak suka kamu mengangkatku mengatasi kedudukan yang telah Allah berikan kepadaku." 

2. Larangan keterlaluan mengagungkan orang-orang soleh.

Seperti apa yang berlaku kepada orang Yahudi dan Nasrani yang terlalu mengagungkan pendeta-pendeta dan paderi-paderi mereka secara berlebihan dan telah ditegur oleh Allah di dalam surah an-Nisa' ayat 171 bermaksud:

"Wahai ahli al-kitab janganlah kamu melampaui batas dalam perkara agama kamu dan janganlah kamu mengatakan sesuatu terhadap Allah melainkan yang benar." 

3. Larangan mengagungkan kubur.

Sabda baginda s.a.w bermaksud:

"Janganlah kamu duduk atas kubur dan janganlah kamu bersembahyang menghala kearahnya (iaitu jangan kamu jadikan kubur itu arah kiblatmu)." 

Disunatkan menziarahi kubur tetapi mengikut landasan-landasan Islam.

Wallahu a'lam.


(Sumber: Kuliah berdasarkan buku kecil 'Tauhid dan Syirik' ditulis oleh Ustaz Mohd. Saiful Azlan bin Che Daud).


-Tuk Ki
(Daripada talib kepada mukallaf)  

  

Tuesday, 6 August 2013

PANTUN : SYAWAL MENJELMA, RAMADHAN BERLALU

28 RAMADHAN 1434 H

( I 37 )   ILHAM ILAHI

PANTUN



SYAWAL MENJELMA, RAMADHAN BERLALU.

Pelita hati suatu kiasan.
   Panduan hati jika berbahagi.
Meminta diri tetamu mulia Ramadhan.
   Ramadhan berjanji bersua lagi.

Taulan berbeza kawan tak endah.
   Susah bersama senang bersama.
Ramadhan membawa tawaran melimpah.
   Rugilah kita mensia-siakannya.

Menggulung padat si daun pandan.
   Subur dan cantik rumpunnya dipandang.
Beruntung umat merebut tawaran.
   Umur pendek tetapi pahalanya panjang.

Yang berceloteh tiada isinya.
   Tidak keruan dalam percakapan.
Orang soleh berduka lara.
   Hendak Ramadhan di setiap bulan.

Bersyair pujangga bunyinya syahdu.
   Kata-katanya melayan penjuru hati.
Berair matanya hatinya sayu.
   Sama ada akan bertemu lagi.

Sembilu guna penghiris tali.
   Malah sembilu menghiris perasaan.
Lalu berdoa pada Ilahi.
   Terimalah amalanku seistimewanya Ramadhan.



Mari pukal sentiasa setia.
   Dengan sunnah dan amanat.
Kini Syawal menjelma tiba.
   Mera'ikan sebuah kemenangan umat.

Budak suka kerana apa?
   Wang Pak Su pasti dapat punya.
Berhak kita bergembira kerana.
   Mengekang nafsu jihad yang utama.

Apabila langsir perlu ditukarkan.
   Jangan lupa dicuci dan dirawat.
Gembira ditafsir dengan kesyukuran.
   Bukan gembira melanggar syari'at.

Tercicir si fakir mendapat zakat.
   Tetapi kutipan sangatlah hebat.
Bibir berzikir badan bersolat.
   Tali silaturrahim dipulih dan dipererat.

Jangan terlupa semasa menanam.
   Para disemat untuk tumbuhan mentimun.
Jangan lupa berpuasa enam.
   Juga berpuasa sunat sepanjang tahun.

Si abah terkesan dengan tazkirah Ramadhan.
   Hati tertekan untuk beramal.
Madrasah Ramadhan memputik kesedaran.
   Perbaiki ketaatan bermula Syawal.


SELAMAT HARI RAYA AIDUL FITRI 

- Tuk Ki

Saturday, 20 July 2013

RAMALAN DAN TANDA LAILATUL QADAR : ANEKDOT TAKWA (16)

11 RAMADHAN 1434 H

( N 50 )   NUKILAN DARI TAMAN SYURGA

ANEKDOT TAKWA (16) : 
RAMALAN DAN TANDA LAILATUL QADAR.


Mengikut pengalaman ahli-ahli sufi terdahulu sebahagian mereka merumuskan kaedah berlakunya malam al-qadar adalah mengikut hari bermulanya puasa seperti berikut:-

HARI BERMULA PUASA                           LAILATUL QADAR

1. Jumaat                                                        malam 29

2. Sabtu                                                                           21

3. Ahad                                                                           27

4. Isnin                                                                           29

5. Selasa                                                                        25

6. Rabu                                                                          27

7. Khamis                                                                     21


Ada pengalaman lain menyatakan:-

1. Ahad atau Rabu                                                  29

2. Isnin                                                                        21

3. Selasa atau Jumaat                                        27

4. Khamis                                                                   25

5. Sabtu                                                                       23


Walaupun kelihatan bercanggah, itu adalah isyarat bahawa yang pasti malam al qadar akan berlaku pada 10 malam terakhir Ramadhan dan besar kemungkinan pada malam-malam ganjil. Apa yang penting kita disarankan untuk beramal lebih daripada biasa di dalam bulan Ramadhan dan tumpuan khas pada 10 hari terakhir mengikut sunnah Nabi S.A.W.

