MUQADDIMAH- serangkai cetusan hati

MUQADDIMAH - serangkai cetusan hati
(I1) NAH!

Nah! rupa-rupanya segala rintih-rintihku Engkau sahuti
Sebelumnya...
rintihan sepontan terpantul
berulang kali.
Keluhan kesal terhembus
berulang kali.
Telahku lenyapkan ruang untuk mengenaliMu!
Manakan daya untuk mendekatiMu!
Kurniakanlah...kurniakanlah ya Ilahi.


Nah! ianya berlaku.
Idaman terhidang dihamparNya jalan.
Jangan dirintih jangan dikeluh berulang kali.
Syukur Alhamdulillah!
Mereka tidak mengerti penuh simpati
yang bijaksana menabur empati.
Namun aku tetap bersyukur Alhamdulillah!
Aku tenggelam dalam lautan-lautan ilmu dan kebesaranMu.


Nah! umpama titian sirat di dunia nyata.
Engkau pilih antara sehelai rambut dan selebar expressway.
Jangan merintih!
Jangan mengeluh!
Berulang kali lagi.
Kerana destinasi kita...
Qiblat yang tidak terperinya sebuah KEJAYAAN mutlak ...seperti dilaungkan mu'azzin dalam seruan azannya
.

Tuk Ki

* Untuk asimilisasi para insan penghidap angin ahmar (stroke), ahli keluarga dan penjaga mereka dan kepada insan-insan sejagat.

Sunday, 27 April 2014

CINTA PALSU KEPADA NABI S.A.W. (hanya hiasan kata-kata).

27 JAMADIL AKHIR 1435 H

( N  67 ) NUKILAN DARI TAMAN SYURGA.

CINTA PALSU KEPADA NABI S.A.W. ( hanya hiasan kata-kata ).

Adakah cinta saya kepada Raslullah s.a.w hanya mainan bibir dan kata-kata yang hanya menipu diri saya sendiri? Saya harus meneliti senarai lima perkara ini.

1. MENGIKUTI DAN MENGAMALKAN SUNNAH RASULULLAH S.A.W. 

Sungguh tepat untuk menghayati terlebih dahulu firman-firman Allah ini yang diterjemahkan seperti berikut:

"Katakanlah wahai Muhammad kepada mereka , "Jika kamu cintakan Allah ikutlah aku (Muhammad), dan Dia (Allah) akan mengampunkan dosa-dosa kamu, Allah maha pengampun lagi maha penyayang."

- Surah 3 Ali Imran : 31

"Sesungguhnya telah datang kepada kamu seorang rasul (Muhammad) dari kalangan kamu sendiri, berat terasa olehnya sebarang kesusahan yang ditanggung oleh kamu, sangat menginginkan (keimanan dan keselamatan) bagi kamu, amat belas serta kasih sayangnya kepada orang-orang yang beriman."  

- Surah 9 at-Taubah : 128

"Demi sesungguhnya bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang-orang yang sentiasa mengharapkan keredhaan Allah dan balasan baik di hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak dalam ketika susah dan senang."

- Surah 33 al-Ahzab : 21 

Islam amat menuntut untuk mengetahui dan mengamalkan sunnah Rasulullah s.a.w. zahir dan bathin, baik dari segi tingkah laku, perbuatan, percakapan, amalan bahkan diam Nabi s.a.w juga adalah sunnah yang patut kita turuti. Orang yang meninggalkannya adalah orang yang sangat rugi di dunia dan akhirat.

2. MERINDUI DAN GEMAR MEMBICARAKAN SETIAP PENINGGALAN RASULULLAH S.A.W.

Merindui Rasul akan bermakna mencintai Allah. Oleh itu adalah menjadi satu perkara yang wajib untuk mencintai, mentaati dan merindui Rasulullah s.a.w. Allah berfirman bermaksud:

 "Dan siapa yang taat kepada Allah dan RasulNya mereka akan ditempatkan di syurga bersama-sama orang-orang yang dikurniakan nikmat oleh Allah kepada mereka, iaitu para nabi, siddiqin (yang teguh kepercayaan kepada Rasul), para syuhada (mati syahid) dan orang-orang yang soleh. Dan amat eloklah mereka menjadi teman kepada orang-orang yang taat." 

