MUQADDIMAH- serangkai cetusan hati

MUQADDIMAH - serangkai cetusan hati
(I1) NAH!

Nah! rupa-rupanya segala rintih-rintihku Engkau sahuti
Sebelumnya...
rintihan sepontan terpantul
berulang kali.
Keluhan kesal terhembus
berulang kali.
Telahku lenyapkan ruang untuk mengenaliMu!
Manakan daya untuk mendekatiMu!
Kurniakanlah...kurniakanlah ya Ilahi.


Nah! ianya berlaku.
Idaman terhidang dihamparNya jalan.
Jangan dirintih jangan dikeluh berulang kali.
Syukur Alhamdulillah!
Mereka tidak mengerti penuh simpati
yang bijaksana menabur empati.
Namun aku tetap bersyukur Alhamdulillah!
Aku tenggelam dalam lautan-lautan ilmu dan kebesaranMu.


Nah! umpama titian sirat di dunia nyata.
Engkau pilih antara sehelai rambut dan selebar expressway.
Jangan merintih!
Jangan mengeluh!
Berulang kali lagi.
Kerana destinasi kita...
Qiblat yang tidak terperinya sebuah KEJAYAAN mutlak ...seperti dilaungkan mu'azzin dalam seruan azannya
.

Tuk Ki

* Untuk asimilisasi para insan penghidap angin ahmar (stroke), ahli keluarga dan penjaga mereka dan kepada insan-insan sejagat.

Thursday, 28 June 2012

ANEKDOT TAKWA (1): RIAK , SOLAT MALAM (TAHAJJUD)

 ( N  14 )   NUKILAN DARI TAMAN SYURGA

ANEKDOT TAKWA (1):  RIAK , SOLAT MALAM ( TAHAJJUD, dll.) 

RIAK.

Apabila seseorang berkata pada dirinya,
"Aku pergi ke surau ini untuk sembahyang berjemaah ialah kerana hendak menonjolkan diri supaya aku dilihat seorang yang baik dan warak oleh masyarakat."

Jelas, dia seorang yang RIAK. 

Apabila seseorang berkata pada dirinya,
"Aku TIDAK mahu pergi ke surau untuk sembahyang berjemaah kerana takut orang akan berkata aku hendak menunjuk-nunjuk diri sebagai seorang yang baik dan warak."

Dia juga seorang yang RIAK.

Apabila seseorang berkata pada dirinya,
"Aku pergi ke surau untuk sembahyang berjemaah kerana Allah Ta'ala. Apa orang nak kata, katalah."

Dia adalah seorang yang IKHLAS. 

_________________________________________________________

SOLAT MALAM ( TAHAJJUD, dll)

Surah AL MUZZAMMIL ( ORANG YANG BERSELIMUT) ayat 1~9 terjemahannya:

1. "Hai orang yang berselimut (Muhammad),

2. bangunlah (untuk sembahyang) di malam hari, kecuali sedikit (daripadanya),

3. (iaitu) seperdua atau kurangilah dari seperdua itu sedikit,

4. atau lebih dari seperdua . Dan bacalah Al Quran itu dengan perlahan-lahan.

5. Sesungguhnya Kami akan menurunkan kepadamu perkataan yang berat.

6. Sesungguhnya bangun di waktu malam adalah lebih tepat (untuk khusyuk) dan bacaan diwaktu itu lebih berkesan.

7. Sesungguhnya kamu pada siang hari mempunyai urusan yang panjang (banyak).

8. Sebutlah nama Tuhanmu, dan beribadatlah kepadaNya dengan penuh ketekunan.

9. (Dialah) Tuhan masyrik dan maghrib , tiada Tuhan (yang berhak disembah ) melainkan Dia, maka ambillah Dia sebagai pelindung."  

Inilah sebenarnya kelebihan besar kepada hambaNya, khususnya orang Islam, untuk membina kekuatan rohaninya yakni imannya. Amalan solat malam harian inilah menjadi  amalan tentera-tentera Salahuddin al Ayubi yang membebaskan Baitulmaqdis dari tentera Salib setelah 88 tahun mendudukinya dan begitu juga dengan tentera-tentera Sultan Muhammad al Fatih yang berjaya menakluki Constantinople, (ditukar namanya kepada Islambol - sekarang Istanbul) dan menjatuhkan empayar Byzantine. 

