MUQADDIMAH- serangkai cetusan hati

MUQADDIMAH - serangkai cetusan hati
(I1) NAH!

Nah! rupa-rupanya segala rintih-rintihku Engkau sahuti
Sebelumnya...
rintihan sepontan terpantul
berulang kali.
Keluhan kesal terhembus
berulang kali.
Telahku lenyapkan ruang untuk mengenaliMu!
Manakan daya untuk mendekatiMu!
Kurniakanlah...kurniakanlah ya Ilahi.


Nah! ianya berlaku.
Idaman terhidang dihamparNya jalan.
Jangan dirintih jangan dikeluh berulang kali.
Syukur Alhamdulillah!
Mereka tidak mengerti penuh simpati
yang bijaksana menabur empati.
Namun aku tetap bersyukur Alhamdulillah!
Aku tenggelam dalam lautan-lautan ilmu dan kebesaranMu.


Nah! umpama titian sirat di dunia nyata.
Engkau pilih antara sehelai rambut dan selebar expressway.
Jangan merintih!
Jangan mengeluh!
Berulang kali lagi.
Kerana destinasi kita...
Qiblat yang tidak terperinya sebuah KEJAYAAN mutlak ...seperti dilaungkan mu'azzin dalam seruan azannya
.

Tuk Ki

* Untuk asimilisasi para insan penghidap angin ahmar (stroke), ahli keluarga dan penjaga mereka dan kepada insan-insan sejagat.

Thursday, 18 December 2014

TAUHID bhg. 14: SIFAT QUDRAT

 25 SAFAR 1436 H

(  N 77 )   NUKILAN DARI TAMAN SYURGA



TAUHID/AKIDAH bhg. 14 : 

SIFAT KE-7 QUDRAT (PEKUASA).

Sifat Qudrat atau Pekuasa Allah Ta'ala itu wujud pada ZatNya sejak sedia kala (yang tiada permulaan). Dengan sifat Pekuasalah Allah Ta'ala Maha Berkuasa untuk mengadakan dan meniadakan apa-apa mumkin (apa-apa kemungkinan kejadian selain daripada Allah Ta'ala). Wajib kita mengetahui serta mengaku di dalam hati bahawa sifat Qudrat ada pada Allah Ta'ala.

Allah Ta'ala berfirman, terjemahannya:

"....Dan sesungguhnya Allah Ta'ala jua yang Maha Berkuasa atas tiap-tiap sesuatu."
(surah Al-Haj : ayat 6)

Allah Ta'ala mengadakan dan meniadakan setiap kejadian mumkin dengan muafakat/selari sifat IradatNya (PekehendakNya) yang akan dibincangkan di bawah tajuk Sifat Iradat.

8 TA'ALUQ SIFAT QUDRAT.

Ta'aluq bermaksud tugas/kerja sifat Qudrat. Contohnya, kita melihat dengan penglihatan (namun qudrat makhluk tidak berkesan tanpa Qudrat Allah Ta'ala kerana kita bersifat lemah).

PERTAMA: TA'ALUQ SULUHI QADIM.

Qudrat itu ada pada azali (sedia kala) lagi dalam keadaan patut mengadakan dan patut meniadakan mumkin. Dengan bahasa mudahnya, mahu buat atau tidak mahu buat.

KE-2 : TA'ALUQ TANJIZI HADITH.

Meluluskan tugasan/pekerjaan iatu mengadakan mumkin seperti makhluk daripada tiada kepada ada. 

NOTA : Ta'aluq 1 dan 2 adalah ta'aluq Qudrat secara ijmal (umum). Manakala ta'aluq 3 - 8 adalah secara tafsili (terperinci).




KE-3 : TA'ALUQ QABDAH (a) (genggaman) bererti setiap mumkin itu adalah di dalam genggaman Qudrat (Pekuasa). Jika Allah Ta'ala menghendaki mumkin itu, ,maka terjadilah. Begitu juga sebaliknya, jika Allah Ta'ala tidak menghendakinya maka mumkin itu dalam hal keadaan tiada jua.

KE-4 : TA'ALUQ QABDHAH (b) (genggaman) dimana makhluk yang telah ada ini adalah di dalam genggaman Qudrat (Pekuasa). Jika Allah Ta'ala menghendaki mengekalkan dan meniadakan (mati/musnah) mumkin/makhluk nescaya ia akan terjadi.

KE-5 : TA'ALUK TANJIZI HADITH (a) (meluluskan) ialah meniadakan mumkin/makhluk seperti mematikannya.

KE-6 : TA'ALUQ QABDHAH (c) (genggaman) pula ialah perihal selepas mati, mumkin adalah didalam genggaman Qudrat (Pekuasa) untuk menghidupkan kembali atau mengekalkannya dalam keadaan tiada selepas mati.

KE-7 : TA'ALUQ TANJIZI HADITH (b) (meluluskan) iaitu mengadakan pula dengan menghidupkan selepas daripada mati.

KE-8 : TA'ALUQ QABDHAH (d) (genggaman) ialah selepas hidup kembali mumkin/makhluk adalah didalam genggaman Allah Ta'ala. Jika Allah Ta'ala menghendaki untuk meniadakan maka terjadilah dan jika Allah Ta'ala hendak mengekalkan keadaan seadanya maka kekallah ia.

Walaubagaimanapun, adalah tidak wajib untuk mengetahui segala ta'aluq yang tersebut, namun untuk mengetahuinya adalah digalakkan dan terlebih baik. 

Terbukti Allah Ta'ala itu bersifat Qudrat (Pekuasa yang Maha Berkuasa) dan tidak lemah kerana alam/makhluk ini sudah ada dapat disaksikan dengan mata-kepala. Wajib kita berpegang dan mengakui perkara ini di dalam hati setelah pengakuan Allah Ta'ala di dalam firmanNya, ertinya :

"Allah menciptakan apa yang dikehendakiNya, sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu,"

(surah An-Nur : ayat 45)

Benarlah, sesungguhnya Allah Ta'ala yang menjadikan alam/makhluk dengan sifat Qudrat (Pekuasa) dan tidak lemah. 

(Sila dapatkan pimpinan guru yang mahir di dalam pengajian ilmu Tauhid/Akidah).


Wallahu a'lam.

Sumber : kuliah menggunakan kitab-kitab Faridatul Faraid....dan Al-Misbah Al-Munir...


Tuk Ki Jemaah
(Daripada talib kepada mukallaf)          

Friday, 28 November 2014

MUKJIZAT NABI S.A.W KETIKA HIJRAH

5 Safar 1436 H

( N  76 ) NUKILAN DARI TAMAN SYURGA.









SIRAH : MUKJIZAT NABI S.A.W KETIKA BERHIJRAH KE MADINAH.