- Surah 4 an-Nisa' : 69

Ayat di atas diturunkan apabila para sahabat yang berkata kepada Rasulullah, "Wahai Rasulullah, kami tidak mahu berpisah denganmu. Sesungguhnya, jika engkau mendahului kami, engkau pasti akan mendapat tempat yang lebih tinggi bersama para nabi lain, sehingga kami tidak dapat melihatmu." - HR Ibnu Abi Hatim.

Para sahabat mencintai Rasulullah s.a.w. lebih daripada keluarga dan anak-anak mereka, harta, bahkan diri mereka sendiri.

Sentiasa membicarakan segala peninggalan Nabi s.a.w adalah membenarkan segala peninggalannya sama ada iktikadnya, pertuturannya, diamnya dan tingkah lakunya. Segala yang datang daripada Rasulullah s.a.w adalah wahyu daripada Allah s.w.t. Allah berfirman, maksudNya: 

"Dan dia (Muhammad) tidak bertutur mengikut hawa nafsu, melainkan dia bertutur apa yang diwahyukan oleh Allah kepadanya."

- Surah 53 an-Najm : 3~4

3. TIDAK MENENTANG SYARIATNYA.

Melalui Allah, Nabi Muahammad s.a.w telah membawa syariat yang sangat releven mengikut zaman, suasana, masa, tempat dan sebagainya. Perbuatan menolak atau mempersendakan salah satu daripadanya adalah haram dan berdosa besar, malah boleh jatuh kufur seperti firman Allah yang bermaksud:

"Patutkah nama Allah dan ayat-ayatNya serta rasulNya kamu memperolok-olok dan mengejeknya? Jangan kamu berdalih (dengan alasan-alasan yang dusta), kerana sesungguhnya kamu telah kufur sesudah kamu beriman..."

- Surah 9 at-Taubah : 65~66

4. MEMPERBANYAKKAN SELAWAT DAN SALAM KEPADA RASULULLAH S.A.W.

Memperbanyakkan selawat kepada baginda bermakna memohon limpahan cahaya daripada Allah agar dikurniakan fadhilat dan syafaat serta dipelihara oleh Allah s.w.t. Sabda Rasulullah s.a.w :


Maksudnya: Daripada Anas bin Malik, Rasulullah bersabda, "Sesiapa mengucapkan selawat kepadaku sekali, maka Allah akan mengucapkan selawat kepadanya sepuluh kali, dihapuskan baginya sepuluh kesalahan dan diangkat baginya sepuluh darjat." 
- Riwayat al-Bukhari, Ahmad, An-Nasai dan al-Hakim. 

5. MENYEBARKAN SUNNAHNYA.

Orang yang menghayati, menghidupkan dan mengamalkan sunnah Nabi s.a.w yang wajib dan yang sunat menandakan cintanya kepada Nabi s.a.w. dan begitu juga sebaliknya cinta baginda s.a.w kepadanya. Hendaklah disebarkan pula sunnahnya kepada ahli keluarga, sahabat handai dan masyarakat dengan berhemah dan berhikmah melalui pengajaran, fatwa, kuliah-kuliah dan mempamerkan akhlak baginda s.a.w. Menolak, mempersenda dan mengkritik sunnahnya berertinya membencinya. Sabdanya yang bermaksud:

"Barangsiapa yang menghidupkan sunnahku, dia telah mencintaiku; dan barangsiapa mencintaiku dia akan bersamaku di dalam syurga."

Ya Allah jadikanlah kami orang yang mencintai Nabi Muhammad s.a.w. Amiin.

Wallahua'lam.

(Sumber: kuliah dan buku Rahsia disebalik Selawat tulisan ustaz Mohamad Amin Abdul Hamid (MA'AH).)

- Tuk kI Jemaah
(Daripada talib kepada mukalaf)
   



&** Sila lawat juga pos KENAPA PERLU BERSELAWAT. klik di sini

Saturday, 19 April 2014

KHUSYUK SOLAT CARA HATIM AL-ASSAM : ANEKDOT TAKWA (21)

19 JAMADIL AKHIR 1435 H

( N  66 )   NUKILAN SARI YAMAN SYURGA


ANEKDOT TAKWA (21) :


KHUSYUK SOLAT  CARA HATIM AL-ASSAM.




Seorang yang warak, Isam bin Yusuf, telah bertanya kepada Hatim al-Assam seorang abid bagaimana cara dia bersolat dengan tujuan ingin memperbaiki ibadah solatnya sendiri.

