5 SYA'ABAN 1436 H
(N 89 ) NUKILAN DARI TAMAN SYURGA
ANEKDOT TAKWA (29):
PERISTIWA ISRA' DAN MIKRAJ: AL-QURAN
Pengakuan dan pengumumam Nabi Muhammad s.a.w kepada kaum Quraish di Mekah mengenai perjalanan baginda dari Masjidil Haram, Mekah ke Masjidil al-Aqsa, Baitu Maqdis cuma mengambil masa sebahgian malam sahaja, telah dipersendakan oleh Abu Jahal dan orang-orang Musyrikin. Ada yang menuduh baginda s.a.w sebagai ahli sihir. Ada juga orang yang telah beriman kembali murtad kerana tidak percaya kepada pemberitaan Nabi s.a.w. itu. Tetapi berita itu telah dipercayai dan dibenarkan oleh saidina Abu Bakar (al-Sidek - gelaran yang diberi selepas kejadian itu).
Allah s.w.t telah menurunkankan ayat-ayat berikut di dalam al-Quran mengesahkan peristiwa yang sangat istimewa buat Rasulullah s.a.w. yang masih bersedih dengan kehilangan Khadijah r.a dan pelindungnya Abu Talib, dan signifikan bagi seluruh umat kerana ibadat solat telah diperintahkan sendiri oleh Allah s.w.t kepada Rasulullah s.a.w tanpa melalui Jibril.
Allah Ta'ala berfirman, terjemahannya:
"Maha Suci (Allah), yang telah memperjalankan hambanya (Muhammad) pada malam hari dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa yang telah kami berkahi sekelilingnya* agar Kami perlihatkan kepadanya sebahgian tanda-tanda (kebesaran) Kami. Sesungguhnya Dia Maha Mendengar, Maha Melihat."
- (Surah Al-Isra' : 1)
* Masjidil Aqsa dan daerah sekitarnya mandapat berkah Allah Ta'ala dengan diturunkan nabi-nabi di negeri itu dan diikuti dengan kesuburan tanahnya.
ASBABUN NUZUL AYAT 1.
Umu Hani' menegaskan, bahawa ayat ini diturunkan berkenaan dengan pendustaan Walid bin Mughirah keesokan harinya terhadap peristiwa Isra' dan Mikraj yang terjadi pada Rasulullah, "Muhammad itu tak lain adalah seorang tukang sihir." (HR Abu Ya'la).
Berkenaan peristiwa Mikraj pula Allah Ta'ala berfirman, bermaksud:
"13. Dan sungguh, dia (Muhammad) telah melihatnya (Jibril- dalam rupanya yang asli) pada waktu yang lain,
14. (iaitu) di Sidril Muntaha,**
15. di dekatnya ada syurga tempat tinggal,
16. (Muhammad melihat Jibril) ketika Sidril Muntaha diliputi oleh sesuatu yang meliputinya,
17. penglihatan (Muhammad) tidak menyimpang dari yang dilihatnya itu dan tidak (pula) melampauinya.
18. Sungguh, dia telah melihat sebahgian tanda-tanda (kebesaran) Tuhannya yang paling besar."
- (Surah An-Najm : 13~18)
** SIDRIL MUNTAHA ialah tempat yang paling atas pada langit ke-7, yang telah dikunjungi Nabi s.a.w ketika peristiwa Mikraj (tangga) dari Masjidil Aqsa.
Wallahua'lam.
Sumber: kuliah.
- Tuk Ki Jemaah
(Daripada talib kepada mukallaf)

No comments:
Post a Comment