  Setelah peristiwa Rasulullah s.a.w dikejar dan hampir dibunuh oleh Suraqah, baginda s.a.w, Abu Bakr dan Amir bin Fahirah telah meneruskan perjalanan dan telah singgah di satu perkhemahan kepunyaan Ummu Ma'bad al-Khuza'iyah yang sedang berehat di perkarangan khemahnya. Ummu Ma'bad seorang wanita yang tegas tetapi pemurah pada kebiasaannya suka memberi makanan dan minuman kepada sesiapa yang melewati khemahnya.

   Rasulullah s.a.w dan Abu Bakr telah menyapa beliau bertanyakan jika ada sesuatu untuk dijamah.
"Demi Allah, kalau ada sesuatu kamu tidak akan terbiar tanpa jamuan. Kambing-kambing semuanya tidak ada susu dan tahun ini pula kemarau." Jawab Ummu Ma'bad yang tidak mengenali Rasulullah s.a.w. 
Baginda s.a.w pergi melihat seekor kambing betina yang kurus di tepi khemah lalu bertanya kepada Ummu Ma'bad samaada kambing itu bersusu atau tidak.
Ummu Ma'bad lantas menjawab, "Kambing itu terlampau teruk untuk memberi susu."
Lalu Baginda meminta izin untuk memerah susu kambing itu. Ummu Ma'bad membenarkan dengan senang hati tetapi ia tahu perbuatan itu adalah sia-sia belaka. 

  Dengan membaca Bismillah dan doa Rasulullah s.a.w memerah uncang susu yang tidak bersusu itu. Tiba-tiba ia mengembang dan mencurahkan susu dengan banyaknya ke dalam bekas yang agak besar hingga berbuih-buih. Baginda s.a.w telah memberi Ummu Ma'bad meminumnya hingga puas. Selepas itu diberi kepada sahabat-sahabatnya dan Baginda s.a.w turut meminumnya. Setelah puas meminum susu kambing itu, Rasulullah telah sekali lagi memerah susu kambing kurus itu sehingga penuh bekas itu dan ditinggalkan kepada Ummu Ma'bad sebelum mereka berangkat meneruskan perjalanan menuju ke Yathrib (Madinah al-Munawarah) meninggalkan Ummu Ma'bad yang terpinga-pinga kehairanan tetapi gembira.

  Sekembali suami Ummu Ma'bad bersama-sama kambing-kambingnya yang kurus akibat kekurangan makanan di musim kemarau yang sedang melanda, dia begitu terkejut kerana terdapat susu kambing yang banyak di perkhemahannya.
"Dari mana datang susu ini? Kambing yang tertinggal tadi, seekor belum beranak dan seekor tiada bersusu?" Tanya suami Ummu Ma'bad.
Ummu Ma'bad pun menceritakan apa yang berlaku dan memberi keadaan rupa bentuk dan perwatakan Rasulullah s.a.w dengan jelas kepada suaminya. Setelah mendengar penerangan dari mulut Ummu Ma'bad, yakinlah suaminya bahawa orang yang dimaksudkan oleh isterinya itu ialah Nabi Muhammad s.a.w yang sedang diburu oleh kaum Quraish dan ia berkata,
"Demi Allah, itulah dia orang yang disebut-sebut halnya. Aku sangat berhasrat untuk bersahabat dengannya apabila berpeluang nanti."

  Manakala di Makkah telah kedengaran satu suara tidak diketahui dari mana puncanya mendendangkan beberapa rangkap syair perihal perjalanan Raslulullah s.a.w termasuk peristiwa 'susu kambing' itu. 
Menurut Asma', "Sebenarnya kami tidak tahu arah mana Rasulullah s.a.w hendak tujui, tetapi tiba satu lelaki jin di Makkah mendendangkan syair. Orang ramai mengikuti suara itu tetapi tidak melihat jasadnya. Kami pun tahulah yang Rasulullah s.a.w menuju ke Madinah."

  Begitulah salah satu kejadian-kejadian semasa dalam perjalanan hijrah ke Madinah yang diperintahkan Allah s.w.t kepada Rasulullah s.a.w. Ia begitu penting, strategik dan penuh dengan ujian-ujian kepada Rasulullah s.a.w dan pengikut-pengikut yang beriman dan sudah pasti mendapat pertolongan Allah s.w.t.. 

  Kenapa Allah s.w.t tidak menyediakan tunggangan buraq kepada nabi s.a.w sebagaimana dalam peristiwa isra' dan mi'raj untuk melakukan hijrah ke Madinah? Sudah tentu ada hikmah-hikmahnya untuk dibincangkan dengan guru-guru yang alim.

Wallalhua'lam. 

Sumber : kuliah dengan kitab ' Al-Raheeq Al-Makhtum'.


-  Tuk Ki Jemaah
(Daripada talib kepada mukallaf)

Saturday, 1 November 2014

ANEKDOT TAKWA: RESEPI BUAT ROTI ADA DI DALAM AL-QURAN, SURAH....

8 MUHARAM 1436 H

( N  75 )  NUKILAN DARI TAMAN SYURGA.



ANEKDOT TAKWA (23): 

RESEPI BUAT ROTI ADA DI DALAM AL-QURAN, SURAH...



















   Berlaku suatu perdebatan diantara seorang ulama dengan seorang pendakwah Nasrani yang berpengetahuan tentang kandungan ayat-ayat suci al-Quran. Setelah semua persoalan tentang tuduhan dan anggapan negatifnya terhadap al-Quran dapat dipatahkan oleh ulama Muslim itu, akhirnya dia berkata,

"Jika kamu mendakwa al-Quran itu serba lengkap dan sempurna, tunjukkan aku satu ayat yang menjawab soalan aku ini; dengan satu cupak gandum boleh menghasilkan berapa biji roti?"

Ulama itu terpegun mendengar soalan pendakwah Nasrani itu. Setelah berfikir sejenak dia pun menjawab,
"Soalan engkau memang terlampau 'hebat' untuk dijawab, aku memerlukan sehingga esok untuk menjawabnya."

"Silakan, aku boleh memberi secukup masa yang engkau perlukan." Ujar pendakwah itu dengan yakin kerana dia tahu memang tiada ayat seperti itu di dalam al-Quran.

  Keesokan harinya mereka bertemu semula. Pendakwah itu ternanti-nanti jawapan yang ulama itu akan beri dan sudah pasti tidak ada ayat yang dijumpai.
"Bagaimana tuan, ada berjumpa jawapan dan ayat itu?" Tanya pendakwah itu sambil tersenyum penuh makna.
"Ada, jawapannya ialah satu cupak gandum boleh menghasilkan dua puluh ketul roti didalam surah AN-NAHL ayat 43 (....maka bertanyalah kepada orang yang mempunyai pengetahuan jika kamu tidak mengetahui). Aku telah bertanya kepada seorang pembuat roti kelmarin." Jawab ulama itu yang yakin al-Quran mempunyai segala jawapan.
   