Hatim al-Assam memberi tahu bahawa dia mengambil wudhuk dengan sempurna zahir dan bathin, yakni dia turut membersihkan hatinya dengan bertaubat, tidak mengagung-agungkan dunia, tidak mengharapkan pujian, jauhkan dari perbuatan khianat dan menipu, jauhkan dengki (hasad) dan meninggalkan perasaan bangga diri. 

Setelah itu Hatim al-Assam akan pergi ke masjid untuk solat berjamaah. Setiap kali ia berdiri menghadap kiblat dia akan merasakan dirinya sedang berhadapan dengan Allah dengan syurga berada disebelah kanannya, neraka berada disebelah kirinya, malaikat Maut menunggu dibelakangnya. Dalam masa yang sama diimajinasikan seolah-olah dia sedang berdiri di atas titian ' Siratul Mustaqim' dan menganggap solatnya itu adalah solat yang terakhir baginya. Kemudian dia berniat dan mengangkat takbir dengan sebaik mungkin.

Dia memahami bacaan dan doa yang dibacakan dan melakukan rukuk dan sujud dengan penuh rendah diri, bertasyahud dengan penuh harapan kepadaNya dan memberi salam dengan penuh keikhlasan. Begitulah dia mendirikan solatnya selama tiga puluh tahun yang lalu.

Mendengarkan pendedahan itu, Isam bin Yusuf telah menangis kerana ibadat solat Hatim al-Assam adalah terlebih baik daripadanya dan dia amat bersyukur kerana telah mendapat pelajaran yang berguna untuk dia memperbaiki solatnya.

Wallahua'lam.


- Tuk Ki jemaah
(Daripada talib kepada mukallaf)


     

Monday, 14 April 2014

HADIS : HIDAYAH DAN ILMU UMPAMA HUJAN YANG LEBAT.

14 JAMADIL AKHIR 1435 H

( N 65 )   NUKILAN DARI TAMAN SYURGA


HADIS : HIDAYAH DAN ILMU UMPAMA HUJAN YANG LEBAT...


Daripada Abu Musa al-Asy'ari r.a. , katanya: Rasulullah s.a.w bersabda:

"Bandingan apa yang Allah utuskan kepadaku dari hidayah petunjuk dan ilmu pengetahuan, adalah sama seperti hujan lebat yang menimpa bumi, maka terdapat sebahagian daripada bumi itu tanah yang subur, yang menerima dan menyedut air hujan itu, lalu menumbuhkan rumput dan tumbuh-tumbuhan yang banyak. 
Dan terdapat sebahagian daripadanya tanah-tanah yang keras yang menakung air (tidak menyedutnya), maka Allah menjadikan ia bermanafaat kepada manusia, lalu mereka minum dan memberi minum serta mereka dapat mengusahakan tanaman.
Dan terdapat pula sebahagian daripadanya tanah-tanah yang lain, yang keadannya hanyalah tanah-tanah yang rata yang keras yang tidak lekat air sedikitpun, dan tidak dapat menumbuhkan rumput.
Demikianlah bandingan orang yang mempunyai fahaman yang teliti dalam hukum-hakam agama Allah, dan bandingan orang yang beroleh manafaat dari apa yang Allah utuskan aku membawaanya, lalu ia mengetahuinya dan mengajarkannya kepada orang lain.
Dan juga bandingan orang yang tidak hiraukan langsung (ilmu yang aku sampaikan) itu, dan tidak mahu pula menerima petunjuk Allah yang aku ditugaskan membawanya."

Terjemahan hadis diriwayatkan oleh Bukhari, Muslim & Nasai.

KETERANGAN HADIS.

1. Terdapat golongan yang menyukai majlis-majlis ilmu dan sentiasa berusaha, menerima, memahami dan menghayati ilmu-ilmu yang diperolehi daripada majlis-majlis ilmu itu untuk lebih menyempurnakan ilmu agamanya dan keimanan dirinya sendiri.

2. Dengan ilmu pengetahuan di dada itu dengan sendirinya dapat pula disampaikan kepada orang lain dengan secara khusus (mengajar), atau dengan secara mudah melalui perbualan dan perbuatannya dihadapan ahli keluarga dan rakan-rakannya.

3. Terdapat golongan yang rugi dan sia-sia yang tidak menghiraukan dan memandang remeh,malah sehingga ada yang menolak ilmu-ilmu Allah yang diwahyukan dan diajarkan oleh Rasulullah s.a.w.

Wallahua'lam.

- Tuk Ki Jemaah
(Daripada talib kepada mukallaf)