16 REJAB 1434 H
( I 35 ) ILHAM ILAHI
PUISI/SAJAK
13 MEI DAN SI TUA
Takjub!
Aneh dan pelik.
Di kala melayan hati berarak damai
dihembus sepoi-sepoi bayu yang aman,
tiba-tiba badai melanda dengan tempikan
dari pemakai-pemakai topeng pencinta bangsa,
pemakai-pemakai topeng pahlawan bangsa,
pemakai-pemakai topeng pengagong bangsa.
Lantas dipersembah santapan bara buat massa.
Yang akan mula membakar.
Mendidihkan jiwaraga.
Meruapkan dandang kebencian.
Memancutkan wap ketidakrasionalan.
Mengacah-acah dipinggir tebing gaung kemusnahan
yang memastikan
akan tertulis peristiwa sejarah hitam
dengan titisan dan percikan darah
anak-anak yang dicintai.
Jika tragedi silam diungkit-ungkit
hanya semata bagi mengambus ledakan kejutan
oleh nafsu amarah yang menggila
menyasar bagi menikus jelata,
menghamburkan kabus mengkelam suasana
dengan ketakutan dan ketidakpastian,
dan ditokok dengan ugutan tidak berperikemanusian
bermatlamat kedurjanaan mengembalikan jelata di dalam cengkaman.
Jika tragedi ini diungkit-ungkit,
tanyalah si Tua, perakam data yang terperuk di dalam memorinya!
Lalu si Tua bercerita.
Asap hitam menyelubungi pandangan di mana-mana.
Api menggunung menelan bangunan kayu dan batu.
Bau kematian dan kemusnahan menusuk ngeri.
Mayat-mayat terbujur di jalanan dan mencemar sungai.
Tentera meronda jari sensitif di picu senjata.
Menembak kelibat yang tidak patuh perintah berkurung.
Biar sesiapa baik Cina atau India atau Melayu!
Pintu dan jendela terpaut rapat.
Keringat ketakutan terkunci bersama di dalam.
Bahkan tersemat di kepala dengan kebencian dan dendam kesumat
hingga ke hujung masa.
Hanya masa dan pupukan mental memupus bara.
Dan yang pergi membawa memori di dalam pusara.
Ia begitu lama!
Lalu si Tua menyapa dan bertanya kepada si Muda.
Kamu menginginkan tragedi itu diputar semula?
Memperjudikan nasib anak-anak dan keturunan nasabmu?
Mempunahkan segala yang kamu bina selama ini?
Memustahilkan impian yang boleh dijangkau?
Jauhkan diri daripada mudah bertukar watak.
Semata kerana ransangan terlampau.
Bebaskan minda,
pekakan persekitaran,
tatap realiti.
Pegangkan tali dan panduan agama.
Bukan ini cara penyelesaian.
Berkasih sayang berprasangka baik
adalah matlamat mutlak dan abadi,
dari dunia hingga Tuhan dihadap.
Janganlah tragedi ini diungkit-ungkit lagi.
Biar ia tenggelam ke dasar lautan sejarah
untuk teladan dan sempadan.
Si Tua meminta.
- Tuk Ki
No comments:
Post a Comment