   Mendengar jawapan ulama itu, pendakwah Nasrani itu merasa takjub dan mengaku akan kehebatan al-Quran di dalam hatinya yang boleh memberi jawapan kepada serendah-rendah soalan hingga setinggi-tinggi soalan.

Wallahu a'lam.

- Tuk Ki Jemaah
(daripada talib kepada mukallaf)  

Tuesday, 28 October 2014

HIJRAH: PERISTIWA NABI S.A.W DAPAT DIBURU OLEH SURAQAH.

4 Muharram 1436 H

( N  74 )   NUKILAN DARI TAMAN SYURGA.


HIJRAH : PERISTIWA NABI S.A.W DAPAT DIBURU OLEH SURAQAH.


Setelah tiga hari Rasulullah s.a.w dan Abu Bakr berlindung di dua Thur, mereka telah bersedia untuk memulakan perjalanan ke Madinah. Asma' binti Abu Bakr telah membawa bekalan perjalanan Baginda. Sementara Abdullah bin Uraiqat, seorang yang berugama Quraisy yang dipercayai telah diupah oleh mereka , telah membawa dua tunggangan. Rasulullah s.a.w dan Abu Bakr telah diiringi oleh Amir bin Fahirah telah melalui 
jalan pinggir pantai laut Merah yang jarang-jarang digunakan orang mengikut petunjuk yang diberitahu oleh Abdullah bin Uraiqat. 

   Waktu itu usaha untuk membunuh Rasulullah s.a.w telah mulai reda. Rondaan dan sekatan jalan telah dihentikan. Tetapi ganjaran yang tinggi telah ditawarkan kepada sesiapa yang dapat menangkap Rasulullah s.a.w. Suraqah bin Malik telah menceritakan:
"Ketika ku sedang duduk didalam satu majlis qabilahku, Banu Mudlij, tiba-tiba seorang lelaki telah datang ke majlis itu. Dia berdiri, sedang kami semua duduk, lalu berkata, "Wahai Suraqah, baru sebentar aku telah melihat lembaga hitam di persisiran pantai, aku dapati mereka ialah Muhammad dan sahabat-sahabatnya." 
Kata Suraqah di dalam hatinya, "Aku tahu mereka itu sememangnya Muhammad dan sahabat-sahabatnya."
Oleh kerana Suraqah ingin mengambil peluang menangkap Rasulullah dan membolot ganjarannya, beliau telah menafikan orang itu ialah Muhammad s.a.w tetapi adalah orang lain yang dikenalinya dan mengetahui perjalanan mereka.

   Suraqah terus duduk beberapa ketika di dalam majlis itu dan telah keluar tanpa disyakki oleh sesiapa dan menyuruh orang suruhannya mengambil kudanya sambil dia bersiap dengan tombaknya dan menyelinap keluar belakang rumahnya dan terus memacu dan memecut kudanya.

   Setelah Suraqah menjejaki dan menghampiri Rasulullah s.a.w dan sahabat-sahabatnya dengan pantasnya, tiba-tiba kedua-dua kaki hadapan kudanya telah terbenam kedalam pasir dan Suraqah telah tercampak dari kudanya.
Setelah bangun berdiri dan hairan dengan apa yang berlaku, dia telah membuat cabutan nasib dengan anak panahnya untuk menentukan samaada untuk teruskan niat membunuh mereka atau tidak. Cabutan nasib itu didapatinya supaya tidak meneruskan niatnya, tetapi dilanggarnya keputusan itu dan terus menunggang semula kudanya dan memecutnya untuk membunuh Rasulullah s.a.w. 

   Percubaan keduanya benar-benar dia menghampiri Baginda begitu dekat sehingga "...aku dapat mendengar bacaan Rasulullah (s.a.w). Baginda tidak menoleh ke mana-mana tetapi Abu Bakr kerap sangat menoleh ke belakang". Tiba-tiba sekali lagi kedua kaki hadapan kuda Suraqah terbenam ke dalam pasir hingga ke lututnya dan sekali lagi Suraqah tercampak jatuh. Suraqah mengherdik kudanya lalu kudanya berhempas pulas mengeluarkan kakinya dari terbenam di dalam pasir dan akhirnya kudanya berdiri semula.
Dengan tidak semena-mena kelihatan debu bercahaya di langit seperti asap. Melihat kejadian itu sekali lagi Suraqah membuat cabutan nasib dan petunjuk dengan anak panahnya dan sekali lagi mendapat keputusan yang sama dengan keputusan yang terdahulu.
   
   Melihat ini beliau menceritakan, "Kali ini aku menyeru mereka memohon keselamatan dan mereka semua berhenti dan aku memacu kudaku sehingga sampai dihadapan mereka. Kini terlintas di dalam jiwaku dengan apa yang telah terjadi dimana semua tindakanku itu semua terhalang adalah petanda kepada kejayaan urusan Rasulullah s.a.w di masa-masa akan datang."
   
   Suraqah telah menawarkan kepada Rasulullah s.a.w bekalan dan makanan namun hanya mendapat jawapan "Jauhilah dari kami." Suraqah berkata lagi, "Ku meminta Rasulullah s.a.w menuliskan daku watikah keaamanan, lalu Baginada menyuruh Amir bin Fahirah menulisnya atas sebidang kulit. Setelah itu Baginda s.a.w pun meneruskan perjalanan." 
Sekembali Suraqah ke Mekah dia tidak memberitahu kejadian itu kepada sesiapa tetapi telah menjadi pelindung Rasulullah s.a.w sambil berkata kepada orang-orang Mekah yang masih mencari Baginda, "Telah pun aku usahakan untuk kamu dan di sini aku yang bertanggung jawab." 

   Mengikut riwayat Abu Bakr, "Kami keluar berhijrah dalam kaum kafirin mencari-cari kami, namun tidak seorang pun yang dapat memburu kami kecuali Suraqah bin Malik bin Ja'syam sahaja yang menunggang kudanya. Ku menyeru Rasulullah s.a.w  yang aku mencurigai pemburuan itu kalau-kalau ia sempat menangkap kami. 

Jawab Baginda, "Janganlah berduka sesungguhnya Allah bersama kita." (At-Taubah: 40)

Wallahu a'lam.

(Sumber : kuliah dengan kitab Al-Raheeq Al-Makhtum.)


- Tuk Ki Jemaah
(Daripada talib kepada mukallaf)



Sunday, 26 October 2014

HADIS: ...LALU RASULULLAH S.A.W KETAWA..

2 Muharam 1346 H

( N  73 )  NUKILAN DARI TAMAN SYURGA.

HADIS : .... LALU RASULULLAH S.A.W KETAWA.


