MUQADDIMAH- serangkai cetusan hati

MUQADDIMAH - serangkai cetusan hati
(I1) NAH!

Nah! rupa-rupanya segala rintih-rintihku Engkau sahuti
Sebelumnya...
rintihan sepontan terpantul
berulang kali.
Keluhan kesal terhembus
berulang kali.
Telahku lenyapkan ruang untuk mengenaliMu!
Manakan daya untuk mendekatiMu!
Kurniakanlah...kurniakanlah ya Ilahi.


Nah! ianya berlaku.
Idaman terhidang dihamparNya jalan.
Jangan dirintih jangan dikeluh berulang kali.
Syukur Alhamdulillah!
Mereka tidak mengerti penuh simpati
yang bijaksana menabur empati.
Namun aku tetap bersyukur Alhamdulillah!
Aku tenggelam dalam lautan-lautan ilmu dan kebesaranMu.


Nah! umpama titian sirat di dunia nyata.
Engkau pilih antara sehelai rambut dan selebar expressway.
Jangan merintih!
Jangan mengeluh!
Berulang kali lagi.
Kerana destinasi kita...
Qiblat yang tidak terperinya sebuah KEJAYAAN mutlak ...seperti dilaungkan mu'azzin dalam seruan azannya
.

Tuk Ki

* Untuk asimilisasi para insan penghidap angin ahmar (stroke), ahli keluarga dan penjaga mereka dan kepada insan-insan sejagat.

Saturday, 28 January 2012

PANTUN (Makan hati berulam jantung) MAKAN-MAKAN -Bah. 3 (akhir)

( I10) ILHAM ILAHI

PANTUN MAKAN-MAKAN - Bah. 3 (akhir)



Tiada hal siapa sahaja boleh pinjam. 
   Ceti makan darah dia tak sesal.
Kerja yang halal, kerja yang haram.
   Cari makan pilihlah yang halal.

Wajah bomoh langsung tak makan tua.
   Cari ubat sikit tak kepenatan.
Sudahlah bodoh, alamak ... sombong pula.
   Bagi nasihat sikit tak makan.

Masakkan kari pekat bersantan.
   Dimakan api ranap rumahnya.
Amalan tradisi dilaknat Tuhan.
   Makan duit, makan suap di mana-mana.

Kad debit elak hutang besar.
   Jaga ketat perbelajaan bijak.
Kad kredit tidak terbayar.
   Kereta pula kuat makan minyak.

Makan sedap selera tak tertahan.
   Jika bersin, kata Alhamdulilah jangan malu.
Makan beradap menceriakan perkahwinan.
   Makan angin sambil berbulan madu.

Apabila hati berkata cinta.
   Walau segan beranikan diri.
Pada lelaki wanita berwaspada.
   Kalau termakan budi jangan digadai body.

Makan angkat suka dipuji.
   Makan benak untung yang besar.
Makan bunga kerja Along dan Ceti.
   Makan riba bank/syarikat yang besar.

Tahun baru Cina ada makan besar.
   Makan gaji bukan makan kawan sendiri.
Sekali pun boleh makan cekak, tetapi aku beredar.
   Bukan mudah, dia makan dalam, berpengalaman penuh isi. 


Bukan hari-hari makan ditanggung.
   Tiga hari selebihnya sendiri-sendiri.
Makan hati berulam jantung.
   Ditinggal kekasih carilah pengganti.

Garam dimakan dengan nasi.
   Makan kerawat tersangat miskin.
Tempat makan jangan diberaki.
   Balaskan kebaikan sahabat dijalin.

Negara Russia di utara bumi.
   Berjalan terus ke barat Granada.
      Pantasnya dunia dengan peradaban.
Indahnya bahasa dikurnia Ilahi.
   Jangan dilupus bakat dan usaha.
      Galas di bahumu supaya tidak dimakan zaman.