Mudah-mudahan mengambil berkat bulan Syaaban ini dan kedatangan Ramadhan al Mubarak, kita diberiNya kekuatan untuk menjadikan solat malam sebagai amalan kita yang berterusan (istiqamah), insya Allah.  

Wallahua'lam.
'Dari talib kepada mukalaf'

- Tuk Ki

Saturday, 23 June 2012

KISAH BENAR (2) : AKU DIKELAR-KELAR DENGAN PISAU

 ( S  8 )   DEBUNGA SYIFA'

CORETAN KISAH BENAR 2 : AKU DIKELAR-KELAR DENGAN PISAU

Inilah temujanji yang penuh misteri yang pernah aku alami didalam diari hidupku. Aku langsung tidak dapat membayangkan apakah yang akan berlaku. Dengan siapa kelak aku akan berurusan dan bagaimana aku akan diperlakukan. Malah aku samar-samar dengan keselamatanku sendiri. 

Aku membisu kerana tiada kata-kata yang hendak dibualkan kepada isteriku yang tekun memandu di stering kereta. Tiada bual-bual ringan untuk memecah  bunyi deruan enjin dan desiran angin dari penghawa dingin. Sekali sekala aku membaca alamat yang dituju yang telah aku tulis di atas secebis kertas di tanganku.

"Lampu isyarat tu, belok ke kanan." Kataku apabila kelihatan dari jauh muncul satu persimpangan.
"Kanan ya?" Isteriku hendak mempastikan sambil membelok ke kanan dengan agak laju tetapi terkawal kerana lampu hijau sedang menyala.
"Kalau ye pun, janganlah pandu macam lumba F1." Aku dengan sindiran nasihat biasaku.
Isteriku ketawa kecil. Dia sering berkata itulah caranya ia memandu apabila setiap kali ditegur oleh aku atau anak-anakku. Kami terpaksa akur dan selalunya ia menjadi sesuatu yang humor dan seringkali berkesudahan dengan  kami ketawa tetapi dalam marah.

Memasukki satu jalan kami disambut oleh deretan bangunan kedai yang agak lengang dari kenderaan. Setelah mengenal pasti premis destinasi dan memakir kereta, aku dengan tongkatku bersama isteriku masuk kedalam sebuah unit rumah kedai dan bertemu seorang kakitangan wanita di kaunter menyatakan temujanjiku.Sambil menaiki tangga setelah diarahkan ke tingkat atas bangunan, aku sempat melihat deretan rapi botol-botol yang berisi cecair berwarna gelap diperagakan dalam almari kaca. Ia mirip ubat herba tradisional.
                                               
                                                 (gambar hiasan)

Aku sedikit tersentak dengan kehairanan sebaik aku melangkah masuk ke tingkat atas. Susun atur klinik ini agak berlainan dengan klinik biasa. Ia lebih merupakan sebuah mini hospital dengan deretan beberapa buah katil dipasang siap dengan tirainya berkedudukan di ruang belakang tingkat itu. Sudah terdapat sekitar belasan orang duduk menunggu, mungkin separuhnya adalah pesakit yang menunggu giliran untuk mendapatkan rawatan seperti aku. Setelah duduk baru aku sedar ada sekumpulan pelawat sedang mengerumuni di hadapan sebuah tingkap kaca yang lebar sedang menyaksikan sesuatu di dalam bilik di sebalik tingkap itu. Aku bertanya pada seorang perempuan India yang dudik di sebelahku.
"Apa dia orang tengok tu?"
"Tengok itu doktor operate perut. Doktor mau buang ketumbuhan. Boleh tengok kalau mau." Jawabnya.
"Saya takut mau tengok." Tambahnya lagi sambil menggoyang-goyangkan tapak tangannya dan mengerut-ngerutkan mukanya.
Isteriku turut memimik perbuatan wanita India itu melahirkan ekspresi kengeriannya. Lantas aku bangun untuk menyaksikan adegan itu tetapi lantas juga aku duduk kembali kerana khuatir ia akan memberi kesan negatif kepada emosiku kerana aku adalah seorang pesakit yang mungkin akan dibedah pada hari itu.
"Boleh ambil gambar videokah?" Tersembur soalan dari mulutku apabila ternampak seorang dari mereka sedang membuat rakaman video.
Wanita India itu mengangguk kepala mengiakan. Memang satu senario yang baru bagiku.