TANDA BERTEMU LAILATUL QADAR.

Ada pendapat mengatakan seseorang akan terasa dingin kesejukan hingga menggigil (sebentar sahaja) kerana dihampiri malaikat. Ketika itu hendaklah segera kita membaca doa:-

Allahumma innaka 'afuwun karim tuhibbul 'afwafa' fuanni.

(Ya Allah! sesungguhnya Engkau Maha Pengampun, Engkau mengasihi untuk mengampun, maka ampunilah aku.)

Wallahua'lam.

Sumber : kuliah berdasarkan kitab al-Jauhar al-Mauhub...

Tuk Ki 
(Dari talib kepada mukallaf)



Sunday, 14 July 2013

NOTA PENTING RAMADHAN

5 RAMADHAN 1434 H

( N 49 )   NUKILAN DARI TAMAN SYURGA



NOTA PENTING RAMADHAN

DALAM menyambut kehadiran Ramadhan sangat perlu bagi seorang Muslim mengetahui kelebihan-kelebihannya dan bagaimana dan kenapa mesti memunafaatkannya sebaik mungkin.

1. BERMUJAHADAH (BERSUNGGUH-SUNGGUH).

Firman Allah Ta'ala yang bermaksud: "Dan orang-orang yang berjihad* untuk (mencari keredhaan) Kami, benar-benar akan Kami tunjukkan kepada mereka jalan-jalan Kami. Dan sesungguhnya Allah benar-benar berserta dengan orang yang berbuat baik." - (surah Al-Ankabut ayat 69).

*berjihad - Kesungguhan, kekuatan dan kesanggupan pada jalan Allah.

Hendaklah seorang itu mengerjakan ibadah puasa dengan niat kerana Allah dan mematuhi segala larangan-laranganNya dan mengharapkan puasanya diterima dan diredhai Allah s.w.t.

2. MEMILIKI SEMANGAT DAN KEAZAMAN YANG TINGGI.

Berkata Ibnu Qayyim : "Allah memberi taufik dan pertolonganNya mengikut niat, semangat dan kehendak hambaNya."

3. MENGETAHUI KELEBIHAN BULAN RAMADHAN.

a. Bau mulut orang berpuasa di sisi Allah adalah lebih harum dari bau kasturi.

b. Malaikat beristighfar untuk orang yang berpuasa sehingga dia berbuka.

c. Allah menghiaskan syurga untuk orang yang berpuasa.

d. Dibuka pintu-pintu syurga dan ditutup pintu-pintu neraka.

e. Terdapat malam Lailah al-qadar yang lebih baik dari seribu bulan.


4. PENDEK MASANYA KERANA IA BERLALU DENGAN CEPAT.


5. BERLUMBA- LUMBALAH MELAKUKAN AMALAN.

Diantara kelebihan yang dijanjikan Allah ialah:-

a. Puasa boleh memberi syafaat di hari qiamat.

b. Orang yang berpuasa akan masuk kedalam syurga melalui pintu khas bernama Rayyan. 

c. Doa orang berpuasa dimustajabkan.

d. Sedekah yang paling afdhal dan berganda-ganda pahalanya ialah ketika di dalam bulan Ramadhan.


6. INGATKAN MATI SERTA BIMBANGKAN IANYA DATANG SECARA MENGEJUT.

Ummu Dhaigam bertanya anaknya, "Hai Dhaigam apakah kamu suka kepada mati?" Dhaigam menjawab, "Demi Allah, tidak wahai ibuku." 
Ibunya bertanya, "Mengapa?"
Beliau menjawab, "Kerana banyaknya kesalahan serta kelalaianku."
Lalu ibunya menangis dan Dhaigam juga turut menangis.
Apabila ditanya dia menjawab, "Seandainya makhluk ini mengetahui apa yang akan berlaku esok sudah pasti mereka tidak akan bersedap-sedap dengan kehidupan." 

Biarlah kita takutkan mati oleh kerana berasa sangsi dengan persiapan kita di akhirat kelak dan bukan takut mati kerana sayangkan keduniaan. Dalam konteks Ramadhan pula, tidak pasti samaada umur kita panjang untuk berjumpa Ramadhan tahun hadapan. Oleh itu sama-sama kita buat yang terbaik untuk Ramadhan kali ini.  

"SELAMAT BERPUASA"

 Wallahua'lam.

Sumber: kuliah subuh dari ustaz Ibrahim disamping kutipan sumbangan dana pendidikan & kebajikan MAAHAD TAHFIZ AL-QURAN DAR AL-ABRAR Seri Manjung, Perak.
Sumbangan pembaca adalah dialu-alukan.
Maybank a/c no: 558163803136
Bank Islam: 08059010013788
atas nama DAR ALABRAR
contact: 019 2627636

- Tuk Ki
(Dari talib kepada mukallaf)  


Sunday, 30 June 2013

PUISI / SAJAK : KU LIHAT SI PENGHUNI HATI

21 SYA'ABAN 1434 H

( I  36 )   ILHAM ILAHI


PUISI / SAJAK 

KU LIHAT SI PENGHUNI HATI.



Di dalam sujud
si mata kalbu meronta meneroka
dan menyingkap hijab diri kendiri
dan mencari permata di dalaman dasar
kalbu yang hidup berdenyut-denyut.
Memuji namaMU dan menyaksi bukti kewujudanMU
sekalipun hanya bernilai satu kenderi
di sisiMU ya Khalik.

Dengan izinMU
tabir berkabus terus menipis
terkesan dengan zikir memujaMU.
Zikir yang padu dari yang ikhlaskan diri
berulang dan berulang berarak menuju ke ufuk masa.
Berdikit-dikit cahaya mutiara
menjelma diri
dari dalam diri yang ini.


Hati SADRUN menyaring ilmu.
Benak menujah dengan cemburu
dan sentiasa menanti agar disiram zikir berbaja.
Zikirlah...zikirlah...

Ya 'Alim...ya 'Alim...ya 'Alim...
IlmuNYA yang nyata dan yang tersembunyi,
yang halus dan yang kasar,
yang awal dan yang akhir.

Ya Hakim... ya Hakim... ya Hakim...
Yang tidak terhalang ketetapanNYA,
yang tidak terubah hukumanNYA,
yang membuat keputusan terhadap makhlukNYA.

Ya Fattah... ya Fattah... ya Fattah...
Yang membuka tiap-tiap yang terkunci,
yang mengurnia hidayah supaya terbuka segala kesamaran
kerana padaNYA  kunci perbendaharan yang ghaib.


Hati QALBUN membina iman.
Limpahan keyakinan berpaut kepada taliNYA.
Walau dihumban ke dasar bermacam pedoman.
Jika tenggelam, tenggelamlah dengan kepercayaan yang unggul,
yakni, 
tentang yang terlihat,
tentang yang ghaib.
Zikirlah...zikirlah...

Ya Allah... ya Allah... ya Allah...
Tarikan lidah,
basahkan bibir,
tetapkan hati.
Nescaya tergenggam kekuatan ditangan
guna merejam nafsu yang ingkar.


Hati FUADDUN, katanya sekelopak hati dihuni Islam.
Menyanjung dengan azam keta'atan 
dan menyempurnakan segala yang diwajibkan
lalu buktikan bukan pada diri yang lain.
Zikirlah...zikirlah...

Laa Ilaha Illallah...laa Ilaha Illallah...laa Ilaha Illallah...

disemadikan penafian kewujudan yang lain
lantas meisbatkan yang hak hanya Allah!
Lantunan dari yang empunya diri
lalu lemas di dalam keesaanNYA.


Hati LABBUN acapkali bertanya perihal Tuhan.
Kerana benih tauhid tersemat bersama-sama.
Rasa hati pernah berbicara
tetapi di mana, 
namun hati berbisik 
jangan lalai, tiada alpa.
Zikirlah...zikirlah...

Allah...Allah...Allah...
Nama Zat Tuhan yang disembah.
Zat yang mutlak.
Tenang hati kerana mengingatiNYA.
Tenteram jiwa kerana mengenaliNYA.
Kental iman ialah matlamat.
Berdegupnya hati ditunggangi kalimah Jalalah
Allah...Allah...Allah...
Bertempo dan bersuara dengan kehendak Azawajalla
yang Maha Suci dari dampingan.


Hati NAFSUN hati makrifatullah.
Kenal DIA kewajipan insan
yang bermusafir atas bumi Allah menuju Allah.
Kembali kepadaNYA tanpa dipinggirkan.
Zikirlah...zikirlah...

Ya Hu...ya Hu... ya Hu...
Selagi jantung berdenyut.
Selagi nafas turun dan naik.
Meletakkan zikrullah pada tempatnya.
Lapang dan nyaman,
penghibur dan peneguh jiwa yang tekun
pasti menjadi insan yang siaga
dan mencitakan hamba yang diredhaiNYA.


Ya Allah...ya Zaljalal wal Ikram.



Wallahua'lam.

- Tuk Ki