- Tuk Ki
      





Friday, 27 January 2012

IMAM AL GHAZALI: SOLAT BERLUMURAN DARAH

(N 9)  NUKILAN DARI TAMAN SYURGA

IMAM AL GHAZALI AL THAUSI ( RODHIALLAHU ANH -do'a) atau nama sebenarnya Abu Hamid Muhammad bin Muhammad bin Muhammad ialah ulama tersohor yang bermartabat tinggi di sisi Allah. Beliau begitu mahir dalam feqah dan tasauf hingga dapat membawa manusia menuju ke hadhrat Allah SWT dan telah meninggalkan pedoman kepada umat dengan kitab-kitab karangan beliau, antaranya, ialah 'Ihya' Ulumuddin' dan 'Minhajul 'Abidin'.

Imam Al Ghazali juga telah dinobatkan oleh ulama-ulama dengan gelaran 'Hujjatul Islam' kerana telah mematahkan hujjah-hujjah ketua ulama Muktazilah (antara iktiqad mereka ialah bahawa setiap kerja manusia itu tiada kena mengena dengan Allah Taala). Beliau juga telah menepis segala falasafah Greek dan Yunani dari mencemari ajaran dan aqidah Islam. Antara falasafahnya ialah alam ini tercipta bersama penciptanya.


Dinukilkan disini salah satu daripada kisah-kisah hidup beliau sebelum beliau mengarang kitab yang paling ramai umat membacanya iaitu 'Ihya Ulumuddin' dan juga 'Minhajjul 'Abidin' (kitab Tasauf).

SOLAT BERLUMURAN DARAH

Pada suatu hari Imam Al Ghazali telah pulang ke kampong halaman setelah lama di perantauan kerana tugas-tugas sebagai imam tersohor yang sangat arif dalam bidang fekah, untuk bersama-sama keluarga tercinta.
Tiba waktu solat, beliau dan adik lelakinya bersedia mengerjakan solat berjamaah. Menghormati abangnya, adiknya telah memberi laluan kepada Al Ghazali mengimami solat itu. Sekitar sebahagian solat sedang dikerjakan, tiba-tiba adiknya telah 'mufarakah' (keluar dari menjadi makmum) dan telah menghabiskan solatnya secara sendirian hingga selesai dan terus berlalu dari situ.

Selepas solatnya, Imam Al Ghazali tertanya-tanya pada diri sendiri tentang kejadian itu dan sangat berkeinginan untuk tahu sebab-sebab adiknya 'mufarakah' kerana ia pasti solatnya tiada cacat cela. Lalu disusuli adiknya dan apabila bertemu lalu ia bertanya, " kenapa adinda mufarakah dari solat tadi. Aku pasti aku tidak membuat apa-apa kesalahan di dalam solatku."
"Semasa solat tadi aku terlihat kepala mu berlumuran dengan darah. Itulah sebabnya aku terus mufarakah dan solat sendirian." Jawab adiknya penuh hormat.
Mendengar penjelasan adiknya, Imam Al Ghazali tergamam dan termenung kehairanan sejenak sambil memikirkan apa yang berlaku. Namun kecerdasan akalnya dan keistimewaan naluri hatinya yang dikurnia Allah Ta'ala kepadanya beliau dapat menangkap apa yang berlaku. Beliau tidak menyangka adiknya mempunyai ilmu yang beliau sendiri  belum pelajari. 
"Sebenarnya ketika aku solat tadi aku ada terfikir tentang masaalah darah haid dan adinda boleh melihatnya?" Imam Al Ghazali mengaku dan meluahkan rasa peliknya kepada adiknya. Oleh kerana kagum dengan kelebihan adiknya lalu beliau bertanya, "Di manakah adinda berguru kerana aku ingin turut belajar."
" Aku berguru dengan seorang tua yang tinggal di hujung kampong ini." Adiknya menjawab gembira kerana melihat abangnya yang masih ingin belajar walau pun berkedudukan imam yang terkenal.
Lantas Al Ghazali pergi mencari guru di hujung kampong.

Sampai di satu kawasan hujung kampong itu ia bertemu seorang penduduk kampong dan bertanyakan arah rumah tok guru itu. 
"Ikutlah saya, saya boleh bawakan tuan ke sana." Orang itu mempelawa.
Apabila sampai di sebuah pondok orang itu berkata ," sayalah orang yang tuan cari."
Imam Al Ghazali tersentak kerana tidak menyangka orang itu ialah guru yang dicarinya sedangkan ia tidak langsung berketerampilan seorang guru yang mempunyai ilmu yang tinggi.
Tiba-tiba guru itu berkata, "Tuan pernah berjumpa saya di bandar dahulu."
Imam Al Ghazali sekali lagi tersentak dan baru ia teringat kepada orang tua inilah ia pernah menghulurkan kakinya untuk membersihkan sepatunya sewaktu ia berada di bandar satu ketika dahulu.
Beliau berasa amat malu dan lantas memohon maaf dan menyatakan tujuannya untuk berguru dengan guru itu.
Guru itu memberi jawapan yang mengembirakan imam Al Ghazali. Dengan penuh keghairahan untuk memulakan pembelajaran ia bertanya apakah yang perlu dibuat sebagai seorang murid.
"Tiap-tiap hari engkau cuci tandas di belakang pondokku". Jawab tok guru.
Lantas dipatuhi dengan rela hati oleh Imam Al Ghazali demi cintanya kepada ilmu Allah Ta'ala.

Begitulah imam Al Ghazali mendapat pelajaran bahawa ilmunya masih belum lengkap walaupun ia seorang ulama yang dirujuki oleh ulama lain.
Adalah dipercayai setiap kali beliau membersih tandas gurunya setiap kali juga Allah Taala membersih hati imam Al Ghazali. Di situlah beliau menggilap ilmu Tasauf beliau sehingga mencapai makam yang tinggi di sisi Allah S.W.T dan mengarang kitab 'Ihya Ulumuddin' dan kitab akhirnya, 'Minhajjul 'Abidin' sebagai pedoman dan lorong/jalan untuk kita bertemu Allah  S.W.T.

(Telah saya olah kisah diatas berdasarkan fakta dari kuliah)

Wallahu a'lam.

-Tuk Ki   











Thursday, 19 January 2012

PANTUN (kawan makan kawan) MAKAN-MAKAN - bah. 2

(I 10) ILHAM ILAHI 

PANTUN MAKAN-MAKAN - bah. 2

Hassan bergaduh datuk berduka.
   Hiruk pikuk bagaikan berkompang.
Makan gelojoh buruk padahnya.
   Tak elok dipandang silap haribulan tercekik tulang.

Patut disanggah raja yang tidak patuh.
   Syariat yang terjalin dalam agama.
Mulut mengunyah makanan yang penuh.
   Sekali terbersin terhambur semua.

Memecahkan tuba mencemaskan orang.
   Baling kertas sembunyi tangan.
Kurangkan gula doktor berpegang.
   Kencing yang manis semut jadikan habuan.

Siamang menjerit musuhnya kecut.
   Debab perutnya perkasa badannya.
Sememang penyakit puncanya perut.
   Sebab perut badan merana.

Bagai siamang kurang kayu.
   Hati susah bahkan merisaukan.
Makan! melintang patah membujur lalu.
   Selagi mahu makan peluang jangan dilepaskan.

Berulang esok, lusa, tulat dan tonggeng.
   Awal waktu solat disaran.
Berpantanglah makan kerana ia bukanlah dongeng.
   Mengawal nafsu memantapkan iman.


Bertaulan seorang kadang-kadang ramai.
   Teman menangis sukar didapatkan.
Makan seorang kadang-kadang beramai-ramai.
   Alangkah tragis jika kawan makan kawan.

Berbulan madu semadikan ingatan.
   Segar ingatan boleh menghafal.
Jangan memandu memakan jalan.
   Sedar-sedar terlantar di katil hospital.

Pantun yang lalu diiringi lagu.
   Penyeri dan untuk halwa telinga.
Dahulu Jalil Hamid dengan kelakar lagu.
    Kini untuk muda dan tua dari Raihan pula.

*( Kepada yang berminat dengan pantun-pantun khusus berkenaan  'KAWAN / SAHABAT', anda boleh buat carian di dalam blog ini, selamat berpantun!)

-Tuk Ki








   

Thursday, 12 January 2012

SYEIKH AHMAD DEEDAT - SATU INSPIRASI KETIKA SAKIT & SIHAT

(S 6)  DEBUNGA SYIFA'


SYEIKH AHMAD DEEDAT - SATU INSPIRASI KETIKA SAKIT DAN SIHAT

Tuk Ki ingin mengimbas kembali kepada post saya yang lalu bertarikh 24 okt. 2011. Saya telah menceritakan bagaimana seorang ulama' terkenal terlantar di katil oleh serangan strok  dan menggunakan pergerakan matanya untuk berkomunikasi. Saya ingin mengesahkan bahawa ulama' itu ialah almarhum al fadhil Syeikh Ahmad Hussein Deedat al hafidz.

Oleh kerana beliau telah mencetuskan inspirasi, di zaman kontemporari ini, kepada saya yang ditakdirkan diserang strok setahun lebih selepas beliau mengalami kejadian yang sama yang lebih teruk lagi, biarlah saya mencatitkan secara ringkas mengenai ketokohan dan keberanian beliau dalam membela Islam dan kegigihan beliau mengharungi kelumpuhan disebabkan serangan strok semasa hayatnya. 

Dilahirkan           : 1 julai 1918 di Surat, Bombay, British India
Pekerjaan           : Pendakwah, Pembidato, Pendebat, Penulis
Lama aktif          : 1942~1996
Terkenal dengan  : Perbandingan agama
Isteri                 : Hawa Deedat
Anugerah            : King Faisal International Prize 1986
Akhir hayat         : 8 ogos 2005 ketika umur 87 tahun di Verulam,
                           KwaZulu-Natal, Afrika Selatan.

Oleh kerana kemiskinan beliau terpaksa berhenti sekolah dan mula meminati untuk mendalami Islam dengan menghadiri kelas agama dikendalikan oleh seorang Kristian yang telah memeluk Islam dan pada masa yang sama mengajar kitab injil dan bagaimana cara-cara berdakwah kepada orang Kristian. Ahmad Deedat telah mengambil alih mengajar selepas 3 tahun apabila gurunya tidak dapat meneruskan kelas itu.

Matlamat kerja beliau ialah menyediakan fakta-fakta ketuhanan untuk saudara-saudara Islam mempertahankan diri dari aktiviti pengkristianan yang meluas di negaranya, Afrika Selatan, yang sering menuduh Islam berkembang dengan pedang.

Beliau telah menjadi terkenal dengan perdebatan-perdebatan terbuka antara agama dengan pihak Kristian evangelist. Beliau adalah pelopor syarahan melalui video berkenaan Islam, Kristian dan injil.

Ahmad Deedat telah menubuhkan Islamic Propagation Centre International, sebuah organisasi antarabangsa dakwah Islamiah yang turut manyebarkan dengan meluas buku-buku kecil mengenai perbandingan Islam/Kristian.

PENDEBAT MEMBELA ISLAM
Beliau bermula dengan syarahan pertamanya bertajuk "Muhammad - pembawa  keamanan" pada 1942 dihadapan 15 orang di sebuah panggung wayang di Durban. Dari situ nama beliau dikenali kerana kepetahan dan pengetahuan beliau dalam perbandingan agama.

Dalam tahun 80han beliau mula terkenal diluar Afrika Selatan, umpamanya 2 kali berdebat di Royal Albert Hall, London dengan tokoh-tokoh Kristian di hdapan penonton yang full house.
Di antara tokoh-tokoh yang beliau debati ialah:

- Josh McDowell di Durban - seorang pempidato Kristian yang apologis (teliti dan meyakinkan).

-Dr. Anis Shorrosh - seoarang mubaligh Kristian Palestin/Amerika yang pro-zionis di adakan di Royal Albert Hall, London dan di Birmingham yang mengambil masa sehingga 4 jam. Tajuk-tajuk perdebatan:                                                                 1.Is Jesus God ?
2. The Quran or Bible : which is God's word.

