11 ZUL- QAIDAH 1434 H
( N 51 ) NUKILAN DARI TAMAN SYURGA.
ILMU TAUHID (BAH. 7):
SYIRIK
Firman Allah di dalam surah An-Nisa' ayat 36 bermaksud:
"Dan hendaklah kamu beribadat kepada Allah dan janganlah kamu sekutukan Dia dengan sesuatu pun."
Syirik bermakna bersekutu, berkongsi; bersyarikat, bersepakat; bersama-sama.
Menurut imam Al-Ghazali r.h, syirik adalah lawan kepada ikhlas. Ikhlas bermakna bersih dari sebarang campuran yang dapat mengotorinya. Manakala syirik bererti sesuatu yang bercampur aduk dengan suatu yang lain yang menjadikannya tidak asal lagi.
Syirik akan terjadi apabila berlaku persamaan di antara Allah dengan makhluk/benda-benda lain.
Allah berfirman di dalam ayat 116 surah An-Nisa' terjemahannya:
"Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa orang yang memsekutukanNya dengan sesuatu (apa jua), dan akan mengampunkan yang lain dari kesalahan (syirik) itu bagi sesiapa yang dikehendakiNya (menurut peraturan hukum-hukumNya); dan sesiapa yang mempersekutukan Allah dengan sesuatu (apa jua), maka sesungguhnya ia telah sesat dengan kesesatan yang amat jauh."
Maksud Allah tidak mengampuni dosa syirik ialah apabila seseorang itu mati tanpa sempat bertaubat di atas dosa syiriknya maka dosanya tidak akan diampun. Jika dia sedar dan segera bertaubat dan memperbaharui syahadahnya, maka waktu itu Allah menerima taubatnya dan dosa itu akan diampun.
BAHAYA SYIRIK
Dalam sejarah manusia keadaan syirik mula berlaku pada zaman nabi Nuh a.s dan terus berlaku sepanjang zaman meliputi umat seluruh nabi-nabi hingga ke umat nabi Muhammad s.a.w.
Syirik berlaku apabila mereka mula menyembah patung-patung (yang pada mulanya patung itu bertujuan memperingati orang-orang soleh tetapi generasi yang terkemudian akhirnya telah menyembahnya dengan hasutan syaitan - Tafsir ibnu Kathir). Seterusnya berlaku penyembahan berhala, matahari, bulan, bintang, api; menyembah nabi (Isa a.s) dan lain-lain. Nabi-nabi telah diutuskan untuk mengajak kaum masing-masing supaya kembali mentauhidkan Allah Yang Maha Esa.
Syirik adalah satu jenayah yang paling besar di dalam agama Islam, kerana ia telah membatalkan tauhid dimana ia berlawanan dengan tauhid berasaskan ucapan syahadah.
Syirik adalah satu kezaliman yang besar dilakukan oleh manusia kerana telah menyamakan taraf Allah dengan makhluk.
Firman Allah di dalam surah Luqman ayat 13, terjemahannya:
"Dan (ingatlah) ketika Luqman berkata kepada anaknya, semasa ia memberi nasihat kepadanya: "Wahai anak kesayanganku, janganlah engkau mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain), sesungguhnya perbuatan syirik itu adalah kezaliman yang besar".
JENIS-JENIS SYIRIK
Syirik kepada Allah terbahagi kepada dua iaitu syirik besar (syirik jali) dan syirik kecil (syirik khafi).
Syirik besar.
Syirik besar atau syirik jali ialah mempercayai atau mengaku adanya sesuatu yang setara atau sebanding dengan Allah yang ditujukan kepadanya doa dan permohonan sama seperti yang ditujukan kepada Allah, atau mengaku adanya sesuatu yang setara atau sebanding dengan Allah yang dihadapkan kepadanya cara ibadah yang hanya khusus untuk Allah sahaja, seperti seseorang menjadikan jin/syaitan, pokok, binatang, bulan, bintang, dll, sebagai tempat tumpuan ia beribadah, berlindung atau tempat memberi ketaatan, berdoa memohon sesuatu atau seumpamanya.