Sebelum ini aku telah diberi maklumat oleh seorang kenalan bahawa pembedahan yang dilaksanakan di situ adalah mengikut prosedur perubatan moden biasa tetapi berasaskan rawatan Islam dan perbomohan yang penuh misteri alam ghaib. Yang lebih menarik ialah pembedahan dilakukan tanpa menggunakan bius dan tanpa jahitan!

Tidak berapa lama kemudian muncul seorang wanita India berumur separuh abad keluar berjalan dari bilik diiringi oleh beberapa orang lain menuju ke deretan katil di ruang belakang.
"Itu orang yang operate perut tadi." Wanita India yang berinteraksi denganku tadi memberitahu.
"Dia...dia baru kena bedah perut sudah boleh jalan?" Kataku separuh percaya. 
"Dia berjalan macam tak ada apa-apa pun!" Tambah isteriku menutup mulutnya yang tercengang.
"Hari ini dia boleh balik. Bagi dia rehat dulu lepas itu boleh ambil ubat, buat follow-up appointment dan boleh balik." Terdengar misi yang mengiringi pesakit itu berkata kepada seorang warisnya.
Tatkala itu beberapa andaian berlegar dalam kepalaku. Adakah aku akan dibedah? Kalau ia, di bahagian mana tubuhku? Kalau kes stroke seperti aku biasanya di bahagian kepala dan lebih tepat lagi di bahagian otak. Aku teringat diagnosis doktor melapurkan saluran darah kecil kepalaku tersumbat. Untuk mententeramkan hatiku tidak putus-putus aku berselawat.

Namaku dipanggil dan dijemput masuk ke bilik doktor oleh seorang misi. Menunggu aku di dalam ialah seorang lelaki Melayu yang memperkenalkan diri sebagai Abdullah (bukan nama sebenar) yang lengkap berpakaian seperti doktor. Begitu juga dengan peralatan biliknya yang tidak ada bezanya dengan bilik seorang doktor. Setelah bertanya dengan ringkas berkenaan penyakitku dia meminta menunggu di bilik sebelah, iaitu bilik pembedahan.
"Sila tanggal baju dan meniarap atas katil. Doktor nak sembahyang sekejap."
Seorang misi berkata dengan santun.
Oleh kerana suasana yang sunyi, aku terdengar suara doktor itu seperti berbual ringkas dengan seseorang sebelum dia muncul di bilik pembedahan.

Oleh kerana aku dalam posisi meniarap, penglihatanku agak terhad untuk menyaksikan apa yang sedang berlaku. Aku melihat misi itu membawa beberapa alat menyerupai mangkuk-mangkuk kecil. Jantungku mula berdegup kencang apabila rambut dibahagian belakang kepalaku dan bulu roma di belakangku dicukur. Tetapi aku tidak membantah. Dalam keadaan begitu aku berserah diri kepada Allah. Tiba-tiba aku terasa hirisan tajam yang panjang di belakang kepalaku dan diikuti dengan beberapa hirisan yang lebih panjang lagi di belakang tubuhku. Aku dapat rasakan kulit dan dagingku terbuka semasa hirisan itu dibuat. Adakah aku sedang dikelar seperti isteriku mengelar ikan di dapur? Yang menakjubkan ialah aku tidak berasa sakit atau perit. Kemudian mangkuk-mangkuk kecil yang dibawa oleh misi tadi telah dicantum ke satu peralatan dan telah ditekap di atas luka-lukaku.Lantas terlintas di hatiku tentang proses berbekam.