Ahli syurga di dalam syurga bukanlah menjalani satu kehidupan rohani seperti dakwaan ahli falsafah dan Nasrani. 
Allah s.w.t berfirman, bermaksud: "Dan di dalam syurga itu pula disediakan segala yang diingini nafsu." - surah Az-Zukhruf: 71

Berikut ialah salah satu terjemahan hadis yang menggembirakan dan menghasilkan suasana kecerian kepada pendengar-pendengar beriman yang membuat kita melihat diri kita sendiri.

Daripada Abu Hurairah bahawa suatu hari Nabi s.a.w bercakap dan disisinya ada seorang lelaki A'rabi: "Bahawa seorang lelaki dari ahli syurga meminta izin Tuhannya untuk menanam tanaman, lalu Allah bertanya kepadanya: 
Bukankah engkau telah memperoleh apa yang engkau kehendaki?
Katanya: Benar akan tetapi aku suka menanam.
Maka segera menabur benih lalu terus tumbuh membesar,berbuah, dituai dan bertimbun seperti gunung.
Lalu Allah s.w.t berfirman: Ambillah wahai anak Adam maka sesungguhnya engkau tidak pernah puas dengan sesuatu.
Lalu A'rabi itu berkata: Wahai Rasulullah, engkau tidak akan mendapati orang ini melainkan orang Quraisy dan orang Ansar kerana mereka ahli pertanian. Ada pun kami bukan ahli pertanian. 
Lalu  Rasulullah s.a.w ketawa." - Diriwayatkan oleh Bukhari dalam Sahihnya. 

KETERANGAN HADIS.

1. Di dalam syurga seluruh keinginan akan dikabulkan dan direalisasikan.

2. Tabiat hamba yang ingin meneruskan amalan baiknya semasa di dunia akan dikabulkan dengan cara yang terlebih baik.

3. Tanaman/makanan di dalam syurga tidak memerlukan waktu seperti di dunia. Umpamanya, jika berkeinginankan buah-buahan seketika itu juga akan tumbuh dahan pokok dengan buahnya untuk dipetik. Seperti firman Allah Ta'ala: 
"Sesungguhnya ini ialah pemberian Kami kapada kamu, pemberian yang tidak akan habis-habis." ( Saad: 54).  

4. Menggambarkan kehidupan ahli-ahli syurga yang menyenangkan dan menggembirakan.

5. Majlis-majlis Rasulullah s.a.w dan para sahabat yang menyebarkan hadis-hadis berunsur keindahan dan kegembiraan yang akan diringi senyuman dan kadang-kadang ketawa kecil.

6. Ahli syurga makan, minum di dalam syurga, yang menyalahi dakwaan ahli falasafah dan Nasrani bahawa ia adalah kehidupan rohani yang jauh dari kebendaan. 

7. Allah Azza wa Jalla bercakap-cakap dengan hamba-hambaNya di dalam syurga (seperti Allah berfirman dalam hadis ini "Ambillah anak Adam maka sesungguhnya engkau tidak pernah puas dengan sesuatu.")

Wallahu a'lam.

Sumber: kuliah degan kitab Qisasul Ghaib fi sahih....


- Tuk Ki Jemaah.
(Daripada talib kepada mukallaf)
       

Tuesday, 14 October 2014

TAUHID/AKIDAH: BHG. 13 SIFAT KE 6 WAHDANIAH.

19 ZULHIJJAH 1435 H

( N  72 )  NUKILAN DARI TAMAN SYURGA.


ILMU TAUHID/AKIDAH BHG. 13:

 SIFAT KE 6 WAHDANIAH (KEESAAN).


Wahdaniah ertinya keesaan, yakni bukan satu yang boleh dibelah-belah menjadi cebisan separuh, suku, atau berbilang-bilang. Allah Taala berfirman, terjemahannya: 
"Dan Tuhan kamu ialah Tuhan Yang Maha Esa...." - surah Al-Baqarah: 63. 

Wajib pada syarak setiap mukallaf (baligh dan berakal) mengetahui dan mengakui dengan muktamad bahawa Allah Ta'ala itu esa, iaitu, esa (satu dan tidak berbilang-bilang) pada 1.zatNya 2.sifatNya dan 3.af'alNya (perbuatanNya).

1. ESA PADA ZAT.
a) Zat Allah Taala tidak bersusun daripada beberapa juzuk (bahagian) seperti muka, kepala, tangan, kaki dan boleh dikerat, dipotong, dikoyak seperti zat (diri) makhluk/alam (kejadian selain daripada Allah Taala). Jika begitu hal keadaannya, ia dinamakan kam mutassil (berbilang dan berhubung pada zat/diri). Jika zat Tuhan dapat dibahagikan dan boleh dibilang, tidaklah dikatakan esa. Bahkan Dia menyerupai makhluk.

b) Tidak ada pula zat Tuhan yang lain yang boleh dibilang-bilang atau sama dengan zat Allah Taala. Hal sedemikian dinamakan kam munfasil (bilangan yang berasing-asing) dan tidaklah dikatakan esa.

2. ESA PADA SIFAT.
a) Tidak ada pada zat Allah Taala itu dua atau lebih sifat daripada jenis yang sama, umpamanya, dua sifat Qudrat (berkuasa), dua sifat Iradat (berkehendak). Hal demikian dinamakan kam muttasil pada sifat (bilangan yang berhubung pada sifat, yakni, beberapa sifat yang sama.

b) Tidak ada pada yang lain daripada Allah Taala suatu sifat yang menyerupai mana-mana sifat Allah Taala seperti sifat boleh mengadakan dan maniadakan apa-apa makhluk. Hal demikian dinamakan kam munfasil pada sifat (berbilang sifat yang sama yang berasingan) dan dengan sendirinya ternafi oleh keesaan sifat Allah Taala.

3. ESA PADA AF'AL (PERBUATAN).
a) Tidak ada sesiapa pun yang bersekutu dengan Allah Taala dalam mana-mana perbuatanNya. Jika berlawanan dengan yang demikian ia dinamakan kam muttasil pada perbuatan (berbilang sesama mereka mengerjakan sesuatu perbuatan). 
Keadaan ini adalah tertolak kerana tiap-tiap dua atau lebih perbuatan itu tidak dikatakan berbuatan Tuhan kerana makna Tuhan itu Tuan sekelian perkara dan apabila dua atau lebih, nescaya dikatakan Tuan sebahagian-sebahagian sahaja.
Nota: Perbuatan/mengadakan sesuatu oleh makhluk hanyalah berdasarkan atas usaha dan ikhtiar (memilih).

b) Tidak ada perbuatandari diri yang berlainan/berasingan mengadakan sesuatu sama dengan perbuatan Allah Taala. Jika berlaku perbuatan yang berasingan itu dinamakan kam munfasil pada perbuatan, yakni, berbilang perbuatan dari diri yang berlainan dalam mengadakan sesuatu. Ini mustahil kerana dua atau lebih Tuhan tidak memenuhi (sepenuhnya) pemerintahannya sebagai Tuhan.