-Dr. Floyd E. Clark

-Jimmy Swaggert - televangelist , di Louisiana university pada 1986 di hadapan 8,000 penonton. Swaggert kemudian terlibat dalam skandal seks dan hilang reputasinya.

-Robert Douglas di Arizona dan beberapa pensyarah lain.

-Pastor Stanley Sjoberg di Stockholm, sweden.

-Pastor Eric Bock di Copenhagen
.
-Pada 1984 telah mempelawa Pope John Paul 11 berdailog secara terbuka di Vatican Square tetapi telah ditolak oleh Pope.

-Mendapat jemputan dan mengujungi Nelson Mandela.

Sepanjang hayatnya Ahmad Deedat telah menulis banyak buku-buku dan debat-debat beliau telah divideokan.

Jasa beliau dalam bidang dakwah telah diiktiraf dunia Islam apabila beliau telah dianugerahkan dengan anugerah Raja Faisal pada tahun 1986. Banyak masa beliau digunakan untuk berdakwah dengan berpidato, berdebat, berceramah, menulis dan menggalakkan Islam dikembangkan di kalangan masyarakat Kristian di merata dunia. Antaranya Arab Saudi, Mesir, U.K, Pakistan, Maldives, U.S, Sweden, Denmark, Canada, Australia.   

DISERANG ANGIN AHMAR (STROKE) 1996~2005
Pada 3 Mei 1996, Syeikh Ahmad Deedat diserang strok menyebabkan beliau lumpuh dari leher ke bawah dan tidak boleh bertutur dan menelan. Beliau diterbangkan ke hospital Raja Faisal di Riyadh untuk mendapat rawatan.

Walaupun mengalami kelumpuhan, minda beliau tetap tajam dan telah diajar cara-cara berkomunikasi dengan pergerakan matanya. Melalui carta khas beliau dapat menggubah perkataan dan ayat-ayat melalui huruf-huruf yang dibacakan kepadanya.

Beliau terlantar di katilnya selama 9 tahun, dijaga oleh isterinya dengan penuh dedikasi.Hawa Deedat.Walaupun terlantar Syeikh Ahmad Deedat terus menulis dengan cara berkomunikasi dengan pembantunya melalui isyarat matanya dan menggalakkan kerja-kerja dakwah diteruskan. Beliau dihujani beratus-ratus surat sokongan dari setiap pelusuk dunia dan menerima pelawat-pelawat tempatan dan antarabangsa memberi penghormatan padanya.

Pada 8 ogos 2005 beliau telah kembali ke rahmatullah dan dikebumikan di Verulam, KwaZulu Natal, Afrika Selatan.      

KRITIKAN
Tidak menghairankan terdapat pihak Kristian tertentu dan golongan Islam sendiri yang mencemuh dan memburuk-burukkan beliau sebagai seorang rasis, anti Kristian, anti Yahudi dan anti Hindu.

Al Fatehah ke atas rohnya.

- Dipaparkan beberapa video clip debat dan perihal perjuangannya. 


Allah tidak membebani hambaNya jika hambaNya tidak berupaya memikulnya. Allah maha mengetahui lagi maha adil lagi maha bijaksana. 

Wallahua'lam.


-Tuk Ki 





Saturday, 7 January 2012

MAKLUMAT PENTING UNTUK PENGHIDAP ANGIN AHMAR (STROKE)

Bagi penghidap angin ahmar ( stroke) , ahli keluarga dan penjaga-penjaga mereka sila klik pages/ halaman 'FAKTA SIHAT' dan ikuti video clip penting dan lain-lain maklumat tentang angin ahmar. Moga-moga ianya memberi manafaat.

Tuk Ki 

Monday, 2 January 2012

HALAMAN BARU - FAKTA SIHAT TUK KI / MUQADDIMAH


HALAMAN BARU

Alhamdulillah, Tuk Ki telah membuat halaman-halaman (pages) baru untuk kemudahan pembaca sekelian , iaitu 'SELAMAT DATANG / MUQADDIMAH' dan 'FAKTA SIHAT TUK KI'.

Untuk membacanya sila klik di bawah  'Pages'.

Selamat membaca.

Tuk Ki