MUQADDIMAH- serangkai cetusan hati

MUQADDIMAH - serangkai cetusan hati
(I1) NAH!

Nah! rupa-rupanya segala rintih-rintihku Engkau sahuti
Sebelumnya...
rintihan sepontan terpantul
berulang kali.
Keluhan kesal terhembus
berulang kali.
Telahku lenyapkan ruang untuk mengenaliMu!
Manakan daya untuk mendekatiMu!
Kurniakanlah...kurniakanlah ya Ilahi.


Nah! ianya berlaku.
Idaman terhidang dihamparNya jalan.
Jangan dirintih jangan dikeluh berulang kali.
Syukur Alhamdulillah!
Mereka tidak mengerti penuh simpati
yang bijaksana menabur empati.
Namun aku tetap bersyukur Alhamdulillah!
Aku tenggelam dalam lautan-lautan ilmu dan kebesaranMu.


Nah! umpama titian sirat di dunia nyata.
Engkau pilih antara sehelai rambut dan selebar expressway.
Jangan merintih!
Jangan mengeluh!
Berulang kali lagi.
Kerana destinasi kita...
Qiblat yang tidak terperinya sebuah KEJAYAAN mutlak ...seperti dilaungkan mu'azzin dalam seruan azannya
.

Tuk Ki

* Untuk asimilisasi para insan penghidap angin ahmar (stroke), ahli keluarga dan penjaga mereka dan kepada insan-insan sejagat.

Sunday, 27 October 2013

TAUHID ( BAH, 9 ): 2. SIFAT QIDAM ( SEDIA)

22 ZULHIJJAH 1434 H

( N  55 ) NUKILAN DARI TAMAN SYURGA

ILMU TAUHID (BAH. 9) :  

2. SIFAT QIDAM (SEDIA)

HUkum syarak (undang-undang agama) mewajibkan setiap mukallaf  (akil baligh) beriktikad bahawa Allah Ta'ala itu benar dan sungguh-sungguh telah sedia ada dan tidak sama sekali (mustahil) Allah Ta'ala itu bersifat khuduth iaitu baru (yang ada permulaan kejadian). Bahkan 'permulaan' itu sendiri ialah ciptaanNYA!

Wajib pada syarak untuk mengetahui dan mengaku (bukan seperti mengetahui tetapi tidak mengaku, atau seperti mengaku tetapi tidak mengetahui) bahawa Tuhan telah tetap sedia ada sebelum daripada adanya makhluk dan alam ini (alam bermaksud selain daripada Allah Ta'ala).

Firman Allah, bermaksud:

"DIAlah (Allah Ta'ala) yang awal*..." 
* Awal bermaksud yang telah ada sebelum segala sesuatu ada.
(Surah Al-Hadid: ayat 3).

Pengakuan di dalam hati seperti di atas dinamakan wajib pada akal dan penafian didalam hati bahawa Allah Ta'ala BUKAN bersifat baru itu dinamakan mustahil pada akal.

Sifat qidam/sedia Allah Ta'ala itu ialah sedia yang zati iaitu wujud Allah Ta'ala yang tiada permulaan. Yakni, adanya Allah Ta'ala itu TIDAK didahului dengan tiada (ketiadaan Allah Ta'ala).

Berlawanan dengan sedia yang zamani iaitu sedia yang berjangka masa serta didahului dengan ketiadaan. 

Sebagai dalil, jika Tuhan itu bersifat baru, sudah tentu ada yang membarukan dan menjadikan DIA, dan yang membarukan/mejadikan Tuhan itu mestilah bersifat baru juga.
Kedua-duanya sudah tentu sama-sama berhajat/berkehendak/bergantung kepada yang menjadikan. Keadaan seperti ini adalah mustahil kerana berlaku daur , yakni, berkelilingan atau bergilir-gilir buat. Contoh, si Zaid menjadikan si Amru dan si Amru menjadikan si Zaid.

Boleh juga berlaku tasasul, yakni, berhubungan yang tidak berkesudahan. Contoh. Zaid menjadikan Amru, Amru menjadikan Bakar, Bakar menjadikan Khalid dan begitulah seterusnya tiada berkesudahan.

Kedua-dua keadaan adalah mustahil dan apabila ternyata qidam/sedianya Allah Ta'ala, maka sekali gus mustahillah Allah Ta'ala itu bersifat baru.


Wallahu a'lam.

Nota: bergurulah dan dengan berkitab untuk penjelasan terperinci.
Sumber: Kuliah berdasarkan kitab-kitab Faridatul Faraid dan Al-Misbah Al-Munir.

-Tuk Ki Jemaah
(Daripada talib kepada mukallaf) 

# # Sila klik sifat 1.Wujud





  

Thursday, 24 October 2013

SABAR DALAM 5 KEADAAN

 19 ZULHIJJAH 1434 H

( N  54 )   NUKILAN DARI TAMAN SYURGA

SABAR DALAM 5 KEADAAN 





Imam al-Ghazali r.t. menyatakan "Sabar ialah tetap tegaknya dorongan agama berhadapan dengan dorongan hawa nafsu. Dorongan agama ialah hidayah Allah kepada manusia untuk mengenaliNya dan RasulNya serta mengetahui dan mengamalkan ajaranNya dan kemaslahatan-kemaslahatan yang berkaitan dengan akibat-akibatnya. Sabar iaitu sifat yang membezakan manusia dan haiwan dalam menundukkan hawa nafsu. Sedangkan dorongan hawa nafsu ialah tuntutan syahwat dan keinginan yang meminta agar ia dilaksanakan." 

Untuk mencapai kekuatan bersabar yang dituntut oleh syarak itu, seorang Muslim memerlukan ilmu dan dan latihan amalan dalam kehidupannya. Dengan membiasakan diri dengan amalan soleh; usaha dan ikhtiar mencari jalan keluar dari masaalah, dan redha terhadap apa yang berlaku . Apabila sabar itu tidak diiringi dengan keluhan dan rintihan maka sabar sedemikian adalah sabar yang sempurna. 

5 SIKAP SABAR DALAM FALSAFAH ISLAM

1. SABAR dalam beribadat, dengan taat dan tekun melaksanakan ibadat mengikut syarat-syarat dan tata-tertib ibadat. Sentiasa memperbaiki dan menambah dari segi kualiti dan kuantiti, dan beristiqamah (yakin dan berterusan).

2. SABAR apabila ditimpa musibah dengan hati yang teguh, keredhaan, muhasabah diri berlandaskan keimanan. Tidak mengeluh dan resah.Umpamanya, jatuh miskin, menderita sakit, kematian mengejut, dll.

3. SABAR dengan tipu daya, kemewahan dan kenikmatan dunia dengan tidak menjadikan kehidupan dunia sebagai matlamat, tetapi hanya sebagai alat untuk memperlengkapkan diri di akhirat yang kekal. Umpamanya, menahan diri daripada hidup bermewah-mewah ketika kaya, bersifat merasa puas dengan kehidupan.  

4. SABAR tidak melakukan maksiat (dosa) dan dalam waktu yang sama mengajak orang lain melakukan kebaikan dan mencegah perbuatan yang buruk (mungkar). Umpamanya, sabar menahan diri daripada nafsu seksual (zina), tamak, kemarahan, zalim, dll.  

5. SABAR dalam perjuangan kerana Allah. Sabar ketika kalah dan ketika menang. Sentiasa istiqamah dalam apa jua suasana.

Beberapa ayat mengenai sabar, terjemahannya:- 

"...Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar: (iaitu) orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan*, mereka berkata: "Sesungguhnya kami kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali," Mereka itu ialah orang-orang yang dilimpahi dengan berbagai-bagai kebaikan dari Tuhan mereka serta rahmatNya; dan mereka itulah orang-orang yang dapat petunjuk hidayahNya."    
- Surah Al-Baqarah: 155~157. 

  * Ucapan "Innalilah wa inna ilaihi raji'un"  bukan khusus bagi kematian sahaja.

"Wahai orang-orang yang beriman! Bersabarlah kamu (menghadapi segala kesukaran dalam mengerjakan perkara-perkara yang berkebajikan), dan kuatkanlah kesabaran kamu (lebih daripada kesabaran musuh, di medan perjuangan), dan bersedialah (dengan kekuatan di perbatasan) serta bertakwalah kamu kepada Allah supaya kamu berjaya."

- Surah Al-Imran: 200

"Dan demi sesungguhnya! kami tetap menguji kamu agar Kami mengetahui orang-orang yang berjuang dan orang-orang yang sabar (dalam menjalankan perintah Kami); dan (sehingga) Kami dapat mengesahkan (benar atau tidaknya) berita-berita tentang keadaan kamu."

- Surah Muhammad: 31   


Wallahu a'lam.

Sumber: kuliah-kuliah.


- Tuk Ki
(Daripada talib kepada mukallaf)


       

Tuesday, 8 October 2013

TAUHID (8): SESAT: MUKTAZILAH, JABARIAH, QADARIAH

3 ZULHIJJAH 1434 H

( N  53 ) NUKILAN DARI TAMAN SYURGA 

ILMU TAUHID/AQIDAH BAH. (8):

SESAT : MUKTAZILAH, JABARIAH, QADARIAH. 



K
enalilah antara aqidah-aqidah yang batil ( yang bertentangan dengan iktiqad/kepercayaan ahli sunnah wal jamaah) yang telah wujud semenjak zaman tabiin lagi.

IKTIQAD DAN CIRI-CIRI 

MAZHAB MUKTAZILAH.

1. Orang Islam yang melakukan dosa besar tidak dikira sebagai seorang mukmin dan tidak pula menjadi kafir. Sekiranya mereka tidak bertaubat, mereka akan kekal di dalam neraka tetapi tahap keseksaan adalah tdak seberat orang kafir. 

2. Banyak menggunakan fikiran yang dicampurkan dengan falsafah Yunani.

3. Mereka berpegang bahawa al-Quran itu baru sahaja diciptakan. Dalam mentafsir Quran dan hadis, terlalu banyak menggunakan akal fikiran.

4. Fahamannya banyak sama dengan fahaman agama Kristian. Umpamanya, keyakinan mereka bahawa Quran itu ialah ciptaan manusia.

 MAZHAB JABBARIAH.

1. Menafikan langsung usaha dan ikhtiar seorang hamba Allah. Mereka beriktikad bahawa hamba tidak perlu mengerjakan kebajikan untuk mengharapkan pahala, dan meninggalkan kejahatan kerana dosa.

2. Tidak mahu menggunakan akal fikiran kerana menganggap semua ikhtiar hamba itu sia-sia belaka.

3. Menyerahkan segala nasib mereka kepada Allah semata-mata, tanpa berikhtiar untuk mendapatkan kebahagian dan menolak kecelakaan.

4. Tidak mahu berfikir tentang apa yang berlaku di dalam dunia ini.

MAZHAB QADARIAH.


1. Beriktikad bahawa seorang hamba berkuasa penuh menjayakan segala urusan dan pekerjaan mereka tanpa disertai oleh qudrat Allah Taala.

2. Beriktikad bahawa segala perbuatan manusia yang dikerjakan dengan sengaja adalah terjadi atas daya upaya manusia itu sendiri yang diciptakan oleh qudrat yang dijadikan Allah untuk manusia.

3. Kesan-kesan ikhtiar dan usaha hamba itu akan terhasil tanpa berhajat kepada kekuasan Allah Taala. Qudrat dan iradat Allah dan tindakan hamba tiada hubung kait.

4. Kebahagian dan kecelakaan akan wujud hasil daripada kekuasaan yang tersedia pada diri hamba itu sendiri, bukan dari kekuasaan Allah Taala.

5. Allah dan makhluknya tidak ada pertalian dalam memperbuat sesuatu benda yang ada di dalam dunia ini.

6. Beriktikad berlakunya kekufuran dan penderhakaan seorang hamba, bukanlah dengan takdir Allah, tetapi adalah kesan-kesan perbuatan hamba itu sendiri. Mereka menafikan qadha' dan qadar Allah terhadap hambaNya.

7. Percaya bahawa Allah Taala tidak mengetahui sesuatu perkara yang akan terjadi sebelum perkara itu berlaku. Mereka beriktikad Allah Taala mengetahui suatu perkara itu berlaku pada masa permulaan perkara itu berlaku.

Banyak lagi kesesatan dan penyelewengan aqidah yang berlaku di masakini. Oleh itu sangatlah mustahak kita memahami ilmu aqidah/tauhid supaya tidak terjebak secara halus dan secara tidak sedar. Na'uzubillah min zalik.

Wallahu a'lam.

(Sumber: kuliah berdasarkan kitab 'Aqidah Ahli Sunnah waljamaah' tulisan Hj Said Hj Ibrahim, bekas Mufti Sabah).

- Tuk Ki
(Daripada talib kepada mukallaf)