Lebih kurang dua puluh minit kemudian doktor Abdullah menanggalkan mangkuk-mangkuk kecil tadi yang dipenuhi darahku yang sudah kelihatan membeku ke dalam satu bekas. 
"Ini darah encik." Doktor Abdullah membawa bekas yang berisi penuh dengan darahku yang membeku bagai agar-agar berwarna merah cair kepadaku sambil mekuis-kuisnya dengan sebatang alat di jarinya.
Aku terdiam dan hanya menganggukkan kepalaku hingga tidak terlintas untuk bertanyakan sesuatu kepadanya di dalam suasana sedemikian. Setelah kelaran-kelaran luka ditutup dengan plaster aku diberitahu supaya ke tempat rehat dan mengambil ubat di kaunter.

Di tempat rehat aku dapati perempuan India yang dibedah perutnya tadi berbaring santai di atas katil sambil berbual dengan waris-warisnya.
"Macam mana bedah tadi, ada sakitkah?" Aku bertanya.
"Semua ok, itu tumour sudah kasi buang." Jawabnya tersenyum.
Aku membalas senyumnya sambil mengambil tempat rehat bersama isteriku.

Di rumah aku memberi tumpuan pada cermin almari sambil membelek-belek belakang kepala dan tubuhku. Ada enam kelaran kesemuanya. Setiap kelaran di belakang sejengkal panjangnya dan dikepala pendek sedikit. Aku  menghela nafas kesyukuran kerana apabila aku menekan kelaran di kepalaku aku tidak berasa apa-apa kesakitan. Kerisauan aku berakhir kerana kepala ialah bahagian yang sensitif. Keesokannya aku membuang semua plaster itu dan Alhamdulillah, kelaran-kelaran itu telah kering dan sembuh dengan cepat sekali. Bahkan ia tidak meniggalkan sebarang parut seperti terbukti sekarang ini.

Dari pengalaman ini aku ingin berprasangka baik degan mengingatkan diri bahawa perkara berlaku dengan izin Allah Ta'ala jua. Mungkin ada pendapat yang negatif terhadap rawatan serupa ini. Namun aku berpendapat ini serupa dengan rawatan bekam yang merupakan satu rawatan sunah Nabi s.a.w. Aku juga telah disahkan mempunyai kandungan kolestrol yang tinggi dalam darahku. Dengan menjalani kaedah ini aku harap ia dapat sedikit sebanyak  menyahkan lelemak kolestrol dalam darahku. Kepada doktor Abdullah aku ucapkan terima kasih yang tidak terhingga dan bersyukur kepada Allah s.w.t dengan takdir ini. 

(Pengalaman ini berlaku sekitar sepuluh tahun yang lalu)

-Tuk Ki               
   
                                         (video hiasan)
                 

Friday, 15 June 2012

PUISI / SAJAK : WAWASAN HIJRAH 1453

( I  21 )   ILHAM ILAHI





PUISI/SAJAK :   

WAWASAN HIJRAH 1453



Di kanvas lukisan maya
ada wajah figura merenung jauh.
Dua puluh tahun mendatang 
masa yang melingkari bumi
masa yang mendakapi diri.
Bisa melemaskan dalam kepantasannya.
Telah diturunkan dalam sumpah agungNya.
Demi masa...

Apakah ini yang dihasrati?
Dua puluh tahun dari detik ini.
Masa yang telah kita suburi dengan gejala-gejala.
Disemai dengan bangga hati
dari dusta halusinasi yang disanjungi,
demi kemaraan ke puncak fisikal semata.
Kita akan mendabik dada dan mengangkat muka
kerana menggenggam senarai berjela.
Kita ada bangunan yang tinggi-tinggi,
               para ilmuan duniawi yang berilmu tinggi,
               angkasawan ke angkasa tertinggi,
               cita-cita yang tiada kuasa boleh henti.
Tidak kurangnya anak-anak liar di disco-disco,
                              sekolah-sekolah ibu muda yang berzina,
                              penjenayah menerjah bak kala primitif,
                              penjara-penjara tersergam kukuh,
                              pemimpin-pemimpin dayus dan durjana.
Bahkan dihuni futuris yang materialistik.
Si kapitalis siaga mendengus pantas merakus,
sebagai sang kelembai jadian. 
Bisa menyumpah jelata jadi batu-batuan.

Berfatwakan akal bertalikan nafsu.
Dijangka keuntungan berlipat dan berganda
tetapi dituai sebuah keruntuhan nestapa.
Demi masa...
disumpah dengan azabNya.



ATAU

Apakah ini yang mutlak yang diidami?
Masa pilihan yang telah mesyahdukan kesegaran insan
dengan bibit-bibit yang hak
telah lumrah melunaki dan menembusi kelopak-kelopak hati
dengan pesanan dan panduan Yang Maha Agung.
Sudah pasti menjadi kepastian.
Seperti terbukti di zaman kegemilangan.
Serapan Al Quran dan sunah Nabi menjadi kenyataan.
Menyatukan umat dan taulan.
Kerana sifatnya adalah kesejagatan.
Namun ketamadunan di cerna 
dibayangi Agama murni abadi.

Umpamanya dilandas atur cara jentera ekonom dari langit.
Tiada lagi si papa tidak terbela.
Para peniaga meriah dengan pelanggan yang ada daya.
Hasil bumi dan hasil usaha diberkati sentiasa.
Aliran kekayaan dari zakat dan jizyah
ditebar semula kepada jelata.
Ditadbir oleh yang jujur lagi amanah dengan keredhaan,
kerana menggigil ketakutan melihat dosa-dosa.
Kita akan bertawaduk dengan pencapaian demi pencapaian,
apabila model ini dicerapi oleh penghuni dunia.

Jika terpacul suara-suara laksana gesekan biola yang sumbang,
katakan, ya! kami insan idealis yang meinginkan kesempurnaan.
Kerana ianya sebuah fitrah yang juga berkembar dalam dirimu.
Sentiasa mewawas yang murni dan yang indah-indah.
Demi masa...
dijanjikan tidak lain selain syurgaNya.

- Tuk Ki


        


Tuesday, 12 June 2012

HADIS QUDSI (4): IKHLAS KERANA ALLAH VS RIAK

( N  13 ) NUKILAN DARI TAMAN SYURGA

HADIS QUDSI (4)  : IKHLAS KERANA ALLAH TA'ALA

Setiap hamba Allah di atas dunia ini telah disertakan dua malaikat untuk mencatit setiap amal pekerjaan harian yang dilakukan sama ada kebajikan atau kemaksiatan. Dua malaikat itu ialah Raqib dan 'Atid. Di akhirat kelak ada buku catitan kebajikan yang telah dikerjakan diangkat dan dihadapkan kepada Allah s.w.t dan ketahuilah apa yang berlaku di dalam hadis ini.

Hadis qudsi riwayat Bazzar dan Tabrani :

" Kelak pada hari kiamat akan didatangkan beberapa buku yang telah dimeterai lalu dihadapkan kepada Allah s.w.t (pada waktu itu) Allah berfirman, " Buangkanlah semua ini ."
Malaikat berkata, " Demi kekuasan Engkau , kami tidak melihat di dalamnya melainkan yang baik-baik sahaja."
Selanjutnya Allah berfirman, " Sesungguhnya isinya ini dilakukan bukan kerana Ku, dan sesungguhnya Aku tidak akan menerima kecuali apa-apa yang dilaksanakan kerana mencari keredhaanKu."

Di dalam sebuah hadis qudsi yang lain Nabi s.a.w. menyebut bermaksud:

" Allah s.w.t. berfirman, " Barang siapa yang beramal untuk Ku tetapi dalam amalannya mensekutukan Aku dengan selainKu , maka amalan itu adalah untuk dirinya (menjadi tanggung jawabnya sendiri).Aku berlepas diri daripadanya, dan aku tidak memerlukan persekutuan."

Allah s.w.t. akan menolak setiap amalan kebajikan yang dikerjakan jika ia tidak dilakukan dengan ikhlas kerana Allah Ta'ala. Amalan yang pada zahirnya baik tetapi pada hakikatnya tidak, diketahui Allah (Yang Maha Mengetahui) kerana ia dilakukan bukan kerana Allah, tetapi kerana RIAK supaya dipuji, disanjung, dihormati, dikenang jasanya dan dll.

Antara ayat Al Quran berkenaan dengan amalan yang ikhlas ialah:

Surah Az Zumar, ayat 3, maksudnya:

" Ingatlah! (hak yang wajib dipersembahkan) kepada Allah ialah segala ibadat dan bawaan yang suci bersih (dari segala rupa syirik*)."
_*persekutuan.

Surah Az Zumar , ayat 14, maksudnya:

" Katakanlah lagi, "Allah jualah yang aku sembah dengan mengikhlaskan amalan agama ku kepadaNya."  

HUKUM AMALAN BERCAMPUR RIAK.

Imam Al Ghazali (Hujjatul Islam) rahimullah ta'ala  mengemukakan (diringkaskan):

Para ulama sebulat suara menegaskan jika amalan dilakukan oleh kerana riak semata-mata akan mendapat kemurkaan dan seksaan.

Amalan yang dilakukan semata-mata dengan ikhlas kerana Allah akan mendapat pahala.

Dari beberapa hadis dapat disimpulkan bahawa amalan yang bercampur dengan riak akan diukur menurut kadar kekuatan diantara pendorong ikhlasnya dan pendorong riak nafsunya. Jika dorongan riaknya lebih kuat maka akan mendapat mudarat dan seksaan. Jika ia lebih berat kearah untuk mendekatkan diri kepada Allah, ia akan mendapat pahala pada kadar kelebihan kekuatan dorongan keikhlasannya.
Jika dorongan ikhlasnya dan riaknya sama kuat, jadilah amalannya tidak berphala dan tidak berdosa.   

Wallahu A'lam.
'Dari talib kepada mukallaf'

- Tuk Ki



                                                   Video : Syirik kecil

Saturday, 9 June 2012

PANTUN BUAH BUKAN SEBARANG BUAH ( empat kerat )

 ( I  20 ) ILHAM ILAHI

PANTUN BUAH BUKAN SABARANG BUAH ( empat kerat )

Tuah bukan sebarang Tuah.
   Bergadai maruah sumpah ditunaikan.
Buah bukan sebarang buah.
   Berbagai istilah boleh digunakan.

Bahasa baku dengan sebutannya tidaklah payah.
   Walaupun bernas tiada kesungguhan memperaktikkannya.
Bahasa Melayu bahasa yang mudah dan juga indah.
  Pantun berkias hasil tulisan buah pena penulisnya.

Kedai di pasar menjual teh di dalam kole.
   Panjang tariknya menghasil buih enak rasanya.
Ramai yang gemar memakan kuih onde-onde.
   Orang Melaka memanggil namanya buah melaka.


Kalah tipis berlumba bot kenangan tak manis.
   Megah lawan membolot semua hadiah pertandingan.
Buah betis otot terdapat pada betis.
   Buah lengan otot berketul di pangkal lengan.

Jahat-jahat si budak degil.
   Kerja dilaksana setelah dijerkah.
Membuat sesuatu mengharapkan hasil.
   Bukannya kerja yang tidak memberi buah.

Buatlah dengan cekap kerja yang halus.
   Pokoknya berlatih jangan acuh tak acuh.
Buah cakap pensyarah yang bagus.
   Pokok percakapan jangan tersasar jauh.

Sendi tergeliat adalah akibatnya.
   Tersalah langkah membuat pukulan.
Seni silat dengan tekniknya.
   Buah silat mematahkan serangan.



Meredah banjir membeli pulut.
   Pulut dikukus di dalam loyang.
Buah bibir dan buah mulut.
   Sebut-sebutan dan perbualan orang.

Susah hati termenung mencari.
   Habis terabai kerja-kerja aku.
Si buah hati si jantung hati.
   Gadis terbuai digelar begitu.

Kelat buah tetapi berserat.
   Diragut habis kambing yang sesat.
Ibarat buah yang manis tetapi berulat.
   Mulut yang manis hati berniat jahat.

Badai melanda karam dipukul.
   Tongkang yang tegap dihancur lodoh.
Bagai buah keras di dalam sekul.*
   Orang yang bercakap tergopoh-gopoh.

(* bekas air diperbuat dari tempurung.)


Apabila kuah sudah dimasak, jangan teragak silalah ambil.
   Apabila sahabat bermegah-megah, kita tegur dengan santun.
Di mana buah masak, di situ burung banyak tampil.
   Tatkala kita mewah, ramailah kawan yang berkerumun.

Kebab dijual daging intinya.
   Boleh dimakan dengan beberapa helai sayur.
Sebab buah dikenal pohonnya.
   Boleh tahu asalnya dari perangai dan cara seorang bertutur.

Minyak sapi dicurah perlahan kedalam kawah.
   Ada minyak dari Singapura tak halal depa kata.
Banyak lagi buah bermacam-macam buah.
   Antaranya pada tubuh kita, tak sesuai saya nak kata.

- Tuk Ki



  

Saturday, 2 June 2012

PANTUN: NAKAL-NAKAL SI BUD.. (Bah.2) / HADIS: HUKUM BUNUH PADA SIAPA?

 (  I  19  )   ILHAM ILAHI



PANTUN : NAKAL-NAKAL SI BUDAK SEKOLAH masa lalu ( Bah. 2 )- 4 kerat.


Perigi buta tebingnya rebak airnya kontang.
   Orang berjalan diberi amaran agar berhati-hati.
Dengkinya aku pada budak-budak sekarang.
      Barang permainan senang dibeli tak reti buat sendiri.

Lebah kalau menyerang jangan tunggu Yop!
   Badan abang nanti berbulu dipulun lebah.
Pelepah pisang dibuat senapang ada bunyi pop! pop!
   Papan ditukang jadi senapang pelurunya ceri sejenis buah.

Kain khaki dijahit benang dalam sekoci.
   Terkentut tak sedar kawan-kawan menghidu bau.
Bermain hoki dengan kayu buat sendiri.
   Perut lapar balik sekejap makan nasi belakang pintu.

Siapa berborak bukan meneliti akan kena taji.
   Kecut perut pada cik gu Ravi tapi tidak pada yang lain.
Bapa nampak, kena tengking " Main hoki makan nasi?"
   Terkejut beruk, tinggalkan nasi sambung bermain.

Belacan Melaka paling dikehendakki penjual nasi.
   Untuk ditumbuk dijadikan sambal ulamnya sayur.
Bulan puasa paling dinanti oleh kami.
   Mengetuk beduk di awal pagi kejut penduduk bangun bersahur.

Tali ditarik di tengkuk beruk memetik kelapa.
   Kelapa gugur cuba mengelaknya, kain terlondeh.
Dimarahi pak cik mengetuk beduk belum masanya.
   Rasa duka ke dapur masjid cari baki makanan moreh.

Miang-miang buluh miang lagi si tua keladi.
   Bisa-bisa sembilang bisa lagi manusia punya mulut.
Sembahyang tarawih saf bebudak di belakang sekali.
   Bahaya ketika sujud ada tukang cucuk buntut.

Lain diberi lain pula yang diterima.
   Ajak kamu berdebat kamu pula ajak bertinju.
Bermain meriam paip besi menyambut Raya. 
    Si katak puru disumbat kejam jadikan peluru.

Hati-hati memandu kereta di Jalan Damai.
   Geleng kepala banyak sangat tahi lembu nak dielak.
Suatu hari bermain bola beramai-ramai.
   Samseng kampong membawa parang lalu bola ditetak-tetak.

Mari-mari beli ubat jadi kuat.
   Dimampat, digoreng, dipicit-picit tak puas hati boleh dipulang.
Geli hati melihat gelagat si budak jahat.
   Sempat sekodeng, gadis menjerit, lari terkengkang lintang pukang.




Ayam dilaga penonton riang taruhannya banyak.
   Dipasang taji di kais kaki kalau kena terlentuk kaku.
Malam minggu kami balik dari menonton wayang pacak.
   Seorang lari, semua mengikut bila lalu bawah pokok berhantu.

Buah berembang di bawa balik dari bagan.
   Rasanya masam ditambah pula rasa kelat.
Sebelah petang bawa adik mengaji Quran.
   Seksanya naik bas tersangkut kaki kerana memakai kain pelekat.

Bawa sebiji dari Beijing sejenis buah.
   Buah yang kering jika tiada yang dalam tin.
Ada yang mengaji ada yang bising dalam kelas Madrasah.
   Terompah dibaling nasib baik 'miss', akibat ustaz naik angin.

Mumtaz Jaafar pelumba lari olahraga.
   Saya pula dalam acara ... segan nak kata.
Ustaz ke rumah mengajar mengaji kakak-kakak semua.
   Ada yang kehairanan kerana itu satu amalan belum biasa.

- Tuk Ki       



___________________________________________________________


(  N  12  )   NUKILAN DARI TAMAN SYURGA

HADIS : HUKUM BUNUH PADA SIAPA ?

Terjemahan sebuah Hadis mathumnya : Daripada Ibnu Masud R.A katanya, bersabda Rasulullah S.A.W , "Tidak halal darah seorang Muslim yang telah mengucap bahawa tiada Tuhan yang layak disembah melainkan Allah dan sesungguhnya aku ini pesuruh Allah kecuali tiga golongan. 1. Janda*yang berzina 2. Membunuh diri dengan diri 3. Meninggalkan agamanya iaitu meninggalkan jamaah orang Islam."

Intipati Hadis

1. Haram membunuh orang Islam tanpa hak. Malah Allah melaknat , murka dan mengenakan azab amat pedih terhadap si pembunuh. Perbuatan ini termasuk dalam golongan dosa besar.     

2. Seorang yang membunuh seorang yang lain , seolah-olah ia membunuh  manusia seluruhnya.

3. Seorang Muslim hanya boleh dihukum bunuh disebabkan tiga perkara iaitu : 

- * Penzina (janda) lelaki atau perempuan yang telah berkahwin dengan nikah yang sahih , yang mana hukumannya adalah direjam sampai mati.

- Membunuh dengan sengaja , lelaki atau perempuan kecuali (boleh dijatuhkan hukum Takzir) bapa yang membunuh anak , Muslim membunuh orang kafir dan orang yang merdeka membunuh hamba.  

- Murtad melainkan ia bertaubat.

4. Hukuman terhadap pembunuh ialah untuk menjaga JIWA , penzina ialah untuk menjaga NASAB dan yang murtad ialah untuk menjaga AGAMA.

5. Seorang yang mengucap syahadah adalah seorang Muslim dan DARAH, HARTA dan KEHORMATAN diri mereka adalah terpelihara.

6. Penzina yang teruna atau gadis hukumannya adalah disebat seratus kali dan dibuang daerah selama setahun (berdasarkan hadis).

7. Ayat Al Quran mengenai Qisas boleh dirujuk di dalam ayat 178 , 179 surah Al Baqarah.

8. Orang yang murtad , ya'ni yang berpisah dari golongan Islam ada terkandung dalam ayat 217 surah Al Baqarah.

9. Untuk menyelamatkan Kulliat Yang Lima atau al Daruriyyat al Khams ( AGAMA, AKAL, KETURUNAN, MARUAH dan HARTA) , undang-undang Islam perlu digubal dan didaulatkan di atas muka bumi ini.

10. Sebagai seorang Islam , jangan sesekali memperkecil dan memperlekehkan undang-undang Islam (HUDUD, QISAS, TAKZIR) kerana perbuatan tersebut menyebabkan seseorang itu menjadi murtad. NA'UZU BILLAH.  

Wallahu A'lam.

- Tuk Ki
(dari talib untuk mukallaf)

Sumber : Kuliah berdasarkan kitab Himpunan Hadis 40 Imam Nawawi.

NOTA : Sila rujuk pos-pos terdahulu mengenai bab Jenayah Islam (ringkas) : Hudud, qisas, takzir, diat, sumpah, tinggalkan solat dll.
SILA KLIK DI SINI




                                      Pelaksanaan hukum Islam di Acheh.