Jenis-jenis syirik besar.
a. Syirik yang jelas, seperti menyembah berhala, jin/syaitan, manusia, nabi,malaikat, api, matahari dll.
b. Syirik besar yang tidak jelas seperti berikut:-
1. Meminta pertolongan dari kubur atau orang yang telah mati. Contohnya, berdoa pada kubur para wali supaya hajat keduniaaan diperkenan Allah. Perbuatan tersebut adalah berupa ibadat, dan ibadat hanya boleh dilakukan kepada Allah secara langsung.
Dr. Yusuf Al-Qaradhawi menyatakan kenapa ia berlaku:
1a. Kerana orang tidak menganggap berdoa dan meminta pertolongan kepada tuan kubur (orang mati) sebagai satu ibadat kerana mereka menyangka ibadat itu hanya sembahyang, rukuk, sujud, puasa dan seumpamanya sahaja. Padahal, berdoa juga adalah ibadat.
1b. Mereka berkata mereka tidak beriktikad yang orang mati sebagai tuhan, cuma mereka (orang mati) dijadikan sebagai orang perantaraan di antara mereka yang berdoa dan Allah, dan juga sebagai penolong mereka.
Pendapat seperti ini lahir kerana kejahilan mereka tentang Allah s.w.t. Mereka menyangkakan Allah sama dengan raja dan pembesar dunia yang memerlukan orang perantaraan.
Di dalam surah Az-Zumar ayat 3 Allah berfirman, terjemahannya:
"Ingatlah! (hak yang wajib dipersembahkan) kepada Allah ialah segala ibadat dan bawaan yang suci bersih (daripada segala rupa syirik). Dan orang-orang musyrik yang mengambil selain daripada Allah untuk menjadi pelindung dan penolong (sambil berkata), "Kami tidak menyembah atau memujanya melainkan supaya mereka mendampingkan kami kepada Allah sehampir-hampirnya."
2. Mengambl selain daripada Allah sebagai pembuat peraturan dan syariah. Ada golongan yang memberi kepada individu atau sesuatu kumpulan hak membuat undang-undang syariah secara bebas untuk mereka dan untuk orang lain, lalu mereka menghalal dan mengharamkan sesuatu sesuka hati sehingga berlawanan dengan syariah Allah.
Jenis-jenis syirik kecil.
Sirik kecil adalah sebahagian daripada DOSA BESAR. Umat Islam dituntut supaya menjauhi syirik besar atau kecil.
Sabda Rasulullah s.a.w bermaksud:
"Sesungguhnya perkara yang sangat aku takuti akibat buruknya menimpa kamu ialah syrik kecil. Sahabat bertanya: Apakah syirik kecil itu wahai Rasulullah? Baginda menjawab (syrik kecil) itu ialah riak, Allah taala berfirman pada hari kiamat apabila manusia datang dengan amalan masing-masing: pergilah kamu kepada mereka yang kamu lakukan riak di dunia dahulu (untuk menunjuk-nunjuk kepada mereka), kemudian lihatlah adakah kamu akan dapati sebarang balasan di sisi mereka."
- Riwayat Ahmad.
1. Riak dalam melakukan ibadah dan amal soleh.
Tanda-tanda riak:-
a. Ibadat dan taat akan bertambah apabila dipuji dan akan berkurang atau ditinggalkan apabila dicela atau dikeji.
b. Cergas dan baik melakukan ibadat ketika beramai-ramai tetapi malas ketika berseorangan.
c. Bersedekah untuk diketahui oleh orang ramai.
2. Bersumpah dengan sesuatu selain daripada Allah. Umpamanya bersumpah dengan nama nabi, malaikat, ibu bapa, wali Allah, dll.
Nabi bersabda maksudnya:
"Sesiapa yang bersumpah dengan selain daripada Allah, maka sesungguhnya dia telah kufur atau syirik."
- Riwayat Tarmizi.