Oleh itu Tuhan itu tetap esa dan tidak berbilang-bilang pada ZAT, SIFAT dan PERBUATANNYA. 

*Mustahil Allah Taala ketiadaan esaNya.

DALIL.

Jika Tuhan berbilang-bilang, tidak boleh tidak mereka terpaksa bersetuju atau berbalah/berselisih antara satu sama lain, umpamanya dalam mengadakan/menjadikan sesuatu makhluk/alam (makna makhluk/alam ialah kejadian selain daripada Tuhan). 

Jika umpamanya bersetuju dua Tuhan, akan timbul tiga masaalah. 

1. Bersetuju menjadikan sesuatu makhluk di dalam satu masa. Ini adalah mustahil dilakukan. Maka lemahlah kedua-duanya. Mustahil Tuhan itu lemah dan kita dapat melihat setiap makhluk itu sudah ada tercipta yang membuktikan Tuhan itu berkuasa dan tetap esa.  




2. Bersetuju menjadikan suatu makhluk atas dasar dahulu dan kemudian. Umpamanya, Tuhan A membuat suatu makhluk pada pukul 10 dan Tuhan B pukul 11. Maka Tuhan B itu mengadakan makhluk yang sudah ada oleh Tuhan A. Begitu juga jika sebaliknya berlaku. Maka kedua-duanya adalah lemah kerana tiada kuasa mutlak dan ini adalah mustahil kerana setiap makhluk sudah tercipta dan dapat disaksikan dengan mata kepala kita. Terbuktilah Tuhan itu esa jua tidak berbilang-bilang. 

3. Bersetuju untuk menjadikan makhluk yang berlainan. Umpamanya, Tuhan A menjadikan langit dan Tuhan B menjadikan bumi. Dengan sendirinya kedua-dua Tuhan menjadi lemah kerana Tuhan A tidak boleh lagi menjadikan bumi dan begitulah sebaliknya dengan Tuhan B tidak boleh lagi menjadikan langit. Jika ini berlaku Tuhan itu lemah.

Jika kedua-dua atau lebih Tuhan-Tuhan itu pula berselisih/berbalah antara satu sama lain terjadi pula dua masaalah. 

1. Kalah satu menang satu. 
Umpama Tuhan A hendak menjadikan langit manakala Tuhan B hendak meniadakan langit dan Tuhan A tidak boleh melakukannya kerana dipertahan dan dihalang oleh Tuhan B. Begitulah sebaliknya berlaku. Maka kedua-dua Tuhan adalah lemah dalam memenuhi kehendak masing-masing.

2. Seri kedua-duanya.
a) Seri dengan kalah kedua-duanya. Umpama Tuhan A hendak mnjadikan suatu makhluk tetapi dihalang oleh Tuhan B. Tuhan B pula hendak meniadakan/menghapuskan suatu makhluk yang dibuat oleh Tuhan A tetapi sudah tentu tidak boleh kerana makhluk itu tidak dapat dijadikan/diadakan. Maka lemahlah kedua-duanya.

b) Menang kedua-duanya. Umpama satu Tuhan mencipta suatu makhluk dan lantas Tuhan lain telah meniadakan/menghapuskan makhluk itu. Perkara ini adalah mustahil kerana makhluk-makhluk telah ada dengan musyahadah (dapat dilihat dengan mata). Oleh itu pastilah Tuhan itu esa.

Inilah kebenaran yang diakui di dalam Al-Quran, terjemahannya:

"Apakah mereka mengambil tuhan-tuhan dari bumi, yang dapat menghidupkan (orang -orang mati)?
Sekiranya ada di langit dan di bumi tuhan-tuhan selain Allah, tentulah keduanya telah rosak binasa..." surah Al-Anbia: 21~22.


Wallahua'lam.

(Sila dapatkan keterangan lanjut dari guru yang mahir). 

Sumber daripada: kuliah berdasarkan kitab-kitab Faridatul faraid...dan Al-Misbah Al-Munir.

- Tuk Ki Jemaah.
(Daripada talib kepada mukallaf)

 
              

Tuesday, 16 September 2014

HADIS : KELEBIHAN KORBAN, PUASA HARI ARAFAH DAN IMARAH MASJID.

21 ZULKAEDAH 1435 H

( N  71 )   NUKILAN DARI TAMAN SYURGA.


HADIS : KELEBIHAN KORBAN, PUASA HARI ARAFAH DAN IMARAH MASJID.

KORBAN
Aisyah meriwayatkan bahawa Nabi s.a.w bersabda: Tidak ada amal yang dilakukan oleh anak Adam pada hari nahr yang lebih dicintai Allah, selain mengalirkan darah (menyembelih haiwan). Dan haiwan yang disembelih itu kelak di hari kiamat akan datang (menemui orang yang melakukan korban) lengkap dengan tanduk, kuku dan sepatu kakinya. Dan sesungguhnya darahnya akan diterima Allah sebelum darah itu jatuh ke tanah. Kerana itu lakukanlah korban itu seikhlas mungkin. - H.r Tarmizi.


PUASA HARI ARAFAH

Hari Arafah ialah puasa pada 9 Zulhijjah yang disunatkan pada mereka yang tidak melakukan ibadah haji. Berpuasa sunat Arafah akan mendapat ganjaran pahala yang sangat besar, sebagaimana dalam sabda Rasulullah s.a.w, "Berpuasa pada hari Arafah dinilai di sisi Allah sebagai penghapus dosa bagi setahun yang sebelumnya dan yang selepasnya." - H.r Muslim. 

Daripada Abu Qatadah al-Ansyari r.a : Rasulullah pernah ditanya tentang puasa di hari Arafah. Maka Baginda bersabda, "Ia menebus dosa setahun yang lalu dan setahun yang akan datang." - H.r Imam Muslim.



IMARAH MASJID

Daripada Abu Hurairah r.a, Nabi s.a.w bersabda: 
"Sesungguhnya bagi masjid-masjid itu terdapat orang-orang yang mengimarahkan masjid, para malaikat duduk bersama-sama mereka. Jika mereka tidak hadir ke masjid, para malaikat akan mencari mereka, jika mereka sakit, para malaikat akan menziarahi mereka, jika mereka ada keperluan, para malaikat akan membantu mereka."

Sabda Rasulullah s.a.w lagi, "Orang yang duduk di dalam masjid berada di dalam tiga keaadaan:
Saudara yang memperolehi faedah (mendapat kawan yang baik), memperolehi perkataan yang berhikmah (mendengar al-Quran atau majlis ilmu) atau rahmat yang ditunggu (doa para malaikat)."

