( N 45 ) NUKILAN DARI TAMAN SYURGA.
ILMU TAUHID (BAH. 6)
1. SIFAT WUJUD (ADA).
ALLAH berfirman, maksudnya:
"Maka hendaklah kamu mengetahui dan mengaku bahawasanya tidak ada Tuhan melainkan Allah" - surah Muhammad, ayat 19.
Oleh itu wajib pada syarak setiap mukallaf mengetahui serta mengaku di dalam hati bahawa Allah Ta'ala benar-benar wujud yang tidak terbayang pada akal tetapi tidak ternafi wujudNYA.
Sifat wujud itu ertinya ada, dan mustahil (lawannya) bersifat 'adam ertinya tiada.
Maka pengakuan didalam hati bahawasanya, Allah Ta'ala itu tentu ada sungguh (pasti), itu dinamakan wajib pada akal. Sebaliknya pengakuan tentu tidak ada Allah itulah dinamakan mustahil pada akal. Ulama menyebut wujud ertinya ada, mustahil (lawannya) tiada hingga ke akhir.
Wujud yang dimaksudkan ialah:
# Wujud yang zati, iaitu wujud yang tiada pihak lain dapat memberi bekas (kesan) tentang ada Allah Ta'ala; dan wujudNYA yang tiada menerima 'adam (tiada), pada masakini dan pada bila-bila masa pun.
# Ia suatu sifat tsubutiah yang menunjukkan diri zat itu bersifat dengannya, bukan bermakna sifat itu lebih dari zat.
DALIL WUJUD ALLAH.
Dalil-dalil atau tanda-tanda Allah Ta'ala itu benar ada dan mustahil tiada, ialah dengan kita memikirkan dan perhatikan kepada sekelian makhluk di dalam alam ini, bahkan alam ini sendiri kerana:
# Kerana makhluk adalah bersifat baru. Tiap-tiap yang baru (diadakan baru), tentulah didahului dari keadaan yang tiada. Yakni, ada selepas tiada. Setiap yang baru itu, pasti ada yang membarukannya.
# Makhluk adalah mumkin (mungkin) , iaitu yang patut ada dan yang patut tiada. Setiap yang mumkin itu sudah pasti ada yang mengadakannya.
Firman Allah S.W.T , terjemahannya:
"Allahlah yang menciptakan langit dan bumi dan apa-apa yang ada diantara keduanya..." - surah Al-Sajadah, ayat 4.
Dengan firman itu nyatalah bahawasanya Allah Ta'ala memaktubkan kewujudanNYA dan penciptaan makhluk di dalam Al-Quran.
Wallahua'lam.
(Sumber dari kuliah, kitab Faridatul Faraid dan Misbah al-Munir)

(Daripada talib kepada mukallaf)