3. Memakai azimat untuk mengubati penyakit.
Di dalam hadis yang diriwayatkan oleh Abu Daud (terjemahannya), Abdullah bin Mas'ud meliha benang terikat dileher isterinya Zainab. Dia bertanya, "Apakah ini?" Zainab menjawab, "Benang yang telah dijampi padanya untuk mengubati penyakitku." Mendengar jawapan itu Abdullah memegang benang tersebut dan terus dipotongnya seraya berkata, "Sesungguhnya keluarga Abdullah telah bersih dari sebarang syirik. Aku mendengar Rasulullah bersabda:
"Sesungguhnya jampi mentera, tangkal azimat dan ilmu pengasih semuanya adalah syirik."
- Riwayat Abu Daud.
Hukum memakai tangkal azimat (ayat al-Quran)
Di kalangan ulama salaf ada dua pendapat:
Pertama: Mengharuskannya, iaitu pendapat daripada Saiyidatuna Aisyah r.a, Abu Jaafar Muhammad bin Ali, dll.
Kedua: Mengharamkannya, iaitu pendapat daripada Abdullah bin Mas'ud, Al-Aswad, Abdullah bin Hakim, dll.
Syeikh Yusof Al-Qardhawi memilih pendapat yang kedua dengan hujah-hujah berikut:-
a. Hadis yang melarang memakai tangkal adalah umum, tidak ada pengecualian. Kerana itu ayat al-Quran juga tidak diharuskan.
b. Akan mendedahkan al-Quran kepada penghinaan, kerana orang yang memakainya akan pergi ke tempat najis, memakainya ketika berjunub, semasa haid atau membuang air besar dan kecil.
c. Memakainya bererti mempermankan al-Quran dan bercanggah dengan al-Quran diturunkan, iaitu, untuk memberi petunjuk kepada manusia ke jalan yang benar, bukannya untuk dijadikan tangkal azimat.
4. Jampi mentera dengan pertolongan jin/syaitan.
Didalam buku 'MESTIKA HADIS' ada menyebut, tawar jampi serapah, tangkal azimat dan ilmu pengasih (guna-guna) adalah haram sekiranya mempunyai perkataan yang tidak difahami maknanya atau yang berdasarkan sihir atau memuja hantu syaitan dan jin iblis atau mengandungi benda-nenda najis dan kotor.
Adapun yang menggunakan ayat Quran atau nama Allah dan sifat-sifatNya atau zikrullah maka yang demikian itu tidak salah.
Imam as-Sayuti menyatakan jampi mentera diharuskan syarak sekiranya menepati ciri-ciri berikut:-
a. Dari kalam Allah (ayat Quran) atau dengan nama Allah dan sifat-sifatNya.
b. Menggunakan bahasa Arab dan/atau bahasa yang difahami (untuk mengetahui tiada unsur-unsur yang ditegah agama).
c. Seseorang itu hendaklah percaya bahawa jampi (yang halal) itu sebenarnya tidak boleh memberi apa-apa kesan. Yang memberi kesan HANYA ALLAH SAHAJA.
5. Bernazar kepada sesuatu selain Allah.
Umpamanya bernazar untuk berbuat sesuatu kepada kubur orang-orang wali, keramat, dll. jika apa yang diminta dimakbulkan Allah.
Jika seseorang percaya orang mati/roh dapat membantu sesuatu didalam hidup mereka maka ini membawa kepada syirik besar.
Lain-lain kepercayaan seperti, dalam perjalanan terjumpa biawak melintas jalan dipercayai perjalanan itu sial, suara burung hantu menandakan akan berlaku kematian, dan sebagainya.
Kepercayaan sedemikian juga dianggap syirik, kerana tawakkal seseorang kepada Allah masih sangsi atau tidak ikhlas.
ISLAM MENGAWAL UMAT DARI SYIRIK.
Rasulullah s.a.w. melarang umatnya dari melampau atau keterlaluan dalam memuji dan mengagungkan baginda sendiri, orang-orang soleh, pemujaan kubur, dan sebagainya.