Wallahu a'lam.

(sumber: kuliah)

-Tuk Ki Jemaah
(daripada talib kepada mukallaf)

   

Saturday, 14 June 2014

SATU-SATUNYA YANG TERISTIMEWA - pantun

16  RAJAB 1435 H

(  I 40  )  ILHAM ILAHI

PANTUN : 



SATU-SATUNYA YANG TERISTIMEWA.

Bunga-bunga begitu cantik.
   Pucuk pohonnya berdahan tinggi.
Cinta hamba kepada Yang Khalik.
   Untuk menjalinnya bukan misteri.

Sempat bersantaian diiringi taulan.
   Lama ketinggalan akibat perpisahan.
Solat harian sendi perhubungan.
   Sehingga berperasaan dilihat Tuhan.

Bakat menyerlah ilmu berdebat.
   Tegas berfakta dengan hujahnya.
Solat ialah salah satu syariat.
   Jelas sekali istimewa kedudukannya.

Di kala senja menjengah tiba.
   Hari turut bersilih ganti.
Ia satu-satunya perintah teristimewa.
   Nabi dijemput menerimanya sendiri.

Syarat merawat kalbu yang hiba.
   Dekatkan diri dengan Tuan Diri.
Syariat solat ialah satu-satunya.
   Disampaikan di langit bukan di bumi.

Ketika membaca tekankan makhraj.
   Quran dibaca versi braille.
Di Sidrilmuntaha ketika Israk dan Mikraj.
   Bukan diwahyukan melalui Jibril.

Tidak menghairankan dunia, prinsip si zuhud.
   Redha dan beribadah adalah diamalkan.
Merafak ke Arasy lalu bersujud.
   Secara langsung syariat solat diperintahkan.

Entah bermunafaat entah tidaknya.
   Sebelum mencuba, isi harus didedah.
Perintah solat ialah satu-satunya.
   Hukum pertama dilaksanakan di Mekah. 

Boleh berpuasa di akhir Sya'aban.
   Jika sentiasa berpuasa sunat.
Oleh kerana hukum pertama diperintahkan.
   Maka menjadikan ia kepala syariat.

Pening tidak kalut pun bukan.
    Pencerahan guru adalah penting.
Paling banyak disebut didalam al-Quran.
   Mencerminkan solat berperanan penting. 

Kenapa kita wajib berselawat?
   Kerana itulah yang diperintahNYA.
Kenapa kita wajib bersolat?
   Kerana ia tiang agama.

Ada kalbu yang disinari.
   Cahaya berkat yang dikecap.
Lima waktu didirikan hari-hari.
   Upacara ibadat yang paling kerap.

Ayat keramat sangat terkesan di hati dan nadi.
   Tertanam kuat di dalam hati bagai diikat.
Solat satu-satunya syariat yang diucap Nabi.
   Di dalam wasiat ketika Baginda hendak wafat.

Arang diberi untuk menconteng.
 Dengan matlamat conteng di muka.
  Jangan memalit akan memalukan.
   Ia dibenci di sisi Tuhan.
Sembahyang berdiri, duduk dan baring.
 Malahan dengan isyarat mata.
  Keadaan sakit bukan dalihan.
   Ia kunci orang beriman.

~ Inspirasi dari kuliah.

~ Tuk Ki Jemaah.

   

Tuesday, 27 May 2014

TAUHID/AKIDAH (BAH. 12) : KE 5. QIAMUHU TA'ALA BINAFSIHI

27 RAJAB 1435 H

(  N 70  ) NUKILAN DARI TAMAN SYURGA

TAUHID/AKIDAH (BAH. 12):

5. QIAMUHU TA'ALA BINAFSIHI (berdiri Allah Ta'ala dengan sendiri).

Firman Allah Ta'ala, bermaksud:

"Allah Ta'ala itu tidak ada Tuhan yang lain melainkan Dia jua. Tuhan yang Maha Hidup lagi Maha Berdiri Sendiri dalam mengatur makhlukNya." - surah Al-Baqarah: ayat 255.

Setiap mukallaf (baligh ban berakal) wajib pada syarak (undang-undang agama) mengetahui dan mengaku dengan muktamad di dalam hatinya bahawa tentu sungguh Allah Ta'ala berdiri dengan sendiri dan tidak berkehendakkan kepada zat Tuhan yang lain untuk menjadikan Dia dan tidak memerlukan zat lain untuk Dia berada di zat itu. 

Allah Ta'ala tidak berkehendakkan kepada zat, seperti segala sifat (makhlukNya) yang menempatkan/menumpang diri sifat itu pada diri zat, umpamanya, rasa manis (sifat) yang menumpang pada gula (zat). Sifat pada makhluk yang menumpang pada zat boleh berubah-ubah. Sedangkan sifat Allah Ta'ala adalah sebaliknya dan terlampau sempurna dan tidak boleh sifat Allah Ta'ala itu sama seperti sifat-sifat lain.   

Dengan lain-lain perkataan, Allah Ta'ala itu ada sendiri-sendiri dan tidak berkehendak dan tidak berhajat kepada zat (benda) lain untuk menempatkan diriNya. Bahkan, Dia menjadikan segala-segalanya. 

Ini juga bukan bermakna secara literal, iaitu, berdiri dengan sendiri setelah duduk kemudian berdiri. Sedemikian itu adalah mustahil atas Allah Ta'ala. Allah Ta'ala tidak berhajat/memerlukan dan terkesan sesuatu pun daripada segala ciptaanNya, umpamanya, walaupun semua manusia kafir atau semuanya beriman! 

MUSTAHIL (lawannya) iaitu Dia berkehendakkan kepada zat atau kepada yang menjadikan Dia.

DALIL ALLAH TA'ALA BERDIRI DENGAN SENDIRI. 

1. Jikalau Allah Ta'ala tidak berdiri dengan sendiri dan memerlukan kepada yang menjadikan Dia, sudah tentu Dia adalah baru (ada permulaan) sedangkan telah dibuktikan terdahulu Allah Ta'ala itu sedia ada.  

2. Jika Dia tidak berdiri dengan sendiri, dan berkehendakkan suatu zat untuk menempatkan diriNya, dengan tersendirinya telah menjadikan Dia adalah sifat. Keaadaan ini adalah mustahil kerana sifat tidak boleh menumpang sifat, iaitu,sifat-sifat ma'ani seperti Qudrat, Iradat dan ma'anawiyah yang akan dibincangkan kelak.  Oleh itu, Allah Ta'ala adalah zat dan bukan sifat. Jika Dia adalah sifat, mana mungkin sifat menumpang sifat!

Maka tetaplah zat Tuhan itu berdiri dengan sendiri, seperti firmanNya bermaksud: 

"Wahai manusia! kamu sekelian yang berkehendak kepadaAllah dan Allah Ta'ala itulah yang Maha Kaya lagi Maha Terpuji". - surah Fathir ayat 15. 

Maha Kaya Allah Ta'ala itu yang tidak berkehendakkan kepada apa-apa pun.

Wallahu a'lam. 

(Terlebih baik belajar dan bertanya dengan guru-guru yang mahir dan berkitab).

Sumber: Kuliah berdasar kepada kitab-kitab Faridatul Faraid dan Al-Misbah Al-Munir...).

~ Tuk Ki Jemaah
(daripada talib kepada mukallaf)

& ** Sila baca juga SIFAT KE 4 
  
          

Thursday, 22 May 2014

HUDUD MENCURI: 10 SYARAT SEBELUM POTONG.

22 REJAB 1435 H

(  N 69  )   NUKILAN DARI TAMAN SYURGA


ANEKDOT TAKWA (22) :

HUDUD MENCURI: 10 SYARAT SEBELUM PELAKSANAAN HUKUMAN POTONG PERGELANGAN TANGAN/KAKI.

Hukum hudud mencuri, iaitu, pemotongan pergelangan tangan/kaki bukan boleh dijatuhkan sewenang-wenangnya. Hakim akan menjatuhkan hukuman ini setelah 10 syarat-syarat berikut dipenuhi dan jika gagal pesalah boleh dikenakan hukuman takzir (yang telah digubal oleh kerajaan)  :-

1. Pesalah hendaklah seorang baligh (cukup umur).

2. Tidak gila

3. Ia mencuri nisab (bilangan) hernilai 9.5 gram emas ( +- RM 1.500) atau lebih.

4. Ia tidak dipaksa mencuri.

5. Ia bukan seorang yang fakir/miskin yang mencuri kerana keperluan paling asasnya. Nota: fakir/miskin adalah golongan asnaf di bawah tanggung jawab Baitul Mal.

6. Mencuri barang yang tersimpan di tempat yang selamat dan selayaknya, bukan kerana kecuaian pemilik.

7. Dua orang saksi.

8. Bukan curi barang milik sendiri, contoh : mencuri dari orang yang berhutang dengannya (setelah penghutang enggan memulangkan hutangnya) dan mengambil nilai yang sama daripada harta yang dicuri itu. 

9. Bukan mencuri harta ahli keluarga terdekat, misalnya, ibu/bapa/anak sendiri.

10. Tiada penafian daripada pemilik barang kepunyaannya telah dicuri. 

Inilah undang-undang Allah s.w.t. yang Maha Mengetahui peri hal PENYELESAIAN masaalah makhluk ciptaanNYA.

&**sila baca juga HUDUD (HUKUMAN) klik di sini.  

Wallahu a'lam.

Sumber: kuliah


~ Tuk Ki Jemaah
(Daripada talib kepada mukallaf)



Wednesday, 14 May 2014

HADIS QUDSI: ....IBARAT HANYA CELUPAN JARUM KE DALAM AIR LAUTAN.

14 REJAB 1435 H

( N  68 ) NUKILAN DARI TAMAN SYURGA

HADIS QUDSI (11) :

... IBARAT HANYA CELUPAN JARUM KE DALAM AIR LAUTAN !



Daripada Abi Zar r.a seperti diriwayatkan oleh Rasulullah s.a.w daripada Allah s.w.t. yang membawa maksud: 

"Wahai hamba-hambaKu, sesungguhnya Aku telah mengharamkan perbuatan zalim keatas diriKu, dan Aku mengharamkannya juga di kalangan kamu. Wahai hamba-hambaKu, kamu semua merupakan orang-orang yang sesat melainkan orang yang Aku memberi petunjuk kepadanya. Oleh itu hendaklah kamu memohon petunjuk daripadaKu dan Aku akan memberi petunjuk kepadamu. Wahai hamba-hambaKu, kamu semua orang-orang yang lapar melainkan orang-orang yang Aku memberi makan kepadanya. Oleh itu hendaklah kamu memohon makanan daripadaKu dan aku akan memberi makan kepadamu.

Wahai hamba-hambaKu, semua kamu bertelanjang melainkan orang yang Aku memberi pakaian kepadanya. Oleh itu hendakah kamu memohon pakaian daripadaKu dan Aku akan memberi pakaian kepadamu.

Wahai hamba-hambaKu, kamu sekelian akan melakukan kesalahan-kesalahan malam dan siang dan aku akan mengampunkan kesalahan itu. Oleh itu hendaklah kamu memohon ampun kepadaKu dan Aku akan memberi keampunan kepadamu.

Wahai hamba-hambaKu, sekiranya golongan manusia dan jin dari mula lagi hingga akhir zaman nanti akan bersikap takwa sepenuhnya, maka ia tidak akan menambahkan sesuatu kedalam milikKu. 

Wahai hamba-hambaKu, sekiranya golongan manusia dan jin dari mula lagi sehingga akhir zaman bersikap zalim sepenuhnya, maka ia tidak akan mengurangkan sesuatu daripada milikKu.

Wahai hamba-hambaKu, sekiranya golongan manusia dan jin semenjak awal lagi sehingga akhir zaman nanti berdiri di suatu kawasan tinggi lalu mereka memohon (berbagai kurniaan) daripadaKu dan Aku memberi setiap permintaan mereka itu, maka ia tidak akan mengurangkan sesuatu yang berada di sisiKu bagaikan jarum yang dicelup ke dalam lautan.


Wahai hamba-hambaKu, sesungguhnya segala amalan kamu akan Aku hitungkan, kemudian Aku akan sempurnakan balasannya kepada kamu. Oleh yang demikian, sesiapa sahaja yang mendapat kebaikan, maka hendaklah ia memuji atau bersyukur kepada Allah; dan sesiapa yang mendapat keburukan, maka janganlah ia menyalahkan orang lain tetapi salahkanlah dirinya sendiri."

- Hadis qudsi riwayat Muslim.


KETERANGAN HADIS.

1. Sebagai seorang hambaNya, hendaklah sentiasa berasa hina dan berdoa dengan penuh harapan, memohon petunjuk jalan yang lurus seperti yang sentiasa didoakan didalam solat apabila membaca surah al-Fatihah, umpamanya.
Allah menyediakan rezeki kepada setiap hambaNya.

2. Hendaklah sentiasa beristighfar memohon ampun daripadaNya di atas dosa-dosa yang dilakukan secara sedar atau tidak sedar.

3. Allah tidak sekali-kali terkesan oleh tindak-tanduk makhluk ciptaanNya.

4. Segala amalan baik dan buruk akan menerima balasannya. Jangan sekali-kali bersikap sombong terhadap Allah (dengan melanggar segala suruhanNya) dan sentiasa mengingatkan diri sendiri bahawa segala daya-upaya dan kekuatan kita itu hanya daripada Allah s.w.t. jua.


