( N 36 ) NUKILAN DARI TAMAN SYURGA
ANEKDOT TAKWA (10): SAYA NAK MIMPI JUMPA NABI SAW!
SEOrang murid yang telah teruja untuk bertemu Rasulullah s.a.w di dalam mimpi telah bertanya kepada gurunya,
"Ya tuan syeikh guruku, bagaimanakah caranya aku boleh bermimpikan bertemu Rasulullah saw?"
Guru itu terpegun sejenak sebelum menjawab, "Baiklah, kamu dengar petua ini baik-baik dan lakukannya dengan patuh."
"Saya akan patuh apa sahaja asal dapat mimpikan Nabi s.a.w." Kata murid itu penuh kesungguhan.
"Kamu pergi ambil garam dan malam ini sebelum tidur kamu makan garam itu dan jangan minum air walau sedikit pun dan selepas itu kamu terus masuk tidur. Faham?" Gurunya mengarahkan.
"Faham, terima kasih ya guruku." Jawab murid itu gembira dan terus berlalu dengan perasaan tidak sabar-sabar untuk melakukan petua yang diperolehi dari gurunya.
Malam itu, setelah sampai masa untuk tidur murid itu melakukan petua yang diajarkan oleh gurunya dan masuk untuk tidur. Setelah beberapa ketika masa berlalu dia tidak dapat melelapkan matanya kerana sesuatu mengganggu tekaknya. Dia berasa haus. Masa terus berlalu dan hausnya terus maengganggunya. Ingin rasanya untuk pergi minum air sebanyak-banyaknya tetapi tidak berbuat demikian kerana keinginan untuk mimpikan Nabi s.a.w begitu kuat. Oleh kerana terlampau mengantuknya dia akhirnya tertidur juga. Tidur didalam kedahagaan air.
Keesokan harinya, kedatangan murid itu ke dalam bilik pengajian telah ditunggu oleh gurunya.
"Adakah kamu bermimpi malam tadi?" Tanya gurunya.
"Ada tuan guru." Jawab murid itu.
" Kamu bertemu Rasulullah s.a.w?" Gurunya bertanya.
"Bukan bertemu Rasulullah tetapi saya bertemu dengan sebuah kolah berisi air yang sungguh jernih dan saya meminumnya sepuas hati saya." Kata murid itu.
Guru tersenyum mendengar jawapan anak muridnya yang dilihatnya agak kecewa kerana hajatnya tidak kesampaian. Lalu dia memegang bahu anak muridnya dan berkata, "Sabar wahai muridku. Itu adalah pengajaran sebenarnya. Untuk bertemu Rasulullah s.a.w suasana itulah yang perlu ada dalam diri kamu. Kamu perlu menyintainya sehingga baginda sebati dalam dirimu, hatimu dan jiwamu sebagaimana kamu mengingati air apabila kamu dahagakan air malam tadi. Hasilnya kamu terus bermimpikan air dan dapat meminumnya bukan?"
"Kenalilah baginda lebih dekat dan ikutilah suruhan-suruhannya dan sunah-sunahnya." Guru itu menambah.
Murid itu mengagguk faham apa yang dimaksudkan oleh gurunya itu.
(Nukilan dari kuliah yang telah saya olahkan.)
- Tuk Ki