1. Larangan keterlaluan dalam mengagungkan Nabi s.a.w.
Di dalam satu hadis riayat Anas bahawa ada seorang berkata kepada Rasulullah s.a.w. "Wahai Rasulullah, wahai yang paling baik diantara kami dan putera yang paling baik di antara kami serta sayyiduna (tuan kami) dan anak putera dari sayyidina. Apabila baginda mendengar kata-kata itu, baginda bersabda,
"Wahai manusia sekelian berkatalah dengan kata-kata Ya Rasulullah sollallahu 'alaihi wassalam dan jangan sampai syaitan menggoda kamu. Aku ini Muhammad, hamba Allah dan rasulnya. Aku tidak suka kamu mengangkatku mengatasi kedudukan yang telah Allah berikan kepadaku."
2. Larangan keterlaluan mengagungkan orang-orang soleh.
Seperti apa yang berlaku kepada orang Yahudi dan Nasrani yang terlalu mengagungkan pendeta-pendeta dan paderi-paderi mereka secara berlebihan dan telah ditegur oleh Allah di dalam surah an-Nisa' ayat 171 bermaksud:
"Wahai ahli al-kitab janganlah kamu melampaui batas dalam perkara agama kamu dan janganlah kamu mengatakan sesuatu terhadap Allah melainkan yang benar."
3. Larangan mengagungkan kubur.
Sabda baginda s.a.w bermaksud:
"Janganlah kamu duduk atas kubur dan janganlah kamu bersembahyang menghala kearahnya (iaitu jangan kamu jadikan kubur itu arah kiblatmu)."
Disunatkan menziarahi kubur tetapi mengikut landasan-landasan Islam.
Wallahu a'lam.
(Sumber: Kuliah berdasarkan buku kecil 'Tauhid dan Syirik' ditulis oleh Ustaz Mohd. Saiful Azlan bin Che Daud).
-Tuk Ki
(Daripada talib kepada mukallaf)
YA ALLAH! AKU BERSYUKUR KEPADA MU KERANA MENGAMBIL BALIK SEBAHAGIAN DARI KEUPAYAAN FISIKAL KU TETAPI BUKAN MENGAMBIL IMAN KU TERHADAP MU! tuk-ki-jemaah.blogspot.com
MUQADDIMAH- serangkai cetusan hati
MUQADDIMAH - serangkai cetusan hati
(I1) NAH!
Nah! rupa-rupanya segala rintih-rintihku Engkau sahuti
Sebelumnya...
rintihan sepontan terpantul
rintihan sepontan terpantul
berulang kali.
Keluhan kesal terhembus
berulang kali.
Telahku lenyapkan ruang untuk mengenaliMu!
Manakan daya untuk mendekatiMu! Keluhan kesal terhembus
berulang kali.
Telahku lenyapkan ruang untuk mengenaliMu!
Kurniakanlah...kurniakanlah ya Ilahi.
Nah! ianya berlaku.
Idaman terhidang dihamparNya jalan.
Jangan dirintih jangan dikeluh berulang kali.
Syukur Alhamdulillah!
Mereka tidak mengerti penuh simpati
yang bijaksana menabur empati.
Namun aku tetap bersyukur Alhamdulillah!
Aku tenggelam dalam lautan-lautan ilmu dan kebesaranMu.
Nah! umpama titian sirat di dunia nyata.
Engkau pilih antara sehelai rambut dan selebar expressway.
Jangan merintih!
Jangan mengeluh!
Berulang kali lagi.
Kerana destinasi kita...
Qiblat yang tidak terperinya sebuah KEJAYAAN mutlak ...seperti dilaungkan mu'azzin dalam seruan azannya.
Tuk Ki
Nah! umpama titian sirat di dunia nyata.
Engkau pilih antara sehelai rambut dan selebar expressway.
Jangan merintih!
Jangan mengeluh!
Berulang kali lagi.
Kerana destinasi kita...
Qiblat yang tidak terperinya sebuah KEJAYAAN mutlak ...seperti dilaungkan mu'azzin dalam seruan azannya.
Tuk Ki
* Untuk asimilisasi para insan penghidap angin ahmar (stroke), ahli keluarga dan penjaga mereka dan kepada insan-insan sejagat.
Tuesday, 17 September 2013
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment