( N 74 ) NUKILAN DARI TAMAN SYURGA.
HIJRAH : PERISTIWA NABI S.A.W DAPAT DIBURU OLEH SURAQAH.
Setelah tiga hari Rasulullah s.a.w dan Abu Bakr berlindung di dua Thur, mereka telah bersedia untuk memulakan perjalanan ke Madinah. Asma' binti Abu Bakr telah membawa bekalan perjalanan Baginda. Sementara Abdullah bin Uraiqat, seorang yang berugama Quraisy yang dipercayai telah diupah oleh mereka , telah membawa dua tunggangan. Rasulullah s.a.w dan Abu Bakr telah diiringi oleh Amir bin Fahirah telah melalui
jalan pinggir pantai laut Merah yang jarang-jarang digunakan orang mengikut petunjuk yang diberitahu oleh Abdullah bin Uraiqat.
Waktu itu usaha untuk membunuh Rasulullah s.a.w telah mulai reda. Rondaan dan sekatan jalan telah dihentikan. Tetapi ganjaran yang tinggi telah ditawarkan kepada sesiapa yang dapat menangkap Rasulullah s.a.w. Suraqah bin Malik telah menceritakan:
"Ketika ku sedang duduk didalam satu majlis qabilahku, Banu Mudlij, tiba-tiba seorang lelaki telah datang ke majlis itu. Dia berdiri, sedang kami semua duduk, lalu berkata, "Wahai Suraqah, baru sebentar aku telah melihat lembaga hitam di persisiran pantai, aku dapati mereka ialah Muhammad dan sahabat-sahabatnya."
Kata Suraqah di dalam hatinya, "Aku tahu mereka itu sememangnya Muhammad dan sahabat-sahabatnya."
Oleh kerana Suraqah ingin mengambil peluang menangkap Rasulullah dan membolot ganjarannya, beliau telah menafikan orang itu ialah Muhammad s.a.w tetapi adalah orang lain yang dikenalinya dan mengetahui perjalanan mereka.
Suraqah terus duduk beberapa ketika di dalam majlis itu dan telah keluar tanpa disyakki oleh sesiapa dan menyuruh orang suruhannya mengambil kudanya sambil dia bersiap dengan tombaknya dan menyelinap keluar belakang rumahnya dan terus memacu dan memecut kudanya.
Setelah Suraqah menjejaki dan menghampiri Rasulullah s.a.w dan sahabat-sahabatnya dengan pantasnya, tiba-tiba kedua-dua kaki hadapan kudanya telah terbenam kedalam pasir dan Suraqah telah tercampak dari kudanya.
Setelah bangun berdiri dan hairan dengan apa yang berlaku, dia telah membuat cabutan nasib dengan anak panahnya untuk menentukan samaada untuk teruskan niat membunuh mereka atau tidak. Cabutan nasib itu didapatinya supaya tidak meneruskan niatnya, tetapi dilanggarnya keputusan itu dan terus menunggang semula kudanya dan memecutnya untuk membunuh Rasulullah s.a.w.
Percubaan keduanya benar-benar dia menghampiri Baginda begitu dekat sehingga "...aku dapat mendengar bacaan Rasulullah (s.a.w). Baginda tidak menoleh ke mana-mana tetapi Abu Bakr kerap sangat menoleh ke belakang". Tiba-tiba sekali lagi kedua kaki hadapan kuda Suraqah terbenam ke dalam pasir hingga ke lututnya dan sekali lagi Suraqah tercampak jatuh. Suraqah mengherdik kudanya lalu kudanya berhempas pulas mengeluarkan kakinya dari terbenam di dalam pasir dan akhirnya kudanya berdiri semula.
Dengan tidak semena-mena kelihatan debu bercahaya di langit seperti asap. Melihat kejadian itu sekali lagi Suraqah membuat cabutan nasib dan petunjuk dengan anak panahnya dan sekali lagi mendapat keputusan yang sama dengan keputusan yang terdahulu.
Melihat ini beliau menceritakan, "Kali ini aku menyeru mereka memohon keselamatan dan mereka semua berhenti dan aku memacu kudaku sehingga sampai dihadapan mereka. Kini terlintas di dalam jiwaku dengan apa yang telah terjadi dimana semua tindakanku itu semua terhalang adalah petanda kepada kejayaan urusan Rasulullah s.a.w di masa-masa akan datang."
Suraqah telah menawarkan kepada Rasulullah s.a.w bekalan dan makanan namun hanya mendapat jawapan "Jauhilah dari kami." Suraqah berkata lagi, "Ku meminta Rasulullah s.a.w menuliskan daku watikah keaamanan, lalu Baginada menyuruh Amir bin Fahirah menulisnya atas sebidang kulit. Setelah itu Baginda s.a.w pun meneruskan perjalanan."
Sekembali Suraqah ke Mekah dia tidak memberitahu kejadian itu kepada sesiapa tetapi telah menjadi pelindung Rasulullah s.a.w sambil berkata kepada orang-orang Mekah yang masih mencari Baginda, "Telah pun aku usahakan untuk kamu dan di sini aku yang bertanggung jawab."
Mengikut riwayat Abu Bakr, "Kami keluar berhijrah dalam kaum kafirin mencari-cari kami, namun tidak seorang pun yang dapat memburu kami kecuali Suraqah bin Malik bin Ja'syam sahaja yang menunggang kudanya. Ku menyeru Rasulullah s.a.w yang aku mencurigai pemburuan itu kalau-kalau ia sempat menangkap kami.
Jawab Baginda, "Janganlah berduka sesungguhnya Allah bersama kita." (At-Taubah: 40)
Wallahu a'lam.
(Sumber : kuliah dengan kitab Al-Raheeq Al-Makhtum.)
- Tuk Ki Jemaah
(Daripada talib kepada mukallaf)