Wallahu a'lam.

Sumber: Kuliah 

- Tuk Ki Jemaah
( daripada talib kepada mukallaf) 

   



Sunday, 27 April 2014

CINTA PALSU KEPADA NABI S.A.W. (hanya hiasan kata-kata).

27 JAMADIL AKHIR 1435 H

( N  67 ) NUKILAN DARI TAMAN SYURGA.

CINTA PALSU KEPADA NABI S.A.W. ( hanya hiasan kata-kata ).

Adakah cinta saya kepada Raslullah s.a.w hanya mainan bibir dan kata-kata yang hanya menipu diri saya sendiri? Saya harus meneliti senarai lima perkara ini.

1. MENGIKUTI DAN MENGAMALKAN SUNNAH RASULULLAH S.A.W. 

Sungguh tepat untuk menghayati terlebih dahulu firman-firman Allah ini yang diterjemahkan seperti berikut:

"Katakanlah wahai Muhammad kepada mereka , "Jika kamu cintakan Allah ikutlah aku (Muhammad), dan Dia (Allah) akan mengampunkan dosa-dosa kamu, Allah maha pengampun lagi maha penyayang."

- Surah 3 Ali Imran : 31

"Sesungguhnya telah datang kepada kamu seorang rasul (Muhammad) dari kalangan kamu sendiri, berat terasa olehnya sebarang kesusahan yang ditanggung oleh kamu, sangat menginginkan (keimanan dan keselamatan) bagi kamu, amat belas serta kasih sayangnya kepada orang-orang yang beriman."  

- Surah 9 at-Taubah : 128

"Demi sesungguhnya bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang-orang yang sentiasa mengharapkan keredhaan Allah dan balasan baik di hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak dalam ketika susah dan senang."

- Surah 33 al-Ahzab : 21 

Islam amat menuntut untuk mengetahui dan mengamalkan sunnah Rasulullah s.a.w. zahir dan bathin, baik dari segi tingkah laku, perbuatan, percakapan, amalan bahkan diam Nabi s.a.w juga adalah sunnah yang patut kita turuti. Orang yang meninggalkannya adalah orang yang sangat rugi di dunia dan akhirat.

2. MERINDUI DAN GEMAR MEMBICARAKAN SETIAP PENINGGALAN RASULULLAH S.A.W.

Merindui Rasul akan bermakna mencintai Allah. Oleh itu adalah menjadi satu perkara yang wajib untuk mencintai, mentaati dan merindui Rasulullah s.a.w. Allah berfirman bermaksud:

 "Dan siapa yang taat kepada Allah dan RasulNya mereka akan ditempatkan di syurga bersama-sama orang-orang yang dikurniakan nikmat oleh Allah kepada mereka, iaitu para nabi, siddiqin (yang teguh kepercayaan kepada Rasul), para syuhada (mati syahid) dan orang-orang yang soleh. Dan amat eloklah mereka menjadi teman kepada orang-orang yang taat." 

- Surah 4 an-Nisa' : 69

Ayat di atas diturunkan apabila para sahabat yang berkata kepada Rasulullah, "Wahai Rasulullah, kami tidak mahu berpisah denganmu. Sesungguhnya, jika engkau mendahului kami, engkau pasti akan mendapat tempat yang lebih tinggi bersama para nabi lain, sehingga kami tidak dapat melihatmu." - HR Ibnu Abi Hatim.

Para sahabat mencintai Rasulullah s.a.w. lebih daripada keluarga dan anak-anak mereka, harta, bahkan diri mereka sendiri.

Sentiasa membicarakan segala peninggalan Nabi s.a.w adalah membenarkan segala peninggalannya sama ada iktikadnya, pertuturannya, diamnya dan tingkah lakunya. Segala yang datang daripada Rasulullah s.a.w adalah wahyu daripada Allah s.w.t. Allah berfirman, maksudNya: 

"Dan dia (Muhammad) tidak bertutur mengikut hawa nafsu, melainkan dia bertutur apa yang diwahyukan oleh Allah kepadanya."

- Surah 53 an-Najm : 3~4

3. TIDAK MENENTANG SYARIATNYA.

Melalui Allah, Nabi Muahammad s.a.w telah membawa syariat yang sangat releven mengikut zaman, suasana, masa, tempat dan sebagainya. Perbuatan menolak atau mempersendakan salah satu daripadanya adalah haram dan berdosa besar, malah boleh jatuh kufur seperti firman Allah yang bermaksud:

"Patutkah nama Allah dan ayat-ayatNya serta rasulNya kamu memperolok-olok dan mengejeknya? Jangan kamu berdalih (dengan alasan-alasan yang dusta), kerana sesungguhnya kamu telah kufur sesudah kamu beriman..."

- Surah 9 at-Taubah : 65~66

4. MEMPERBANYAKKAN SELAWAT DAN SALAM KEPADA RASULULLAH S.A.W.

Memperbanyakkan selawat kepada baginda bermakna memohon limpahan cahaya daripada Allah agar dikurniakan fadhilat dan syafaat serta dipelihara oleh Allah s.w.t. Sabda Rasulullah s.a.w :


Maksudnya: Daripada Anas bin Malik, Rasulullah bersabda, "Sesiapa mengucapkan selawat kepadaku sekali, maka Allah akan mengucapkan selawat kepadanya sepuluh kali, dihapuskan baginya sepuluh kesalahan dan diangkat baginya sepuluh darjat." 
- Riwayat al-Bukhari, Ahmad, An-Nasai dan al-Hakim. 

5. MENYEBARKAN SUNNAHNYA.

Orang yang menghayati, menghidupkan dan mengamalkan sunnah Nabi s.a.w yang wajib dan yang sunat menandakan cintanya kepada Nabi s.a.w. dan begitu juga sebaliknya cinta baginda s.a.w kepadanya. Hendaklah disebarkan pula sunnahnya kepada ahli keluarga, sahabat handai dan masyarakat dengan berhemah dan berhikmah melalui pengajaran, fatwa, kuliah-kuliah dan mempamerkan akhlak baginda s.a.w. Menolak, mempersenda dan mengkritik sunnahnya berertinya membencinya. Sabdanya yang bermaksud:

"Barangsiapa yang menghidupkan sunnahku, dia telah mencintaiku; dan barangsiapa mencintaiku dia akan bersamaku di dalam syurga."

Ya Allah jadikanlah kami orang yang mencintai Nabi Muhammad s.a.w. Amiin.

Wallahua'lam.

(Sumber: kuliah dan buku Rahsia disebalik Selawat tulisan ustaz Mohamad Amin Abdul Hamid (MA'AH).)

- Tuk kI Jemaah
(Daripada talib kepada mukalaf)
   



&** Sila lawat juga pos KENAPA PERLU BERSELAWAT. klik di sini